April 26, 2024

Search
Close this search box.

Konvokesyen ke-47: UTMSPACE sampaikan pingat kepada graduan terbaik

Safina (kiri) Mohd Hariz dan Norzuli Idayu menerima anugerah pelajar terbaik UTMSPACE

 

24 September: – Sekolah Pendidikan Profesional dan Pendidikan Berterusan (UTMSPACE) mengadakan majlis penyampaian anugerah medal dan anugerah UTSMSPACE sempena konvokesyen UTM ke-47 di Pulai Spring, semalam.

Seramai 10 orang pelajar terbaik menerima anugerah yang disampaikan oleh Dekan UTMSPACE, Prof. Dr. Khairul Annuar Abdullah yang turut dihadiri oleh lebih 200 graduan yang bakal menerima ijazah dan diploma masing-masing pada konvokesyen kali ini.

Penerima Pingat Pelajar dan Akademik Terbaik SPACE Graduan terbaik UTMSPACE Norzuli Idayu Muharam,33, melahirkan rasa gembira kerana berjaya menjadi graduan terbaik Sarjana muda Pembangunan Sumber Manusia.

“Tidak dapat rasanya saya nak mengambarkan perasaan saya ketika ini setelah bertungkus lumus menyambung pengajian selama 5 tahun.

“Banyak pengorbanan yang telah saya lakukan semasa mengikuti kursus ini iaitu kelas pada hujung minggu menyebabkan masa rehat saya banyak dihabiskan kepada perkara ini,” katanya yang bertugas sebagai Pembantu Tadbir (Perkeranian/Operasi) di Sekolah Rendah Kebangsaan La Salle di Kuala Lumpur.

Sementara itu, adiknya Mohd. Hariz Muharam yang juga merangkul gelaran graduan terbaik pengajian separuh masa UTM berkata, penat lelah beliau selama ini berbayar dengan penganugerahan tersebut.

“Masa untuk mentelaah pelajaran hanyalah pada waktu malam kerana beliau bekerja pada sebelah siangnya menyebabkan saya hampir berputus asa tetapi perasaan itu berjaya diketepikan kerana keinginan yang kuat untuk menggenggam segulung ijazah,” katanya.

Mohd. Hariz kini bertugas sebagai Penolong Pegawai Teknologi Maklumat di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat.

Manakala Safina Mohd. Ali, 40, pula berkata, mentelaah pelajaran pada waktu malam bukanlah sesuatu yang sesuai bagi seorang ibu dan isteri sepertinya.

“Apabila tiba waktu peperiksaan, saya akan mencari soalan-soalan semester lepas dan juga pelbagai informasi yang boleh membantu.

“Bagaimanapun sokongan keluarga amat penting terutama suami yang banyak membantu,” bekas pegawai teknologi maklumat di sebuah syarikat swasta sebelum meletakkan jawatan bagi menceburi di dalam bidang yang sama sebagai perunding bebas.

Safina adalah graduan terbaik Sarjana Muda Pengurusan dan Pentadbiran Tanah yang kini sedang menyambung pengajian di peringkat Ijazah Doktor Falsafah di UTM dalam bidang yang sama.

Explore More