April 29, 2025

photo

Program CINTA kukuhkan perpaduan kampus melalui warisan dan kebajikan

JOHOR BAHRU, 19 Apr – Program Cultural Insight into Nusantara Traditions and Adat (CINTA) anjuran Jawatankuasa Kolej Pelajar (JKP) Kolej Tun Hussein Onn (KTHO), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah berjaya melakar sejarah tersendiri pada 18 dan 19 April lalu apabila berjaya menyatukan elemen tradisi, perpaduan dan kelestarian dalam satu inisiatif berimpak tinggi buat komuniti kampus. Program ini disokong melalui dana daripada sesi Top Bidder anjuran Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) (JTNCHEPA) UTM selain turut disokong oleh sumbangan yang diberikan JKP KTHO, alumni, serta sumbangan yang diperolehi daripada Tabung Imarah Ramadan (IMRAN). 

Program ini mengangkat semula semangat gotong-royong masyarakat Nusantara melalui aktiviti rewang tradisional. Selama dua hari, para ahli jawatankuasa yang terdiri daripada pelajar KTHO berganding bahu dalam penyediaan juadah tradisi seperti nasi minyak, ayam masak merah, acar, dalca dan air minuman, aktiviti menghias dewan bertemakan adat perkahwinan Melayu, serta menyertai pelbagai permainan warisan seperti congkak dan batu seremban. Majlis turut dimeriahkan dengan simulasi lengkap adat perkahwinan Melayu – termasuk berarak, malam berinai dan makan damai – yang mendapat sambutan hangat daripada pelajar antarabangsa.

Aktiviti memasak yang dijalankan di sekitar kawasan L01
Para pelajar bersama-sama merewang untuk menyediakan juadah
Para pelajar bersama-sama merewang untuk menyediakan juadah

Menariknya, penganjuran program ini turut menekankan prinsip kelestarian alam sekitar dengan tidak menggunakan plastik sekali guna sepanjang berlangsungnya program. Para peserta digalakkan membawa bekas makanan dan peralatan makan sendiri, mencerminkan komitmen KTHO terhadap usaha konkrit merealisasikan kampus yang lebih lestari.

Program CINTA telah memberi manfaat langsung kepada 50 pelajar daripada golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) menerusi sumbangan yang disalurkan oleh JKP KTHO. Inisiatif ini bertujuan meringankan beban kos sara hidup pelajar yang kian mencabar, selari dengan usaha memperkasakan kesejahteraan komuniti kampus. “Program ini tidak hanya tentang budaya, tetapi juga kasih sayang sesama warga kampus. Ia membantu mahasiswa yang memerlukan di samping mengangkat semula nilai gotong-royong yang semakin dilupakan,” ujar Pengarah Program, Aina Najihah Mohd Ramlan.

Para hadirin menggunakan pinggan bukan sekali guna ketika menjamu selera
Para hadirin menggunakan pinggan bukan sekali guna ketika menjamu selera

Simulasi majlis perkahwinan turut menjadi tarikan utama, apabila pelajar berbangsa Cina, Tsai Jia Yuh, tampil sebagai ‘pengantin perempuan’ lengkap berpakaian tradisional. “Saya amat gembira diberi peluang menyertai program ini. Ini pengalaman yang sangat unik. Saya lebih memahami dan menghargai adat Melayu, dan ia membuatkan saya rasa lebih dekat dengan budaya Malaysia,” ujarnya.

Sesi bergambar bersama Majlis Felo Merbauan (MAFAN) dan JKP KTHO
Sesi bergambar bersama pelajar antarabangsa, Majlis Felow Merbauan (MAFAN) dan JKP KTHO

Program ini telah dirasmikan oleh Pegawai Tadbir Bahagian Kemudahan, Kebajikan & Tatatertib Pelajar, JTNCHEPA, En. Shamsul Azli Shamsuray. Dalam ucapannya, beliau menyifatkan program ini sebagai simbol kasih sayang dan perpaduan yang wajar dicontohi. “Konsep rewang yang diketengahkan bukan sekadar mencerminkan nilai kemasyarakatan dalam budaya Nusantara, malah menjadi simbol kebersamaan dalam membantu golongan yang memerlukan.”

Program CINTA turut menyokong pelaksanaan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 2 (Sifar Kebuluran), SDG 3  (Kesihatan dan Kesejahteraan), serta SDG 10 (Mengurangkan Ketidaksamarataan) menjadikannya bukan sahaja sebuah program warisan, tetapi juga medan bagi pembangunan sahsiah dan empati sosial dalam kalangan mahasiswa UTM sejajar dengan aspirasi UTM untuk mewujudkan komuniti kampus yang inklusif dan lestari. 

Sesi penyerahan sumbangan duit raya kepada para pelajar
Sesi penyerahan sumbangan duit raya kepada para pelajar

Melangkaui sekadar penganjuran aktiviti pelajar, Program CINTA membuktikan bahawa warisan budaya mampu menjadi jambatan perpaduan, platform aktiviti kebajikan, dan agen perubahan ke arah kelestarian kampus. Inisiatif seperti ini mengingatkan bahawa kekuatan sebenar sesebuah komuniti terletak pada semangat gotong-royong, rasa empati, dan usaha bersama untuk memastikan tiada yang tertinggal. Program ini bukan hanya dikenang sebagai acara tahunan, tetapi sebagai manifestasi kasih sayang dalam bentuk tindakan seperti cinta yang diterjemah melalui perbuatan.

Explore More