April 13, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 21 Jun — Penolong Jurutera Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Muhamad Fitri Amir bin Ramli telah merangkul emas dalam acara 100m kategori veteran junior (40 tahun ke atas) pada Kejohanan Olahraga Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota Kerajaan (MAKSAK) 2022 di Stadium Olahraga Mount Austin, Johor Bahru yang berlangsung dari 16 hingga 20 Jun 2022.

Beliau ditemani Pensyarah Kanan UTM, Dr. Zainul Akmar Zakaria yang turut beraksi dalam 100m dan 200m.

Fitri memulakan aksi dengan tenang pada 30 meter pertama sebelum menamatkan saingan pada tempat pertama manakala tempat kelima disandang oleh Dr Zainul.

Fitri (tengah) diapit pemenang pingat perak dan gangsa bagi acara 100m Veteran

Fitri yang sebelum ini mewakili Johor dalam MAKSAK Games bagi acara bola sepak menggunakan segala pengalaman untuk mencatat 12.19s satu catatan yang membanggakan bagi pelari berusi 41 tahun itu.

Dr. Zainul, 45 dari Sekolah Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Tenaga pula terpaksa berpuas hati di tempat kelima dengan catatan 13.51s.

Menyedari peringkat umur yang semakin meningkat kedua-dua atlet ini memulakan latihan sebulan sebelum menyertai MAKSAK Games di bawah kendalian jurulatih Mohd Yusoff Mat Yaman dari University Sports Excellence.

Ternyata latihan yang tersusun membuahkan hasil di mana Fitri turut merangkul pingat perak dalam acara 200m dengan catatan 25.13s.

Fitri yang bertugas sebagai Penolong Jurutera, Fakulti Kejuruteraan berkata beliau mengakui agak sukar untuk mengimbangi tuntutan latihan dan tugas hakiki namun sentiasa memastikan beliau bersedia dari segi ketahanan fizikal dan mengawal kecergasan.

Bagi Zainul pula, tugas beliau sebagai seorang pensyarah tidak menghalangnya untuk beriadah dan beraksi dalam kejohanan ini kerana ia adalah medan untuk mencabar diri selain dari bilik kuliah.

Fitri (kiri) dan Zainul (kanan) menamatkan acara 100m Veteran

Secara kebetulan, kedua-dua atlet ini juga meminati sukan bola sepak dan sering bermain bersama ketika hujung minggu.

Ia adalah pemangkin semangat kepada staf UTM yang lain untuk sama-sama mengharumkan nama UTM bukan sahaja di bidang akademik malah di medan sukan.  Tahniah diucapkan!

Explore More