May 2, 2024

Search
Close this search box.
Prof. Azraai menyerahkan nota serah tugas kepada Prof. Rose Alinda sambil diperhatikan oleh Prof. Zaini.

JOHOR BAHRU, 19 Januari : Dekan Sekolah Pengajian Siswazah (SPS) Profesor Dr. Rose Alinda Alias dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) berkuatkuasa mulai 15 Januari 2012.

Beliau menggantikan Profesor Ir. Dr. Mohd. Azraai Kassim yang dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) juga berkuatkuasa pada 15 Januari 2012.

Prof. Dr. Mohd Azraai bertukar potfolio menggantikan Profesor Datuk Dr. Marzuki Khalid yang tamat tempoh perlantikannya sebagai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) pada 15 Januari 2012.

Profesor Dr. Rose Alinda dilahirkan pada  5 September 1964 di Jelebu, Negeri Sembilan adalah pelajar Kolej Tunku Kurshiah pada 1981 sebelum melanjutkan pengajian dalam bidang sains komputer di University of Miami, Coral Gables, Amerika Syarikat.

Beliau kemudian menyambung pengajiannya dalam bidang Sarjana Sains (Sistem Maklumat Komputer) dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan di universiti yang sama sebelum menyambung pengajian ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Sistem Maklumat di University of Salford, United Kingdom.

Profesor Dr. Rose Alinda mula bertugas sebagai pensyarah di Fakulti Sains Komputer & Sistem Maklumat (FSKSM), UTM pada 1 Ogos 1989 dan kemudiannya dilantik sebagai pensyarah kanan pada 1 Ogos 1997.

Sepanjang bertugas di UTM beliau telah memegang beberapa jawatan antaranya Timbalan Dekan Penyelidikan & Pengajian Siswazah FSKSM, Timbalan Dekan (Pengurusan Projek & Kewangan) Pusat Pengurusan Penyelidikan, Dekan (Kejuruteraan) Sekolah Pengajian Siswazah dan Dekan Sekolah Pengajian Siswazah mulai 1 Ogos 2009 hingga 14 Januari 2012.

Manakala Prof. Dr. Mohd Azraai dilahirkan tanggal 15 Julai 1958 di Kuala Kangsar, Perak. Beliau bersekolah di Kolej Melayu Kuala kangsar sebelum melanjutkan pengajian di Swansea College of Further Education, Wales dan seterusnya menyambung pengajian di peringkat sarjana muda dan sarjana di University of Manchaster Institute of Science and Technology (UMIST), United Kingdom dalam jurusan kejuruteraan awam.

Prof. Dr. Mohd Azraai kemudian meneruskan pengajian di peringkat PhD dalam bidang kejuruteraan alam sekitar di University of Newcastle Upon Tyne, United Kingdom.

Beliau mula berkhidmat di UTM sebagai pensyarah di Fakulti Kejuruteraan Awam pada 30 November 1983.

Sepanjang berkhidmat di UTM, beliau pernah dilantik sebagai Ketua Makmal Kejuruteraan Alam Sekitar, Ketua Jabatan Kejuruteraan Alam Sekitar, Timbalan dekan Akademik, Timbalan Dekan Penyelidikan dan Pascasiswazah, Dekan Fakulti Kejuruteraan Awam, Pemangku Naib Canselor sebanyak dua kali, Dekan Sekolah Pendidikan Profesional dan Pendidikan Berterusan (SPACE) dan Dekan Hal Ehwal Antarabangsa.

Sebagai seorang ahli akademik dan jurutera profesional Profesor Dr. Mohd Azraai telah menganggotai beberapa badan profesional di dalam dan luar negara. Antaranya, ahli Malaysian Society for Engineering & Technology (mSET), International Water Association (IWA) United Kingdom, The Malaysian Water Association (MWA), Environmental Management and Research Association of Malaysia (ENSEARCH),Environmental Professionals Register of Malaysia (EPRM), Institution of Engineers Malaysia (IEM), Jurutera Profesional berdaftar di Board Of Engineers Malaysia (BEM), Jurutera Profesional bertauliah ASEAN yang berdaftar dan ahli Havard Business School Alumni Club of Malaysia.

Di samping itu, beliau turut menyumbang kepakarannya sebagai perunding alam sekitar di Euro-Circuit Technology Sdn. Bhd dan Pakar Management Technology Sdn. Bhd., selain menjadi Alternate Member, Majlis Peperiksaan Malaysia dan Alternate Director METEOR Sdn. Bhd.

 

 

Explore More