September 28, 2023

Guru Pelatih Raih Anugerah Kecemerlangan Pengajaran & Pemudahcaraan Terbaik UTM

Syazwani Zolkifli
Syazwani Zolkifli

SENAI, 17 Ogos –Majlis Apresiasi Latihan Mengajar bagi Semester 2, Sesi 2021/2022 oleh Sekolah Pendidikan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah diadakan bagi menghargai jasa pengetua-pengetua sekolah, pengarah-pengarah kolej vokasional, para guru pembimbing, pensyarah-pensyarah pembimbing, serta guru-guru pelatih yang baru sahaja menamatkan latihan mengajar mereka selama 3 bulan.

Salah seorang daripada 251 guru pelatih ialah Cik Divya Dharshini a/p Somanaidu yang telah berjaya meraih Anugerah Pengajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) Terbaik. Guru pelatih yang berusia 24 tahun ini tidak menyangka bahawa beliau merupakan pemenang bagi anugerah tersebut.

“Saya tidak tahu bahawa saya akan menerima anugerah pada hari ini. Saya berasa terkejut namun berterima kasih atas penganugerahan yang diberikan,” katanya.

Cik Divya Dharshini yang menjalani latihan mengajar di SMK Gelang Patah, mempunyai beberapa pengalaman menjadi tenaga pengajar di pusat tuisyen sebelum menjadi guru pelatih di sekolah menengah. Sedikit tekanan dirasai dalam perbezaan mengajar kanak-kanak dan dewasa.

“Sebelum ini saya pernah mengajar di pusat tuisyen. Jadi ini merupakan pengalaman pertama saya mengajar di sekolah menengah,” katanya.

“Saya rasa lebih mudah dan senang mengajar di pusat tuisyen kerana teknik pengajarannya lebih kepada keseronokkan, tetapi di sekolah menengah, saya perlu bersedia dan menyediakan segala keperluan sebelum mengajar dalam kelas, ” tambah Cik Divya.

Cikgu Divya yang mengajar subjek Reka Bentuk dan Teknologi (RBT) bagi pelajar Tingkatan 2 juga berkata, “dalam subjek Kemahiran Hidup Bersepadu (KHB) dulu, kita belajar tentang perkara-perkara asas sahaja seperti pertukangan, jahitan dan masakan, tetapi sekarang pelajar sudah belajar mengenai robotik, megatronik dan elektronik.” Ini membuktikan bahawa pelajar-pelajar sekolah sudah lebih awal didedahkan dengan pelbagai teknologi yang seiring dengan perubahan masa.

Anak kelahiran Taiping, Perak ini menghadapi cabaran mengajar pelajar-pelajar kelas terakhir di sekolah tersebut. Disebabkan oleh pandemik COVID-19 yang melanda dunia, pelajar-pelajar ini masih berasa kekok menjalani sekolah secara bersemuka memandangkan beberapa tahun yang lepas, mereka menghadiri sesi persekolahan melalui alam maya.

Walaupun begitu, guru pelatih yang mempunyai semangat waja ini berjaya menghadapi cabaran tersebut. “Saya fokus dan memberi perhatian kepada setiap pelajar. Saya faham bahawa mereka mempunyai masalah mereka yang tersendiri. Oleh itu, saya pastikan bahawa tahap kelajuan saya mengajar itu selari dengan kefahaman pelajar-pelajar tersebut,” katanya.

Apabila ditanya sekiranya beliau mahu ditempatkan di Perak atau Johor, beliau menjawab, “Perak boleh, Johor pun boleh,” sambil tertawa.

Lain-lain penerima anugerah semasa majlis

Gambar oleh: Adrian Efendy Kassim

Explore More