May 2, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 4 Jun– Kelab Debat, Pidato dan Pemikiran Kritis (DEPIKIR) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menyahut seruan untuk memartabatkan bahasa Melayu dan warisan budaya dengan menganjurkan Sayembara Bahasa Melayu edisi kedua tahun ini.

Sayembara Bahasa Melayu 2022 yang diadakan sepenuhnya secara dalam talian berlangsung sejak 3 April 2022 dan telah melabuhkan tirainya pada 4 Jun 2022.

Penasihat program, Dr. Afikah binti Rahim berkata, program ini merupakan program anjuran bersama Kementerian Pengajian Tinggi, (KPT), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Pejabat Menteri Besar Negeri Johor, Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Institut Terjemahan dan Buku Malaysia dan Komuniti Menulis Malaysia.

“Mengekalkan konsep yang sama seperti edisi sebelum ini, Sayembara Bahasa Melayu 2022 mempertandingkan empat pertandingan iaitu pidato, deklamasi sajak, penulisan cerpen Jawi dan penulisan esei rumi.

Pertandingan ini terbuka kepada empat kategori pertandingan iaitu kategori Menengah Atas dan Matrikulasi, mahasiswa Malaysia, mahasiswa Nusantara, dan mahasiswa Antarabangsa.

Para peserta diberikan tema-tema yang sesuai dengan isu semasa yang perlu disampaikan dengan penyampaian yang menarik dan berkesan sama ada melalui pengucapan awam atau penulisan kreatif dan kritis,” tambah beliau.

Pengarah program, Muhammad Nur Hakimi bin Che Pa berkata, edisi kali ini mempertandingkan 13 kategori pertandingan dan telah menerima sebanyak 648 penyertaan secara keseluruhannya dan akan dinilai oleh 29 hakim yang terdiri daripada pelbagai agensi dalam dan luar UTM dan berbeza latar belakang.

“Berbezanya edisi kali ini dengan edisi lepas, Sayembara Bahasa Melayu 2022 memperkenalkan pertandingan menulis cerpen Jawi.

Di samping melestarikan tulisan Jawi, pertandingan ini membantu mahasiswa membentuk pemikiran yang kreatif dan matang dalam mengupas sesuatu isu serta menyampaikan mesej-mesej moral dalam bentuk penulisan cerita pendek.

Usaha memartabatkan bahasa Melayu dan tulisan Jawi ini telah mendapat sambutan yang cukup baik apabila menerima penyertaan antarabangsa dari pelbagai negara termasuklah dari China, Amerika Syarikat, Somalia, Afghanistan. Bangladesh, Filipina dan Indonesia.

Semoga usaha memartabatkan bahasa Melayu ini mampu memastikan bahasa Melayu terus mekar dalam peredaran zaman dan tidak lapuk dek panas, tidak lekang dek hujan” tambah beliau.

Explore More