DINGBOCHE, Nepal, 8 November 2012: Pro Canselor, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Tan Sri Dr Salleh Mohd Nor merancang untuk menubuhkan Malaysian Mountaineering Foundation (MMA) bagi menjalankaan kajian di altitud tinggi.
Menurutnya, UTM perlu mengambil inisiatif memperkenalkan subjek kokurikulum Mountaineering dan menjadi peneraju dalam menjalankan pelbagai kajian, terutama dalam membantu rakyat Malaysia yang ingin mendaki gunung yang menjadi pilihan pendaki dari seluruh dunia.
“Antara kajian yang boleh dijalankan ialah menguji tahap kemampuan pendaki menyesuaikan diri dengan cuaca di kawasan gunung yang hendak didaki, jenis makanan yang sesuai, penyakit, keperluan mendaki dan laihan teknikal.
“Penubuhan MMA dilihat sebagai kaedah mempromosi sukan mendaki di kalangan penduduk di negara ini di samping dapat membantu pendaki mendapat maklumat yang tepat,” katanya yang menyertai sekumpulan lima mahasiswa UTM ke Everest Base Camp selama dua minggu mulai 2 November lalu.
Katanya, beliau bersedia menjadi penggerak dan berusaha untuk mendapatkan dana bagi menjayakannya dan merancang untuk menulis buku mengenai pengalaman beliau ke Everst Base Camp.
Sebelum itu, pada 5 November lalu Tan Sri Dr Mohd Salleh ditemani oleh Penolong Pendaftar Hal Ehwal Korporat, Sabri Ahmad dan lima mahasiswa UTM yang diketuai oleh Azim Afif Ishak berkunjung ke Khumjung High School di Banjaran Himalaya untuk menyampaikan sumbangan panel solar, buku dan pakaian terpakai.
Penyerahan barangan berkenaan kepada Penolong Pengetua, Sambhu disaksikan oleh dua sekarelawan suami isteri dari Carlifornia, Amerika Syarikat, Jill Relles dan Tom Relles yang datang untuk mengajar bahasa Inggeris kepada pelajar di sekolah berkenaan.