Mei 15, 2025

IMG

Mahasiswa diseru perkukuh jati diri dalam Kursus Kenegaraan Malaysia Madani

JOHOR BAHRU, 11 Mei – Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Teknologi Malaysia, Prof. Ts. Dr. Ali Selamat merasmikan Majlis Penutupan Program Mahasiswa Negara – Kursus Kenegaraan Malaysia Madani Siri 3 Zon Selatan, yang telah berlangsung selama tiga hari bermula pada 9 hingga 11 Mei 2025 di Pusat Latihan Kenegaraan Gunung Pulai, Johor. 

Program ini merupakan anjuran Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Kementerian Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui Majlis Latihan dan Kepimpinan Universiti Awam (MAKLUM) dengan kerjasama strategik daripada Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM). Pada siri ini, penganjur telah berjaya menghimpunkan seramai 100 orang pelajar peringkat zon selatan yang terdiri daripada empat buah universiti iaitu Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan Universiti Islam Malaysia (USIM). Turut hadir menjayakan program ialah para pegawai Hal Ehwal Pelajar Universiti Awa (UA) Zon Selatan, fasilitator AKM, dan wakil dari KPT.

Objektif program Mahasiswa Negara – Kursus Kenegaraan Malaysia Madani merupakan inisiatif strategik KPT bagi memperkukuh semangat kenegaraan, memperkasa kefahaman terhadap sistem pemerintahan Malaysia, dan menyemai semangat perpaduan serta cintakan negara dalam kalangan mahasiswa. Melalui pendekatan Malaysia Madani yang menekankan prinsip keadilan, ihsan, kebebasan, hormat, kebersamaan dan kemampanan, kursus ini memberi ruang kepada mahasiswa untuk memahami tanggungjawab mereka sebagai warganegara yang progresif, berpandangan jauh dan berintegriti.

Sepanjang tiga hari pelaksanaan, para peserta telah didedahkan dengan pelbagai pengisian berbentuk ilmiah, interaktif dan reflektif seperti sesi wacana sejarah dan pembentukan negara, Latihan Dalam Kumpulan (LDK) berasaskan nilai Madani, simulasi debat belia untuk membina daya fikir kritis dan kefahaman demokrasi serta penghasilan video pendek berteraskan kenegaraan dan Malaysia Madani.

Dalam ucapan penutup, Prof. Ts. Dr. Ali turut menekankan kepentingan bahawa mahasiswa masa kini perlu lebih peka dan aktif dalam isu-isu kenegaraan serta memainkan peranan sebagai agen perubahan yang membawa nilai murni kepada masyarakat. “Mahasiswa perlu memiliki jati diri nasional yang utuh, bersedia untuk berkhidmat bukan sahaja kepada komuniti universiti, malah kepada negara secara keseluruhan. Program seperti ini sangat penting dalam membina karakter dan mempersiapkan generasi muda yang berdaya tahan, berilmu dan beretika,” katanya.

IMG
Prof. Dr. Ali sewaktu menyampaikan ucapan penutupan rasmi

Beliau turut menyarankan agar program seumpama ini diperluas dan dimantapkan melalui pendekatan rentas universiti demi memperkukuh naratif Malaysia Madani di peringkat akar umbi dalam mengenal pasti pemimpin bagi masa hadapan. Program ini dilihat berjaya memberikan impak positif kepada para peserta dari segi peningkatan kefahaman terhadap konsep kenegaraan, pembangunan jati diri, dan semangat patriotisme. Ia juga menjadi medan pertemuan dan kolaborasi antara mahasiswa zon selatan, memperkukuh jaringan kepimpinan belia negara. 

IMG
Prof. Dr. Ali bergambar bersama peserta siri 3 dari UTM

Program yang sama turut berlangsung serentak di lima zon yang lain mengikut lokalliti universiti awam iaitu zon Tengah di Pusat Latihan Kenegaraan Ulu Sepri, Negeri Sembilan; zon Utara di Pusat Latihan Kenegaraan Ulu Kenas, Perak; zon Timur di Pusat Latihan Kenegaraan Lipis, Pahang; zon Sabah di Pusat Latihan Kenegaraan Kundasang dan zon Sarawak di Pusat Latihan Kenegaraan Sampadi.

jpg
Sesi bergambar bersama semua peserta dari Universiti awam zon selatan

Explore More