April 19, 2024

Search
Close this search box.

Signifikan Pusat Islam @ Masjid Sultan Ismail UTM Sebagai Gerbang Penyatuan Ummah & Pemusatan Aktiviti Universiti

Oleh : Dr. Naemah Hamzah

Masjid dari segi Bahasa bermaksud tempat sujud. Perkataan masjid adalah ism makan dalam bentuk mufrad (Zulkifli, 2009). Lafaz ini berasal dari perkataan Arab iaitu sajada, yasjudu, sajdan atau sujudan (Kamus al-Muhit, 1998). Dalam kamus al-Munjid, ia bermaksud tempat sujud di dalamnya dan setiap yang digunakan bagi tujuan beribadah di dalamnya (Ma’luf, 1973). Sujud bermaksud patuh dan menghina diri dengan meletakkan dahi ke bumi sebagai tanda pengabdian diri kepada Allah SWT (Kamus al-Muhit, 1998).

Pada zaman sebelum Islam, tempat di sekitar Kaabah dinamakan al-masjid, namun prototaip masjid pertama dalam Islam adalah Masjid Quba’ di Madinah yang didirikan oleh Baginda Nabi SAW setibanya di Madinah (Cyril Glasse, 1999; Zulkifli, 2009). Lafaz masjid disebut sebanyak 22 kali di dalam al-Quran iaitu dalam surah al-Baqarah (2) ayat 144, 149, 150, 191, 196, 217; dalam surah al-Maidah (8) ayat 34; dalam surah al-A’raf (7), ayat 29, 31; dalam surah al-Anfal (8), ayat 34; dalam surah at-Taubah (9), ayat 7, 19, 28, 107, 108; dalam surah al-Israk (17), ayat 1 (dua kali), 7; dalam surah al-Kahfi (18) ayat 21; dalam surah al-Hajj (22) ayat 25; dan terakhir dalam surah al-Fath (48), ayat 25, 27. Contoh firman Allah SWT berkaitan masjid:

Maksudnya:

Jangan engkau solat di masjid itu selama-lamanya, kerana sesungguhnya masjid (Qubaa yang engkau bina wahai Muhammad), yang telah didirikan di atas dasar takwa dari mula (wujudnya), sudah sepatutnya engkau solat padanya. Di dalam masjid itu ada orang-orang lelaki yang suka (mengambil berat) membersihkan (mensucikan) dirinya dan Allah Mengasihi orang-orang yang membersihkan diri mereka (zahir dan batin).

Kepentingan institusi masjid ini menyebabkan rumah-rumah Allah di bina di seluruh pelusuk bumi di pelbagai negara untuk tujuan membesarkan Allah di dalamnya. Perbincangan dalam artikel ini memfokuskan kepada sejarah pembinaan masjid bermula pada tahun 1990 (Pusat Perkhidmatan Kemasyarakatan Universiti Teknologi Malaysia, tt), peranan masjid Universiti Teknologi Malaysia dan perkembangan semasa selepas dinaik taraf sebagai Pusat Islam Universiti teknologi Malaysia pada tahun 2009. Masjid Sultan Ismail UTM merupakan masjid yang dibina dalam kampus Universiti Teknologi Malaysia dan berada di bawah pengawasan Bahagian Pengurusan Masjid dan Surau Jabatan Agama Johor.

Latar Belakang Masjid Sultan Ismail Universiti Teknologi Malaysia Johor Bahru

Universiti Teknologi Malaysia mempunyai masjidnya sendiri yang terletak di kampus Jalan Semarak, Kuala Lumpur yang menjadi institusi dan nadi kepada penyebaran syiar Islam di kampus Jalan Semarak dan kawasan sekitarnya. Apabila UTM berpindah ke Skudai dan kampus Johor ini telah menjadi kampus induk. Pembinaan masjid telah dimasukkan dalam perancangan pelan awal kewujudan dan pembinaan kampus (Pusat Perkhidmatan Kemasyarakatan Universiti Teknologi Malaysia, tt). 

Perancangan kampus UTM Skudai adalah berdasarkan pada konsep pemusatan aktiviti-aktiviti guna sama utama yang berpusatkan dengan bangunan masjid sesuai dengan moto UTM, Kerana Tuhan Untuk Manusia dan dikelilingi oleh bangunan-bangunan lain yang jaraknya boleh dihubungi dengan berjalan kaki sahaja. 

Pusat aktiviti-aktiviti guna sama ialah bangunan-bangunan Perpustakaan Sultanah Zanariah, Dewan Sultan Iskandar, Bangunan Pentadbiran serta Bangunan Persatuan Pelajar. Bangunan-bangunan aktiviti gunasama utama ini dikelilingi oleh bangunan-bangunan fakulti dan semuanya ini diistilahkan sebagai Pusat Akademik (Pusat Perkhidmatan Kemasyarakatan Universiti Teknologi Malaysia, tt). Konsep ini dikenali sebagai konsep jejari.

Kedudukan masjid UTM di tengah-tengah kampus UTM

Masjid Sultan Ismail ini mula didirikan dalam tahun 1986 dan siap pada tahun 1990. Kos pembinaannya ialah hampir 19 juta ringgit. Bangunan masjid ini ditempatkan di kawasan tengah kampus yang merupakan bangunan utama dari segi pemandangan serta terletak di dataran tinggi. Ini menjadikan Masjid sebagai titik tumpu dalam perancangan pembinaan kampus dan perletakkannya di kawasan tengah adalah selaras dengan konsep pembelajaran Islam di mana masjid merupakan surnber tempat mencari dan menyebarkan ilmu (Pusat Perkhidmatan Kemasyarakatan Universiti Teknologi Malaysia, tt).

Gambar 1 Pembinaan Masjid UTM pada tahun 1986 di mana Menjadi Pusat Pentadbiran dan Pengurusan Pusat Islam UTM sekarang
Gambar 2 Pembinaan Masjid UTM pada tahun 1986 Mercu Tanda Keimanan sebagai Asas

Naik Taraf Masjid Sultan Islam Universiti Teknologi Malaysia kepada Pusat Islam UTM

Rancangan menubuhkan Pusat Perkhidmatan Kemasyarakatan ini adalah bermula dari satu perbincangan antara Naib Canselor dengan tenaga pengajar Jabatan Pendidikan Islam pada 27 Mei 1990. Dalam Perbincangan ini Naib Canselor merasakan perlunya ditubuhkan satu pusat/organisasi yang dapat menyelaraskan segala kegiatan berkaitan dengan aktiviti-aktiviti kemasyaraktan yang berpusat di masjid. Setakat ini kegiatan tersebut hanya dikendalikan secara berasingan oleh jabatan, bahagian, fakulti di universiti.

Penubuhan pusat ini diharapkan dapat mewujudkan suasana kemasyarakatan yang berteraskan Islam, memperbanyak dan menyelaraskan kegiatan aktiviti keislaman di segenap peringkat jabatan, fakulti dan bahagian-bahagian samada dalaman atau umum dan juga mewujudkan organisasi yang teratur dan memudahkan penyelenggaran serta menjadikannya lebih berkesan. Hasrat murni ini akhirnya berjaya menubuhkan Pusat Perkhidmatan Kemasyarakatan UTM yang ditempatkan di Masjid Sultan Ismail UTM.

Pusat ini seterusnya dikenali sebagai Pusat Pengajian Islam dan Pembangunan Sosial (PPIPS) yang menguruskan hal ehwal akademik dan pembangunan sosial masyarakat serta pengurusan Masjid Sultan Ismail UTM. Berkuatkuasa pada 12 November 2001 pihak Universiti memutuskan bahawa pentadbiran Masjid Sultan Ismail UTM diasingkan daripada pentadbiran Pusat Pengajian Islam dan Pembangunan Sosial (PPIPS) (Kasiran, 2001).

Masjid Sultan Ismail UTM diberikan tanggungjawab yang lebih luas di antaranya ialah sebagai pusat perkembangan Islam dengan melaksanakan aktiviti atau program keilmuan yang boleh menggerakkan pembangunan dan kemajuan ummah, menjadi pusat rujukan dengan memberi khidmat kepakaran dan khidmat nasihat yang berkaitan dengan Agama Islam, dan menjadi pemangkin kepada usaha-usaha perpaduan di kalangan umat Islam khususnya perpaduan di kalangan pelajar, staf dan juga masyarakat luar. Pengurusan Masjid Sultan Ismail dipindahkan di bawah pentadbiran Censeleri yang kemudiannya dikenali sebagai Pejabat Naib Canselor. Kemudiannya Masjid Sultan Ismail UTM dinaiktaraf kepada Pusat Islam UTM pada 6 Julai 2009.

Selaras dengan perubahan nama pengurusan ini, aktiviti-aktiviti berkaitan Masjid Sultan Ismail dan pembangunan syiar Islam di Universiti Teknologi Malaysia dikendalikan sepenuhnya oleh Pusat Islam. Pusat Islam UTM adalah institusi penting yang mempunyai fungsi yang sangat luas berperanan sebagai pusat kegiatan ibadat, pusat kegiatan dakwah dan ilmu, pusat pentadbiran, pusat kegiatan sosial dan juga berperanan membangunkan modal insan dan memacu ummah amnya serta staf dan mahasiswa UTM khususnya ke tahap kecemerlangan di dunia dan akhirat (Wan Mohd Zawawi, 2009).

Visi Pusat Islam UTM adalah diiktiraf sebagai pusat kecemerlangan pembangunan Syiar Islam seiring dengan perkembangan teknologi. Manakala Misi Pusat Islam UTM adalah untuk menjadi peneraju dalam pembangunan ummah berteraskan nilai-nilai Islam melalui teknologi inovatif demi menjana insan berkualiti.

Objektif penubuhan adalah untuk menjadi pusat kecemerlangan Syiar Islam melalui aktiviti pembudayaan ilmu, menjadi pusat rujukan dan khidmat kepakaran dalam hal ehwal Islam seiring dengan perkembangan teknologi, menjadi pusat pembangunan sosial melalui usaha perpaduan dan aktiviti kemasyarakatan, menjadi peneraju dalam bidang pendidikan dan dakwah bagi melahirkan generasi yang berkualiti, meningkatkan pengajian ‘undergraduate’, mempromosi penyelidikan & pengajian yang excellent, meningkatkan latihan profesional dan pembelajaran sepanjang hayat, mempromosi pengantarabangsaan & mencapai bertaraf dunia, mempertingkatkan perkhidmatan dan perhubungan masyarakat dan menyediakan pengurusan berkualiti dan pengurusan risiko yang berkesan.

Pusat Islam UTM Dilantik sebagai Pengerusi Pusat-pusat Islam 34 Universiti Awam dan Swasta

Pusat Islam UTM diberikan tanggungjawab dan kepercayaan selama dua penggal menerajui 34 Pusat-pusat Islam Universiti Awam dan Swasta sebagai pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Islam Institusi Pengajian Tinggi Malaysia (JAHEIS). Situasi di Institusi Pengajian Tinggi Malaysia, setiap universiti mempunyai masjid masing-masing untuk keperluan komuniti muslim dan pembangunan syiar Islam. Masjid universiti juga kebanyakkannya diuruskan oleh unit yang dikenali dengan Pusat Islam Institusi. Justeru itu, satu jawatankuasa ditubuhkan untuk memantapkan program dan urus-tadbir hal ehwal Islam melibatkan operasi masjid dan Pusat Islam Institusi.

Maka, tertubuhlah Jawatankuasa Hal Ehwal Islam Institusi Pengajian Tinggi Malaysia (JAHEIS). Jawatankuasa Hal-Ehwal Islam Institusi Pengajian Tinggi Malaysia (JAHEIS) wujud hasil daripada Mesyuarat Jawatankuasa Naib-Naib Canselor/Rektor IPTA/IPTS. Penubuhan diluluskan oleh Jawatankuasa Naib Canselor/Rektor IPTA Malaysia (JKNC/R) pada 11 Ogos 2014 melalui surat pemakluman bertarikh 23 Mac 2015 dan diletakkan di bawah seliaan Bahagian Pembangunan Mahasiswa (BPMs), Jabatan Pendidikan Tinggi mengikut surat bernombor rujukan JPT(KP)100001907 Jld. 18 (8) bertarikh 17 Ogos 2016.

Objektif penubuhan JAHEIS bertujuan menyokong misi dan visi IPTA/IPTS ke arah memperkasakan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, memelihara kesucian, keluhuran Islam dan kebajikan warga IPTA/IPTS, melebarkan jalinan ukhuwah, dakwah dan perkongsian pintar di semua peringkat, menjalin dan memantapkan hubungan Pusat Islam/Unit Kerohanian IPTA/IPTS dengan pihak berkuasa agama negeri, persekutuan dan antarabangsa serta menjaga kebajikan Pegawai-Pegawai dan kakitangan Hal Ehwal Islam di IPTA/IPTS (Perlembagaan JAHEIS, tt).

Sehingga kini pada 2021 jumlah ahli yang berdaftar di bawah JAHEIS adalah sebanyak 34 buah universiti awam dan swasta. Pusat Islam institusi ini bertanggungjawab menguruskan urus-tadbir berkaitan operasi masjid melibatkan pengurusan takmir dan pengimarahan masjid  seperti solat berjemaah, khutbah Jumaat, kuliah dan ceramah bulan kebesaran Islam, Ihya’ Ramadan, Program ibadah korban dan pengurusan jenazah. Selain itu, masjid institusi juga ada yang diberikan tanggungjawab untuk menguruskan urus-tadbir berkaitan zakat melibatkan kutipann, agihan, promosi dan program pembangunan asnaf.

Majlis penyerahan semua dokumen dan tugasan daripada pihak Pusat Islam Universiti Sains Malaysia (USM) kepada pihak Pusat Islam Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang telah dilantik menjadi Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Islam Institusi Pengajian Tinggi Malaysia (JAHEIS) yang baru pada November 2016 sehingga kini (2021) pada 18 Januari 2017 di Pulau Pinang

Explore More