April 27, 2024

Search
Close this search box.

UTM DAN INSTITUT TEKNOLOGI PETRONAS BANGUN TEKNOLOGI TINGKAT PENGELUARAN MINYAK LAUT DALAM

News

KUALA LUMPUR, 17hb. Ogos 2016 – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Institut Teknologi  Petronas Sdn Bhd (ITPSB) menjalin kerjasama penyelidikan bagi membangunkan “Smart Optical Fibre Sensing System for Tracking Migration of Oil Flow”.  Projek bernilai RM4,000,680.00 itu bagi menghasilkan “Smart Optical Fibre Sensor” yang  dijangka akan menjadi produk yang pertama dibangunkan di dunia bagi meningkatkan pengeluaran minyak di laut dalam.

Projek berkenaan akan dikendalikan oleh Pusat Penyelidikan Teknologi Membran Termaju (AMTEC), UTM yang diketuai oleh pengarahnya Profesor Dr Ahmad Fauzi Ismail.  Profesor Dr Ahmad Fauzi yang juga Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, UTM akan menggunakan teknologi pembangunan sistem sensor gentian optik bagi pengenalpastian sumber aliran minyak di laut dalam melalui inovasi penyelidikan, pemindahan teknologi dan pengkomersilan produk.Bagi menjayakan projek berkenaan, UTM dan ITPSB menandatangi Memorandum Perjanjian (MoA) dan Memorandum Persefahaman (MoU) diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.  UTM diwakili oleh Naib Canselor, Profesor Datuk Ir Dr Wahid Omar, manakala Institut Teknologi  Petronas Sdn Bhd oleh Naib Canselor dan Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Ir (Dr) Abdul Rahim Haji Hashim.

Seramai lima orang staf akademik serta dua orang staf sokongan teknikal terlbat dalam projek ini yang turut membuka ruang dalam kerjasama perkongsian maklumat, pertukaran staf dan pelajar serta perkongsian peralatan bagi tujuan pelaksanaan projek kerjasama penyelidikan ini.

Kerjasama penyelidikan ini akan dapat memberi peluang kepada penyelidik dan perunding di AMTEC khususnya dan UTM secara amnya untuk mengaplikasikan dan mempertingkatkan penyelidikan dari aspek perancangan dan pembangunan produk untuk negara dan masyarakat.  Jangkaan hasil jangka masa panjang adalah melalui pembangunan dan pengkomersilan produk dan aktiviti perundingan.

Usahasama ini juga dapat menjana modal insan iaitu pelajar dan staf serta dapat meningkatkan tahap berdaya saing dan perkongsian idea yang lebih kompetitif di kalangan para pelajar dalam projek penyelidikan.

Explore More