JOHOR BAHRU, 29 April – Penasihat kelab dan persatuan pelajar di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) disaran agar terus memainkan peranan aktif serta kekal relevan dalam mendidik dan membimbing mahasiswa menghadapi cabaran era digital yang semakin mencabar dan kompleks.
Perkara tersebut disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Prof. Ts. Dr. Ali Selamat semasa merasmikan Majlis Pelantikan Penasihat Sesi 2025/2026 dan Penghargaan Penasihat Sesi 2023/2024 yang berlangsung di Hotel Ramada by Wyndham Meridin.
Majlis tersebut menghimpunkan seramai 102 tetamu yang terdiri daripada penasihat semasa, mantan penasihat serta jemputan khas, sekali gus menjadi platform penghargaan atas dedikasi mereka dalam memperkasakan pembangunan sahsiah dan kepimpinan pelajar.
Dalam ucapannya, Prof. Ali menekankan bahawa para penasihat bukan sahaja perlu memahami keperluan semasa mahasiswa, malah harus peka terhadap perkembangan teknologi masa kini, khususnya yang melibatkan penggunaan media sosial dan kecerdasan buatan (AI), agar dapat membimbing pelajar menggunakannya secara beretika dan bertanggungjawab.
“Kita tidak hanya mahu melahirkan pelajar yang cemerlang dari segi akademik, tetapi juga individu yang beradab, berakhlak mulia dan bertanggungjawab sama ada di dunia nyata mahupun di alam maya,” tegas beliau.

Untuk sesi 2025/2026, UTM mempunyai 120 persatuan pelajar yang aktif, merangkumi 42 persatuan akademik, 40 persatuan bukan akademik, 6 badan beruniform, 10 Jawatankuasa Mahasiswa (JKM), 9 persatuan anak negeri, dan 7 persatuan berunsur keagamaan. Selain itu, enam persatuan baharu turut ditubuhkan bagi sesi ini — satu di bawah kategori persatuan mahasiswa fakulti dan lima lagi di bawah kategori bukan akademik.
Bagi memastikan kelangsungan pentadbiran dan pelaksanaan program pembangunan pelajar yang lebih tersusun dan berimpak, pihak universiti telah melantik seramai 144 orang penasihat untuk membimbing semua persatuan ini. Peranan penasihat bukan sahaja penting dalam aspek pematuhan dan pentadbiran, tetapi juga sebagai pemangkin kepada idea-idea baharu serta penyokong utama aktiviti pelajar yang bersifat holistik dan inklusif.


Turut hadir memeriahkan majlis ialah Pengarah Aktiviti & Pembangunan Pelajar, Prof. Madya Dr. Azlan Abdul Latif; Pengerusi Majlis Pengetua, Prof. Madya Ts. Dr. Abdul Rahman Tamuri; serta barisan Timbalan Dekan (Akademik & Pembangunan Pelajar) dari pelbagai fakulti.
Majlis ini sekali lagi membuktikan komitmen UTM dalam memperkukuh jaringan bimbingan pelajar melalui penasihat yang berkaliber dan berdedikasi, sejajar dengan aspirasi universiti untuk melahirkan graduan holistik, berciri kepimpinan, dan mampu bersaing dalam landskap global masa kini. Peranan penasihat dilihat bukan sahaja sebagai pemantau, malah sebagai mentor yang mampu menyemai nilai integriti, kreativiti dan kepedulian dalam kalangan mahasiswa agar mereka menjadi pemimpin masa depan yang seimbang dari segi intelek dan sahsiah.