April 25, 2025

100 hari kepimpinan NC ke-8 UTM dirai dalam wacana reflektif di PRZS

JOHOR BAHRU, 23 April – Perpustakaan Raja Zarith Sofiah UTM menjadi medan intelektual bagi satu sesi wacana istimewa sempena meraikan 100 hari pentadbiran Naib Canselor ke-8 UTM, YBrs. Prof. Dr. Mohd Shafry bin Mohd Rahim. Bertemakan “Imbasan Majlis Bersama Naib Canselor: 100 Hari Pentadbiran NC Ke-8, Melonjak Kecemerlangan Institusi”, program ini merupakan anjuran bersama Jabatan Perpustakaan UTM dan Pejabat Naib Canselor UTM serta disiarkan secara langsung menerusi Facebook Perpustakaan UTM dan saluran YouTube rasmi, UTM Library TV.

AA
Warga UTM menyertai ‘Jom Membaca 10 Minit 2025’ sebagai simbolik pembudayaan ilmu

Program dimulakan dengan penglibatan warga kampus dalam ‘Jom Membaca 10 Minit 2025’, yang disambut serentak di seluruh negara pada 23 April. Bertemakan “Nikmati Saat Ini”, inisiatif ini memperkukuh budaya membaca sebagai asas kepimpinan berilmu dan pembinaan masyarakat Madani.

Refleksi 100 Hari Kepimpinan

Sesi wacana dikendalikan oleh Dr. Muhammad Abd Hadi Bunyamin selaku moderator bersama tiga ahli panel, iaitu Prof. Sr. Gs. Dr. Mazlan Hashim, Pengerusi Majlis Profesor UTM; Puan Hanifah Ahmad, Timbalan Pendaftar Kanan; dan Saudara Muhammad Hazim Azatul Amery, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar UTM.

AA
Barisan panel mewakili suara akademik, pentadbiran dan mahasiswa dalam sesi wacana reflektif

Diskusi ini mengupas pelbagai sudut pandang terhadap kepimpinan NC Ke-8 UTM dalam tempoh 100 hari pentadbiran. Prof. Dr. Mazlan memuji kecekapan Naib Canselor dalam menangani isu akar umbi serta usaha proaktif beliau dalam mendorong transformasi digital, khususnya dalam bidang kecerdasan buatan (AI). Beliau menyifatkan Prof. Dr. Mohd Shafry sebagai pemimpin berorientasikan tindakan dan berpandangan jauh.

Puan Hanifah pula menekankan nilai-nilai Islam yang dijunjung dalam kepimpinan NC sebagai pemacu kepada budaya kerja yang lebih beretika dan berfokus. Menurut beliau, transformasi digital yang diterajui NC turut memberi impak positif terhadap sistem penyampaian perkhidmatan universiti.

Saudara Hazim, mewakili suara mahasiswa, menyatakan bahawa pendekatan mesra pelajar (student-minded) oleh NC memudahkan komunikasi dan penyelesaian isu berkaitan pembelajaran serta kebajikan pelajar. Antara inisiatif yang diapresiasi termasuk bantuan subsidi dan tumpuan terhadap kebolehpasaran graduan.

Aspirasi Masa Depan UTM

Ketiga-tiga panel turut melontarkan pandangan dan harapan terhadap hala tuju UTM di bawah teraju baharu. Prof. Dr. Mazlan menekankan kepentingan memperkukuh reputasi akademik universiti di peringkat global, khususnya dalam penarafan QS World University Rankings, yang memberi impak langsung terhadap persepsi dan keyakinan masyarakat terhadap kualiti pendidikan dan penyelidikan UTM.

Puan Hanifah menyeru agar staf Pengurusan dan Profesional (PPP) terus diberi ruang sebagai pemikir strategik dalam pembangunan universiti, bukan sekadar pelaksana. Beliau menekankan keperluan budaya pengurusan yang lebih inklusif dan terbuka.

Saudara Hazim pula berharap keterbukaan Naib Canselor terhadap suara pelajar dapat diteruskan demi menjamin pentadbiran yang dinamik, responsif dan sejajar dengan harapan mahasiswa.

Sesi wacana turut mendapat sentuhan istimewa daripada Prof. Ahmad Jusoh, Dekan Fakulti Pengurusan, yang berkongsi pandangan bahawa Naib Canselor ke-8 berupaya menelusuri isu universiti yang kompleks dengan penuh kebijaksanaan, dan menyampaikannya dalam bentuk yang tersusun serta mudah difahami. Beliau menyifatkan pendekatan ini telah memperkukuh kefahaman dan memperjelas naratif dalam kalangan warga kampus.

Ketibaan Naib Canselor telah menyerikan lagi sesi tersebut. Moderator turut menyifatkan keupayaan beliau dalam “connecting the dots” sebagai kelebihan strategik yang membentuk naratif kepimpinan yang holistik dan berkesan.

AA
Sesi bergambar kenangan bersama warga UTM usai majlis wacana

Majlis diakhiri dengan penyampaian cenderahati kepada ahli panel dan moderator serta sesi fotografi kenangan. Program ini berjaya meniup semangat baharu dalam kalangan warga UTM untuk terus menyumbang ke arah kecemerlangan institusi.

Explore More