April 18, 2024

Search
Close this search box.

UTM Bangunkan Komuniti Pulau Tanjung Surat Melalui Pendekatan SULAM

KOTA TINGGI, 13 Apr. – Universiti Teknologi Malaysia (UTM), melalui kepakaran penyelidikan dan semangat ‘Universiti untuk Masyarakat’ telah menterjemahkan Service Learning Malaysia – University For Society (SULAM) dengan melaksanakan projek Pembangunan Komuniti, Eko Warisan Pelancongan di Pulau Tanjung Surat (PTS).

SULAM merupakan sebuah kaedah pembelajaran yang menggabungkan objektif pembelajaran dengan khidmat komuniti bertujuan memberi pengalaman pembelajaran yang menghubungkaitkan teori dan praktis dengan menyelesaikan permasalahan sebenar dalam komuniti dan berteraskan Love, Happiness dan Mutual Respect.

Objektif SULAM yang merupakan sebuah inisiatif Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) adalah untuk membolehkan mahasiswa menyumbang kepada komuniti umum melalui pengetahuan dan kemahiran yang dipelajari di bilik kuliah atau makmal diaplikasikan bagi membantu menyelesaikan masalah setempat.

Menteri Pendidikan Malaysia, YB Dr. Maszlee Malik berkata, SULAM diperkenalkan bagi meningkatkan kualiti pembelajaran untuk menghasilkan graduan yang holistik dan seimbang serta membantu komuniti menyelesaikan masalah setempat.

“UTM mempunyai kepakaran yang pelbagai dari sudut teknologi dan saya difahamkan seramai lebih 200 orang mahasiswa dari pelbagai disiplin telah berkongsi kemahiran mereka dengan penduduk kampung dan komuniti di sini sejak November 2017 dengan membawa tema eko-warisan pelacongan.

Saya yakin dan percaya selepas pelancaran program ini, PTS akan mula dikenali di peringkat negeri dan akhirnya tercatat dalam peta dunia sebagai sebuah pulau eko-warisan pelancongan di negeri Johor yang amat disayangi ini,” tambah beliau semasa merasmikan program tersebut di Sekolah Kebangsaan Tanjung Surat.

Menurut Naib Canselor UTM pula, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid bin Omar, pemilihan PTS sebagai lokasi adalah kerana keunikan pulau tersebut yang kaya dengan sejarah dan warisan yang telah dilupakan.

“Ia merupakan sebuah pulau yang dikelilingi oleh ekosistem hutan bakau yang menarik dan boleh dijadikan kawasan pelancongan desa serta tempat berpusatnya sukan layar jong, sebuah permainan perahu layar kecil bagi orang Melayu di kawasan Kepulauan Riau pada tahun 40-an namun semakin dilupai kini.

Di pulau ini juga terdapat beberapa orang pakar membuat dan bermain jong yang telah mewakili negara dalam pertandingan jong di Singapura dan Indonesia,” katanya.

Tambah beliau, pulau ini secara keseluruhannya memberi peluang bagi pensyarah dan pelajar IPT untuk meneroka, menyelidik dan membuat pelbagai kajian.

UTM telah menjalankan pelbagai aktiviti di PTS sejak tahun 2017 iaitu Galeri Warisan PTS, Taman Cendawan, Taman Fertigasi dan Baja Kompos, Program Seni Batik Komuniti, Projek “Rakit Stay”, Program Pertukangan Simen Fero, Program Bakeri / Roti, Program Kesedaran Alam Sekitar, Pelan Perancangan signage pintu masuk PTS dan Program Kursus Kelulut.

Kesemua projek ini mengetengahkan pelbagai kepakaran penyelidik dari UTM untuk meningkatkan sosioekonomi dan menyediakan persekitaran komuniti yang selesa dengan mengutamakan keperluan tempatan dan pelancong dalam misi untuk menjadikan pulau tersebut sebagai tempat pembelajaran sejarah dan warisan, landskap budaya dan alam semulajadi.

Melalui projek ini diharap penduduk di PTS boleh sama-sama mengambil peluang mempelajari dan berkongsi ilmu dan kemahiran dengan pelajar dan pensyarah yang terlibat dalam projek SULAM di sini agar matlamat program dapat dicapai bersama.

Objektif utama projek ini adalah untuk membangunkan PTS sebagai sebuah Kawasan Eko Warisan Pelancongan yang mampan dengan mengambilkira aspek pembangunan ekonomi, sosial dan persekitaran.

Pembangunan ini juga akan menonjolkan PTS sebagai wilayah eko warisan pelancongan yang terkenal di peringkat tempatan dan global, khususnya di bahagian tenggara Johor.

Ia turut mengambilkira aspek sejarah dan warisan PTS, budaya tempatan dan juga pemeliharaan dan penonjolan aset warisan bakau, landskap pantai dan alam semulajadi lain sebagai daya tarikan pelancongan.

Projek ini merupakan anjuran beberapa pusat dan fakulti di UTM bersama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Tanjung Surat dengan bantuan KEJORA, Pihak Berkuasa Tempatan Pengerang, Yayasan Warisan Johor dan Persatuan Sejarah Johor. IPT lain yang turut terlibat sama adalah Universiti Teknologi MARA Pasir Gudang serta  Institut Sains Dan Teknologi Darul Takzim (INSTEDT).

Menteri Pendidikan Malaysia, YB Dr Maszlee Malik mendengar penerangan pelajar tentang ‘geometri dalam senibina geodesic dome’ semasa melawat 21st Century Classroom di Sekolah Kebangsaan Tanjung Surat semasa Majlis Pelancaran SULAM di Pulau Tanjung Surat

Explore More