April 16, 2024

Search
Close this search box.
Dr. Zaini dan Haji Razali bertukar dokumen perjanjian di ibu pejabat JAKIM.

 

PUTRAJAYA, 13 Ogos 2012: – . Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) membuka lembaran baru dalam usaha memantapkan hubungan strategik antara kedua-dua institusi dengan termeterainya Perjanjian Penyelidikan Isu Kefatwaan.

Naib Canselor UTM, Profesor Datuk Dr Zaini Ujang berkata, penyelidikan yang bertajuk, ‘Garis Panduan Pengurusan Zakat Asnaf Riqab Dan Gharimin: Satu Analisis Kontemporari’ diusahakan secara kerjasama antara Pusat Penyelidikan Fiqh Sains & Teknologi (CFiRST) UTM & Jabatan Mufti Negeri Johor.

Menurutnya, objektif kajian adalah untuk menganalisa pandangan ulama’ tentang asnaf riqab dan gharimin sebagai penerima zakat, menganalisa amalan dan keperluan semasa berkaitan asnaf berkenaan.

”Riqab adalah hamba sahaya yang akan dimerdekakan oleh tuannya. Bagi pembebasan tersebut, satu perlapan daripada zakat akan diagihkan untuk golongan hamba sahaya tersebut.

”Ini merujuk kepada maksud firman Allah SWT dalam al-Quran; surah al-Taubah ayat 60, namun, sistem perhambaan sudah tidak wujud lagi.

”Oleh itu, ada beberapa negeri di Malaysia yang menggunakan bahagian zakat riqab untuk tujuan pemulihan remaja bermasalah dan kajian perlu dijalankan bagi menghasilkan satu paiwaian yang boleh digunapakai oleh semua negeri di negara ini,” katanya.

Perjanjian penyelidikan itu ditandatangani oleh Dr Zaini dan Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Insan) JAKIM, Haji Razali Shahabudin di Ruang Legar Pejabat Ketua Pengarah JAKIM, dekat sini hari ini.

Perjanjian berkenaan disaksikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan, Profesor Emeritus Tan Sri Dato’ Dr. Abd Shukor Haji Husin.

Dr Zaini berkata, gharimin adalah orang yang berhutang dan terdapat negeri-negeri yang memberikan zakat kepada mereka yang berhutang dengan Ah Long dan ada negeri yang tidak membenarkannya.

Menerusi kajian yang diketuai oleh Timbalan Dekan (Pembangunan), Fakulti Tamadun Islam, merangkap  Felo Fiqh dan Usul Fiqh Pusat Penyelidikan Fiqh Sains & Teknologi (CFiRST) UTM & Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor; Dr. Arieff Salleh Rosman, UTM akan mengemukakan model garis panduan pengurusan zakat asnaf riqab dan gharimin untuk diteliti oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan.

Kajian ini akan dilaksanakan dalam tempoh lapan bulan bermula 13 Ogos 2012 hingga 12 April 2013 dengan geran berjumlah RM43,000 yang menggabungkan tenaga pakar daripada CFiRST, UTM dan Jabatan Mufti Negeri Johor.

Explore More