Mei 5, 2025

WhatsApp Image at PM

UTM perkasa misi sosial dan ekonomi melalui UTM Teknovasi

KEDAH, 27 Apr –Berpaksikan kepada usaha memperkasa komuniti, Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur telah menganjurkan satu program pemindahan ilmu berimpak tinggi, iaitu Program Pemindahan Ilmu – Geran Teknologi Penyelidikan (KTP-RIG) UTM Teknovasi, pada 26 hingga 27 April 2025 di Yan, Kedah.

Dengan tema ‘Universiti Merentas Komuniti’, program ini bertujuan untuk menjalankan misi sosial dan ekonomi kepada kira-kira 140 orang penerima manfaat dalam memperkasa komuniti berpendapatan rendah (B40) serta golongan sasaran di sekitar daerah Yan. Sebanyak empat sub projek telah berjaya dilaksanakan, iaitu Teknovasi Simenfero dan Arca Mini Landskap, Pelaporan Dashboard Menggunakan Google Looker Studio, Penyelenggaraan Pendingin Hawa Rumah: Basic & Chemical, serta Celik IoT: Kawalan Peralatan Rumah Menggunakan Telefon Pintar.

Para peserta sedang mempelajari cara membaca tekanan gas penghawa dingin menggunakan manifold gauge

Program ini telah diketuai oleh Prof. Madya Ts. Dr. Mohamad Zaki Hassan manakala sub-projek diketuai oleh para penyelidik daripada Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT) serta Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI) manakala staf Pusat Pengurusan Makmal Universiti (PPMU) Kuala Lumpur pula bertindak sebagai fasilitator dalam menyumbang kepakaran teknikal di mana para peserta telah diajar kemahiran asas secara teori dan praktikal sehingga kepada penghasilan produk.

Aktiviti perpindahan ilmu program IoT : Kawalan Peralatan Elektrik di Rumah Menggunakan Telefon Pintar

Program yang mendapat kerjasama strategik Majlis Daerah Yan ini telah dilaksanakan secara bersemuka selama 2 hari melalui bengkel hands-on bersifat interaktif 2 hala dan praktikal dengan dibantu oleh Jawatankuasa Komuniti Kg. Kuala Dulang Kechil dan Masjid Al Wustha, Guar Cempedak.

Beberapa produk inovasi guna sama dan mesra alam telah berjaya dihasilkan antaranya 1 set meja dan kerusi, 10 unit laluan pejalan kaki, 5 unit pasu bunga, 10 unit cendawan landskap dan 1 unit tong sampah simenfero, latihan praktikal selenggara 4 unit pendingin hawa dewan masjid, kawalan beberapa peralatan elektrik seperti lampu dan kipas rumah menggunakan telefon pintar dan pembangunan 4 dashboard utama menggunakan Google Looker Studio. Kesemua peralatan tangan, bahan dan kit pengajaran juga telah diserahkan kepada Jawatankuasa Komuniti bagi memastikan kemampanan program.

Antara aktiviti penghasilan produk simenfero mesra alam
Sebahagian peserta dalam program Pembangunan Dashboard Menggunakan Google Looker Studio (GLS)

Diharapkan program ini mampu memperkasa dan mempertingkat kesejahteraan, kemampanan, resilien dan semangat berdikari  peserta yang terpilih melalui kemahiran dan pengetahuan baru dalam bidang simenfero, selenggara penghawa dingin, pendawaian elektrik dan pembangunan data. Ianya juga bakal meningkatkan ekonomi peserta untuk menjana pendapatan tambahan melalui kemahiran yang diperoleh serta sebagai satu kaedah Train of Trainers (ToT) oleh Universiti di mana penerima manfaat dijangka mampu untuk mengajar dan menyebar luas kemahiran yang diterima kepada masyarakat lain.

Penyerahan sijil penghargaan kepada Jawatankuasa Komuniti Kg. Kuala Dulang Kechil

Explore More