April 23, 2024

Search
Close this search box.

‘1 Million Endowment Project’ berjaya kumpul RM1 juta

DYMM Raja Zarith Sofiah merasmi UTM Royal Gala Dinner sambil diperhatikan oleh Tan Sri (Dr) Aseh  dan Dr Zaini.

KUALA LUMPUR: 6 Oktober 2012: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berjaya mengumpul RM1 juta bagi mengisi Tabung Endowmen untuk membantu menyediakan biasiswa kepada pelajar cemerlang.

Naib Canselor, Profesor Datuk Dr Zaini Ujang berkata, kutipan itu dikumpul menerusi sumbangan pihak korporat, persatuan, pertubuhan, ahli perniagaan, Alumni UTM dan individu menerusi UTM Royal Gala Dinner dan UTM Corporate Golf Tournament.

“Saya ingin memaklumkan pada malam ini bahawa UTM berjaya mencapai sasaran mengumpul dana sebanyak RM1 juta menerusi program ‘1 Million Endowment Project’.

“Sejak dilancarkan pada tahun 2010 Tabung Endowmen UTM telah berjaya mengumpul dana sebanyak RM45.2 juta,” katanya semasa menyampaikan ucapan di UTM Royal Gala Dinner, di Hotel Mandarin Oriental, dekat sini malam tadi.

UTM Royal Gala Dinner dihadiri oleh Canselor UTM DYMM Raja Zarith Sofiah binti Almarhum Sultan Idris Shah, Presiden Perbadanan Putrajaya yang juga Penasihat Kehormat ‘1 Million Endowment Project’, Tan Sri Dato’ Seri (Dr) Aseh bin Che Mat dan Deputy Head of Mission Kedutaan Sweden, Sven Malmberg.

Di majlis berkenaan, Tan Sri Dato’ Seri (Dr) Aseh bin Che Mat menyampaikan sumbangan yang telah dikumpulkan kepada DYMM Raja Zarith Sofiah di hadapan lebih 800 tetamu dan Alumni UTM yang hadir memberikan sokongan.

Dr Zaini bersama Pro Canselor  Tan Sri Dr Yahya Awang, Tan Sri Dr Salleh Mohd Nor dan Pengerusi Lembaga Pengarah UTM Tan Sri Abdul Halim Ali.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Hadir di majlis berkenaan ialah Pro Canselor UTM Datuk Dr Muhammad  Ridzuan Haji Salleh, Tan Sri Dr Salleh Mohd Nor dan Tan Sri Dr Yahya Awang, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti  Tan Sri Abdul Halim Ali dan isteri masing-masing.

Dr Zaini berkata, ‘1 Million Endowment Project’ dikendalikan oleh Pejabat Alumni UTM dengan kerjasama Penasihat Endowmen Alumni UTM, Dato’ Yusof A Bakar @ Md Taib dan Dato’ Yusni Meon.

“Program yang dilaksanakan di bawah ‘1 Million Endowment Project’ ialah UTM Royal Gala Dinner dan UTM Corporate Golf Tournament yang akan diadakan di Palm Golf Resort, Putrajaya pada 7 Oktober 2012.

“Program ini diwujudkan untuk mengisi Tabung Endowmen UTM  bagi melaksana pelbagai aktiviti keilmuan dan kesarjanaan, selain memberi peluang kepada masyarakat menyumbang dan mengangkat institusi ilmu,” katanya.

Beliau berkata, program berkenaan juga bertujuan mewujudkan rangkaian korporat alumni (Alumni Corporate Network (ACN)), iaitu kumpulan sukarelawan profesional yang bergabung dengan komuniti UTM.

“Kumpulan ini membina jaringan kerjasama pintar dan hubungan strategik yang berterusan  antara UTM dan alumni ke arah hubungan yang lebih bermakna dengan dunia luar,” katanya.

Naib Canselor berkata, tabung itu diwujudkan untuk menyediakan biasiswa kepada pelajar tahun pertama, dan UTM mensasarkan semua pelajar ijazah sarjana muda menerima biasiswa dari tabung ini menjelang 2020.

Sehingga kini seramai 150 mahasiswa cemerlang UTM telah menerima biasiswa berjumlah RM12 ribu setiap tahun dan ianya tidak terikat dengan sebarang perjanjian dengan UTM dan mereka bebas memilih pekerjaan selepas tamat pengajian.

“Langkah ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial UTM dalam membantu mengurangkan beban kerajaan bagi menyediakan bantuan kewangan kepada pelajar yang melanjutkan pengajian di UTM.

Dana yang dikumpulkan akan digunakan untuk menaik taraf kemudahan makmal dan mempergiatkan aktiviti penyelidikan sejajar dengan peranan UTM sebagai Universiti Penyelidikan (RU),” katanya.

 

Explore More