November 23, 2024

Search
Close this search box.

UTM bangunkan Sistem Fertigasi Pertanian jimat air

JOHOR BAHRU, 9 Mac 2016 – Para penyelidik dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah berjaya menghasilkan satu sistem Fertigasi Moden yang membolehkan penggunaan air secara optimum dalam sektor pertanian.

Dr. Mohamad Shukri menunjukkan buah rockmelon sihat yang terhasil dengan penggunaan teknologi ‘Water Saving Argiculture’ yang dibangunkannya.
Alat Pengesan Kelembapan yang dipasang dalam rumah tanaman berfungsi untuk memberikan arahan kepada pam di tangki supaya menyalurkan baja dan air mengikut keperluan kelembapan yang dikesan melalui Alat Pengesan Cuaca.

Sistem ini juga membolehkan baja disalurkan terus dalam beg tanaman secara secukupnya tanpa perlu pembaziran.

Ketua Penyelidik, Dr. Mohamad Shukri Zainal Abidin berkata sistem yang dinamakan ‘Water Saving Agriculture’ ini mula dibangunkan pada tahun 2016 dengan kos keseluruhan sebanyak RM 8,000.00

“Sistem yang dibangunkan dalam dua fasa ini dihasilkan dengan geran penyelidikan ‘Fundamental Research Grant Scheme’ (FRGS) dan juga Geran Universiti Penyelidikan (GUP).

“Melalui sistem ini, bekalan air dan baja yang secukupnya akan dapat dibekalkan dengan skala yang tepat terus kepada tumbuhan. Praktis penjimatan ini akan meringankan beban petani yang mengusahakan aktiviti pertanian,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Secara teknikalnya, keperluan penyaluran air dan baja akan ditentukan oleh data yang dikeluarkan oleh Alat Pengesan Cuaca yang diletakkan di bahagian luar Rumah Hijau yang menempatkan tanaman.

“Data yang dikeluarkan oleh Pengesan Cuaca akan dihantar pada Alat Pengesan Kelembapan yang diletakkan di dalam Rumah Hijau tersebut.  Pengesan Kelembapan kemudiannya akan mengeluarkan arahan secara digital kepada pam di tangki air untuk menyalurkan air dan baja dengan kuantiti yang tepat.

“Selain mengelakkan pembaziran dan mengurangkan kos operasi, hasil pertanian yang dikeluarkan juga akan lebih berkualiti kerana mendapat bekalan air dalam kuantiti yang diperlukan,” katanya.

Jarum sesalur yang dicucuk pada bahagian tanah dalam beg tanaman berfungsi menyalurkan air dan baja dalam kuantiti sesuai terus kepada akar pokok.
Pokok rockmelon yang ditanam untuk menguji pakai sistem ‘Water Saving Argiculture’ di Dusun UTM Johor Bahru. Tanaman ditanam secara tersusun dan sistematik bagi memudahkan kerja pemantauan.

Bagi mendapatkan kesan yang maksima dalam projek ini, satu hos getah beserta jarum sesalur telah disambungkan secara terus dengan tempat takungan air. Apabila menerima arahan dari Sensor Kelembapan, baja dan air akan disalurkan secara terus ke akar pokok melalui jarum sesalur yang dicucuk pada tanah tempat tanaman ditanam.

Menurut Dr. Mohamad Shukri, sistem yang dibangunkan secara bersama dengan Dr. Salinda Buyamin ini sedang menjalani pengujian praktikal di Ladang UTM sehingga bulan September 2017.

“Pada masa ini, kami sedang menguji sistem ini pada pokok rock melon yang ditanam di ladang UTM.

“Kami sudahpun memasuki fasa kedua penanaman di mana pada fasa pertama, hasilnya adalah amat memuaskan dan telah pun dikomersilkan,” katanya lagi.

Explore More