April 26, 2024

Search
Close this search box.
Dr. Zaini menerima sumbangan daripada Pengarah Kerja Prof. Madya Dr Abd Latif Salleh hasil sewaan bas untuk program pelajar balik kampung pada musim perayaan.

JOHOR BAHRU, 6 Ogos – Kakitangan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) digesa menghayati pengertian budaya endowmen yang menjadi tradisi di negara Islam semasa zaman kegemilangan Islam untuk mengembangkan ilmu.

Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Dr. Zaini Ujang berkata, endowmen atau wakaf diberikan untuk membina kemudahan pembelajaran seperti universiti, perpustakaan dan memberi bantuan kepada mereka yang ingin mendalami ilmu.

Menurutnya, sumbangan yang diberikan membolehkan aktiviti kelimuan berkembangan dengan pesat sehingga berjaya melahirkan ramai ilmuan terkemuka dan menjadikan dunia Islam sebagai tumpuan masyarakat seluruh dunia untuk menuntut ilmu dan budaya itu perlu disuburkan semula sesuai dengan tuntutan agama.

“Di Amerika Syarikat, endowmen telah menjadi sebahagian daripada budaya di kalangan rakyat di negara itu dengan menjadikan universiti sebagai penerima sebahagian daripada harta yang mereka dimiliki.

“Universiti yang memiliki banyak dana boleh mengadakan pelbagai aktiviti di seluruh dunia seperti penyelidikan, membayar gaji professor ternama dan menawarkan biasiswa kepada pelajar cemerlang sehingga sehingga menjadikannya terkenal dan maju,” katanya semasa menyampaikan ucapan di perjumpaan bulanan di Dewan Sultan Iskandar, hari ini.

Dr Zaini berkata, endowmen menjadi tarikan kepada pelajar cemerlang untuk melanjutkan pengajian di UTM kerana universiti ini menawarkan biasiswa tertinggi di negara ini berjumlah RM12 ribu setahun tanpa terikat dengan sebarang perjanjian.

Sebagai Universiti Penyelidikan dan untuk menjadi financial independence, UTM perlu menjana pendapatan sebanyak 30 peratus dari sumber dalaman dan lima peratus daripadanya akan diambil dari tabung endowmen.

“Tahun lalu kita berjaya mengumpul sebanyak RM33.6 juta berbanding sasaran RM20 juta dan pada tahun ini kita telah berjaya mencapai sasaran sebanyak RM40 juta dan jumlah berkenaan akan ditingkatkan kepada RM50 juta,” katanya.

Naib Canselor berkata, sempena bulan Ramadhan ini beliau telah melancarkan kempen sumbangan UTM pakej Ramadhan dan Syawal pada 1 Ogos lalu dan berjaya mengumpul sumbangan lebih RM200 ribu.

Tabung endowmen yang memasuki tahun kedua penubuhannya berkemampuan untuk memberikan pendidikan percuma kepada semua mahasiswa universiti menjelang tahun 2020.

Selain memberikan kemudahan biasiswa kepada mahasiswa UTM, dana endowmen turut digunakan untuk membangunkan infrastruktur penyelidikan dan pembangunan.

“Sebanyak RM2 juta telah dibelanjakan tahun 2012 bagi meningkatkan keupayaan makmal dan geran penyelidikan dan sejumlah RM70 juta bakal dibelanjakan bagi tujuan yang sama pada tahun 2020.

“Menerusi budaya endowmen beberapa perkara positif boleh kita perolehi seperti pemupukan amalan bersedekah, pengukuhan DNA institusi, kurang bergantung kepada kerajaan, dapat memberi bantuan biasiswa dan sokongan kepada aktiviti penyelidikan dan inovasi,” katanya.

Explore More