UTM Rai Kecemerlangan Warga Dalam Citra Karisma 2021

JOHOR BAHRU, 22 Sept. – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) meneruskan inisiatif menghargai kecemerlangan warga stafnya apabila sekali lagi menganjurkan Majlis Citra Karisma untuk meraikan kecemerlangan staf bagi tahun 2020.

Majlis Citra Karisma adalah majlis yang diadakan oleh UTM bagi menghargai staf UTM dan Pusat Tanggungjawab yang telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam pelbagai bidang sepanjang perkhidmatan bagi tahun penilaian semasa.

Selain itu, majlis turut menghargai individu dan kumpulan staf yang telah berjaya membawa nama Universiti di peringkat nasional dan antarabangsa menerusi sumbangan penyelidikan, perundingan, pengajaran dan pembelajaran serta lain-lain bidang.

Tujuan majlis tersebut diadakan untuk menyuntik semangat dan motivasi kepada warga UTM agar dapat bersama-sama membudayakan kecemerlangan di tempat kerja dengan mengamalkan sifat kebersamaan dan muafakat untuk mencapai aspirasi yang dirancang universiti.

Majlis tersebut dianjurkan oleh Jabatan Pendaftar melalui Bahagian Pengurusan Organisasi dengan kerjasama unit-unit lain seperti UTMDigital, Seksyen Hal Ehwal Korporat (HEK), Jabatan Harta Bina, Jabatan Bendahari, Jabatan Timbalan Naib Canselor Pembangunan dan beberapa jabatan lain dengan  komitmen yang tinggi bagi memastikan majlis dilaksanakan dengan jayanya dan mencapai objektif yang ditetapkan.

Pada tahun ini Majlis Citra Karisma melakar sejarah apabila dianjurkan sepenuhnya secara dalam talian.

Dalam ucapan alu-aluan, Naib Canselor, Prof Datuk Ts Dr Ahmad Fauzi bin Ismail berkata, komitmen universiti dalam meraikan para staf yang telah memberikan perkhidmatan cemerlang sepanjang tahun lalu biarpun masih berdepan dengan pandemic Covid-19 merupakan bukti jelas dedikasi UTM terhadap usaha yang telah diberikan oleh staf agar ia menjadi faktor pendorong kepada yang lain untuk menyumbangkan hasil kerja yang terbaik.

Naib Canselor, Prof Datuk Ts Dr Ahmad Fauzi bin Ismail

Tambah beliau, warga universiti perlu terus melangkah ke depan selaras dengan tag line universiti iaitu, Inovatif, Entrepreneurial dan Global.

“Budaya kerja inovatif, berprinsipkan keusahawanan dan berfikiran global merupakan jalan dan kaedah yang jelas ke arah  penghasilan kerja berprestasi tinggi bukan sahaja dalam lingkungan sendiri bahkan di peringkat nasional dan antarabangsa.

Selain itu, budaya ISES iaitu Integriti, Sinergi, Excellence dan Sustainability juga perlu diterapkan kepada semua staf dan warga Universiti tanpa seorangpun terkecuali.

Justeru, adalah diharapkan kepada semua warga Universiti untuk sama-sama mengimarahkan ISES dalam kalangan kita agar agenda dan hasrat Universiti dapat dicapai selaras dengan Pelan EnVISION 2021 – 2025,” akhiri beliau.

Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UTM, YBhg. Tan Sri Azman Hj Mokhtar.

YBhg. Tan Sri Azman Hj Mokhtar.

Dalam ucapan perasmian beliau menekankan salah satu elemen The Big 5 Things iaitu High Performance Delivery atau Penyampaian Berprestasi Tinggi yang merupakan tunjang penting bagi mencapai hasrat setiap warga untuk menunaikan amanah bersama.

“Oleh itu, anugerah seumpama ini sangat penting untuk dijadikan dorongan bagi meningkatkan prestasi peringkat individu dan kolektif di UTM.

LPU turut menekankan pembangunan insan di mana kecemerlangan kita bergerak sebagai satu pasukan di bawah nilai-nilai murni untuk memperagungkan visi dan melaksanakan tugas masing-masing,” kata beliau.

Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada urus setia dan segulung tahniah kepada pemenang yang mendapat pengiktirafan pada majlis tersebut.

Beliau turut mengharapkan agar semua warga agar dapat fokus kepada tugas dan tanggungjawab untuk menghasilkan pencapaian berprestasi tinggi.

Dalam makjlis tersebut, seramai 399 orang staf telah dianugerahkan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang.

Bagi anugerah paling berprestij pula iaitu Anugerah Inovasi  Naib Canselor  (AINC), tempat pertama disandang oleh Projek Inovasi Kaedah Eksplorasi Air Akuifer Batuan untuk Universiti Teknologi Malaysia Kampus Johor Bahru diketuai oleh Pusat Geokejuruteraan Tropika (GEOTROPIK) Sekolah Kejuruteraan Awam.

Mereka beroleh hadiah wang tunai bernilai RM10 ribu, Piala Pusingan Trofi, serta Sijil.

Tempat Kedua disandang oleh projek UTM SHIELD, diketuai oleh Pusat Jaringan Komuniti dan Industri (CCIN) yang beroleh hadiah wang tunai bernilai RM3 ribu dan  Sijil manakala di Tempat Ketiga ialah projek Robot Penghantaran Makanan MCK19 oleh Centre for Artificial Intelligence and Robotics (CAIRO) Sekolah Kejuruteraan Elektrik.

Mereka mendapat hadiah wang tunai bernilai RM2 ribu dan Sijil.

Prof Datuk Ts Dr Ahmad Fauzi bin Ismail (kanan) menyampaikan cenderahati kepada YBhg. Tan Sri Azman Hj Mokhtar (tengah) sambil diiringi oleh Timbalan Naib Canselor Pembangunan, Prof Dr Mohd Hamdan bin Hj Ahmad