April 25, 2024

Search
Close this search box.

Pro-Naib Canselor Sumber Inspirasi Program Libatsama Komuniti UTM Kuala Lumpur Bersama SMK Padang Tembak

Kuala Lumpur, 13 Mac 2017 – Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur (UTMKL) melalui Pusat Jaringan Komuniti dan Industri (CCIN) telah berkolaborasi bersama Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Tembak (SMKPT) dalam mengadakan Program Libatsama Komuniti yang bertujuan untuk berkongsi pengetahuan dan sumber universiti dengan komuniti sekitarnya. Dalam masa yang sama, program ini dapat meningkatkan aktiviti kurikulum, penyelidikan dan aktiviti kreatif, pengajaran dan pembelajaran, menyediakan rakyat yang berpendidikan dan penglibatan bersama, nilai-nilai demokrasi dan tanggungjawab awam, menangani isu-isu sosial yang kritikal seterusnya menyumbang kepada kebaikan awam.

Dalam majlis ini, YBhg. Prof. Dr. Durrishah binti Idrus Pro-Naib Canselor UTM Kuala Lumpur telah berbesar hati untuk menghadirkan diri bagi merasmikan Majlis Pelancaran Program Mingguan HEM PPDa dan Kerjaya 2017 serta Program Libatsama Komuniti SMK Padang Tembak bersama UTM Kuala Lumpur. Di samping itu, beliau telah menyerahkan Reading Station UTMKL kepada SMK Padang Tembak secara rasmi sekaligus menyampaikan ceramah motivasi bertajuk ‘Inspirasi Cemerlang’. Keramahan dan kemesraan yang ditunjukkan oleh Pro-Naib Canselor berjaya menarik minat serta memikat semua warga SMK Padang Tembak. Beliau juga ada menyatakan bahawa UTMKL akan sentiasa bersedia untuk membantu komuniti sekitar bagi menjayakan hasrat dan perancangan yang telah dipersetujui bersama menggunakan mekanisme secara menyeluruh di UTMKL untuk menarik minat dermawan yang ingin menyalurkan sumbangan dalam mencapai objektif program.

Sebanyak lima buah Pusat Tanggungjawab (PTJ) dari UTMKL telah mengambil bahagian dalam menjayakan program yang dijangka berlangsung selama 6 bulan. Program ini menglibatkan Razak School yang diketuai oleh Dr. Nurul Huda binti Ahmad, Pejabat Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi (TNCPI) diketuai oleh Prof. Madya Sallehuddin bin Muhamad, Akademi Bahasa (LA) pula diketuai oleh Prof. Madya Dr. Marlia binti Putih, Institut Pembangunan Bioproduk (IBD) diketuai oleh Prof. Madya Dr. Azila binti Abd. Aziz, manakala Pusat Kaunseling dan Kerjaya (PK) diketuai oleh Encik Zulfikar bin Ahmad dan Perpustakaan UTMKL pula diketuai oleh Puan Nik Masriza bt Zakaria.

Penglibatan UTMKL dalam Program Libatsama Komuniti sentiasa menarik perhatian, malahan mendapat pujian serta penghargaan dari komuniti sekitarnya di mana mereka berasa sangat teruja di atas perkhidmatan yang diberikan serta ilmu yang telah dikongsikan sepanjang program berlangsung.

 

Explore More