April 18, 2024

Search
Close this search box.

BANDUNG, 7 Jun — Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Datuk Ts Dr Ahmad Fauzi Ismail telah membuat lawatan rasmi ke Telkom University (Tel-U) pada 7 Jun 2022 bertempat di kampus Tel-U di Bandung, Indonesia.

Rektor Tel-U, Profesor Dr Adiwijaya dan pasukan pengurusan tertinggi Tel-U telah memberi sambutan mesra ke atas lawatan rasmi Naib Canselor (NC) UTM dan sebuah perbincangan dua hala telah diadakan melibatkan kepentingan kedua-dua universiti.

Pasukan pengurusan Tel-U juga telah membawa NC dan delegasi UTM dalam satu sesi Campus Tour bagi tujuan memperkenalkan Tel-U kepada NC UTM secara lebih dekat.

Menurut Profesor Dr Adiwijaya, “Tel-U akan memberikan tumpuan untuk meluaskan jaringan dan libat sama industri dan melihat UTM terkehadapan dalam sektor ini.”

Ianya disambut baik oleh NC UTM, di mana beliau mengambil kesempatan untuk menyampaikan perkongsian pengalaman beliau dalam berurusan dengan pihak industri dalam mengadakan kerjasama penyelidikan, inovasi dan komersialisasi.

Pelan pelaksanaan jangka pendek, pertengahan dan panjang juga telah dikenalpasti untuk direalisasikan bersama antaranya; menterjemahkan buku terbitan UTM Press ke Bahasa Indonesia khusus dalam bidang tujahan UTM iaitu Sains, Teknologi dan Kejuruteraan.

Pelan jangka panjang pula melihat kepada mewujudkan makmal penyelidikan satelit sebagai platform pengembangan penyelidikan dan inovasi serta pembangunan kompetensi penyelidik dan pelajar kedua-dua belah pihak.

Tel-U juga telah meletakkan visi untuk menjadi sebuah universiti penyelidikan dan entrepreneurial pada tahun 2023 serta memainkan peranan aktif dalam kemajuan teknologi, sains dan seni berasaskan teknologi maklumat.

Visi Tel-U selari dengan visi dan misi UTM yang turut memberikan fokus terhadap bidang sains, teknologi dan kejuruteraan yang mensejahterakan kehidupan menerusi ilmu dan teknologi inovasi.

Pada masa hadapan, Tel-U dan UTM akan terus mengadakan kerjasama strategik yang memanfaatkan kedua-dua institusi dan seterusnya merangkul kekuatan kedua-dua universiti dalam membawa kegemilangan sektor pendidikan tinggi Indonesia dan Malaysia di rantau Asia Tenggara dan dunia.

Profesor Dr Adiwijaya, Rektor Tel-U bersama Profesor Datuk Ts Dr Ahmad Fauzi Ismail, Naib Canselor UTM

Lawatan rasmi ini merupakan sebahagian Siri Jelajah Asia Naib Canselor UTM 2022 yang bertujuan untuk memperkuatkan jaringan antarabangsa UTM bersama universiti luar negara yang mempunyai jalinan kerjasama dengan UTM.

Pejabat Naib Canselor UTM

UTM Vice-Chancellor ASIA Tour : Indonesia (2022)

Explore More