JOHOR BAHRU, 2 Mei – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menerusi Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi (FEST) telah menjalin satu kerjasama pintar bersama Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Jaafar (SDJ) dalam menganjurkan Program Jaringan Pintar sempena Kem Kepimpinan Jaafarian 2025 yang berlangsung dari 30 April hingga 2 Mei 2025 di Outward Bound, UTM Johor Bahru. Program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif kolaboratif di bawah objektif penyediaan perkhidmatan dan pembangunan pendidikan seperti yang digariskan dalam program kerjasama selama enam (6) bulan antara kedua-dua institusi.
Majlis rasmi Jaringan Pintar yang diadakan pada 2 Mei 2025 telah disempurnakan oleh Timbalan Dekan Akademik FEST, Profesor Madya Dr. Megat Aman Zahiri bin Megat Zakaria yang menyampaikan ucapan utama berkaitan peluang pendidikan tinggi di FEST UTM, inisiatif akademik semasa serta galakan kepada para pelajar sekolah menengah dan guru-guru untuk melanjutkan pengajian di universiti awam terkemuka seperti UTM.

Turut hadir memeriahkan program ialah Puan Faitiazwa binti Ahmad Zaini, Guru Penolong Kanan Pentadbiran SDJ, Encik Zulkefli bin Zakaria, Guru Penolong Kanan Kokurikulum SDJ, serta Dr. Mohd Rustam bin Mohd Rameli, Pengurus Penglibatan Luar & Global FEST yang juga memainkan peranan penting dalam menjayakan pelaksanaan prorgam kerjasama ini. Kehadiran ahli akademik UTM daripada Pensyarah Sains Sukan Jabatan Pengajian Pendidikan dan Sains Tingkahlaku, guru-guru pengiring SDJ serta 120 orang pelajar SDJ yang terlibat menjadikan program ini suatu usaha yang sangat bermakna dalam memperkukuh jalinan dua hala.
Kem Kepimpinan Jaafarian 2025 yang menjadi tunjang utama kolaborasi ini telah memberi tumpuan kepada pembentukan karakter, daya kepimpinan serta kebolehan membuat keputusan pelajar melalui pelbagai aktiviti berbentuk eksplorasi dan cabaran. Antara pengisian program termasuklah aktiviti pendidikan luar, kerjasama berpasukan, serta pendedahan kepada penggunaan fasiliti yang disediakan di Outward Bound UTM. Aspek keselamatan dan pendidikan turut diberi perhatian dengan penglibatan langsung daripada pensyarah dan fasilitator UTM.




Selain penginapan dan penyewaan fasiliti, kolaborasi ini turut melibatkan sesi taklimat akademik dan laluan kemasukan pelajar ke UTM yang disampaikan dalam bentuk interaktif. Ini memberi pendedahan awal kepada pelajar tentang bidang pengajian, peluang penyelidikan dan ekosistem pembelajaran yang disediakan di UTM.
Kerjasama antara FEST UTM dan SDJ ini bukan sahaja menjurus kepada penyediaan perkhidmatan dalam bentuk kemudahan, tetapi turut mencakupi aspek pendidikan dan penyelidikan. Antara objektif utama yang dikenalpasti termasuklah penyediaan perkhidmatan dengan menyediakan skop dan bidang khidmat sokongan seperti fasiliti, alatan dan kepakaran untuk pelajar dan komuniti; Penyelidikan dan pendidikan dengan meneroka peluang penerbitan bersama dan kolaborasi penyelidikan antara ahli akademik FEST dan SDJ; Inovasi dalam teknologi sukan dengan menjana inovasi berdasarkan data lapangan dan keperluan murid melalui aktiviti-aktiviti seperti Klinik Sukan Bola Jaring, Pertandingan Catur dan LDP, kemudahan dan prasarana dengan berkongsi penggunaan fasiliti serta memanfaatkan ruang akademik UTM dalam memperkasakan kokurikulum pelajar sekolah.
Antara manfaat signifikan yang dicapai melalui program jaringan pintar ini termasuklah pendedahan awal kepada inovasi dan teknologi sukan, pengukuhan kemahiran dalam kalangan pelajar dan guru, serta pembentukan jaringan profesional antara ahli akademik UTM dan warga pendidik SDJ. Kolaborasi ini juga membuka jalan kepada penyambungan pengajian pelajar SDJ ke peringkat pengajian tinggi, khususnya dalam bidang-bidang yang ditawarkan oleh FEST.
Program ini secara tidak langsung memperlihatkan komitmen UTM dalam menjalin hubungan strategik dengan komuniti luar, seiring dengan aspirasi universiti sebagai institusi peneraju pendidikan dan penyelidikan yang berteraskan keterlibatan komuniti dan pembangunan bakat muda. Kem Kepimpinan Jaafarian 2025 dan Program Jaringan Pintar FEST UTM-SDJ merupakan manifestasi keberhasilan pendidikan berasaskan pengalaman dan kolaborasi antara sekolah dan universiti dalam membina pelapis kepimpinan masa hadapan.