April 26, 2025

digital art ai technology background

Teknologi AI sebagai sokongan baharu dalam menjaga kesihatan mental

Kesihatan mental merujuk kepada kesejahteraan emosi, psikologi dan sosial yang mempengaruhi cara seseorang berfikir, merasa dan bertindak. Menurut Organisasi Kesihatan Dunia (WHO), ia adalah keadaan di mana individu menyedari keupayaan mereka, mengatasi tekanan, bekerja dengan produktif dan memberi sumbangan kepada komuniti, bergantung pada keseimbangan fizikal, mental dan sosial yang sihat.

kesihatan mental
Sumber: Majlis Keselamatan Negara

Berdasarkan gambar rajah di atas, terdapat beberapa langkah praktikal yang boleh diambil untuk menjaga kesihatan mental, yang boleh diaplikasikan dalam kehidupan seharian. Langkah-langkah ini amat penting, terutamanya dalam menghadapi cabaran kehidupan yang sering muncul termasuk bagi golongan mahasiswa.

Faktor yang menyumbang kepada masalah kesihatan mental di kalangan mahasiswa

Tekanan akademik merujuk kepada tekanan mental yang dialami mahasiswa akibat peperiksaan, tugasan, persaingan serta harapan pensyarah dan ibu bapa. Faktor lain termasuk penulisan kertas projek, kemahiran pembelajaran yang lemah, beban akademik berlebihan dan persekitaran pembelajaran yang tidak kondusif. Pemilihan bidang pengajian dan rakan sebaya yang sesuai juga memainkan peranan penting dalam kehidupan sosial mahasiswa.

Selain itu, kehidupan keluarga yang tidak harmoni, terutamanya perceraian ibu bapa, memberi impak besar terhadap kesihatan mental mahasiswa. Kekurangan kasih sayang dan perhatian mengakibatkan rasa terabai, yang kemudiannya mempengaruhi prestasi akademik mereka.

Tekanan psikologi dalam kalangan mahasiswa juga berkait rapat dengan daya tahan diri. Mahasiswa yang lemah daya tahan, kurang keyakinan dan tidak mempunyai kemahiran menyelesaikan masalah lebih mudah mengalami masalah kesihatan mental, kerana mereka kurang mampu menghadapi situasi stres.

Pengaruh media sosial turut menyumbang kepada masalah kesihatan mental mahasiswa. Perbandingan sosial menyebabkan rasa rendah diri, manakala buli siber memberi tekanan emosi yang serius. Ketagihan media sosial pula mengganggu tidur, mengurangkan fokus dalam pelajaran dan meningkatkan kebimbangan.

Faktor kesihatan fizikal juga memberi kesan terhadap tekanan psikologi mahasiswa. Penyakit kronik seperti sakit jantung atau kanser menyebabkan perasaan sedih dan putus asa, yang boleh mengganggu kesihatan mental mereka. Selain itu, gaya hidup seperti penyalahgunaan bahan, merokok, pola makan, kualiti tidur dan aktiviti fizikal turut mempengaruhi tahap tekanan psikologi.

Peranan teknologi AI dalam kesihatan mental

Chatbot AI digunakan dalam kesihatan mental untuk memberi sokongan yang mudah diakses dan disesuaikan dengan keperluan individu. Ia menawarkan terapi sepanjang masa tanpa penilaian negatif, membantu mengatasi stigma dan kos serta memberikan sokongan fleksibel. Walaupun ia berfungsi sebagai tambahan kepada terapi manusia, ia tidak menggantikan sokongan pakar.

Pfizer Malaysia juga melancarkan aplikasi Moodigo yang membantu individu menjejak mood, menetapkan matlamat dan merancang rutin harian sihat. Aplikasi ini menawarkan ciri seperti diari, ujian kemurungan, tip kesihatan mental dan khidmat jurulatih maya. Ia juga dilengkapi teknologi biomarker suara untuk mengesan tanda awal gangguan mental.

Fenotaip digital menggunakan data dari peranti digital untuk memahami corak tingkah laku seseorang, seperti tidur, aktiviti fizikal dan interaksi sosial. Teknologi Kecerdasan Buatan (AI) menganalisis data ini untuk memberikan gambaran lebih tepat mengenai keadaan kesihatan mental dan membantu dalam diagnosis serta perancangan rawatan.

Selain itu, permainan komputer yang dianalisis menggunakan sistem pemprosesan maklumat neural dapat digunakan untuk mengenal pasti gangguan kesihatan mental seperti kemurungan dan gangguan bipolar. Permainan ini mengumpul data dari tingkah laku pemain untuk mengukur kognisi, reaksi emosi dan kelajuan membuat keputusan serta menyediakan rawatan atau latihan terapeutik dalam bentuk yang interaktif dan menarik.

Manfaat teknologi AI dalam pengurusan kesihatan mental

Teknologi AI membantu mahasiswa mengurus beban akademik dengan lebih teratur dan efisien. Pembantu maya seperti Siri, Google Assistant dan Alexa boleh digunakan untuk menetapkan peringatan tugasan, menjadualkan sesi ulang kaji, atau mencari maklumat semasa kerja kursus. Peralatan pintar seperti pencetak automatik atau lampu meja pintar yang boleh dikawal melalui suara atau aplikasi mudah alih turut meningkatkan persekitaran pembelajaran.

AI dapat mengesan petunjuk awal gangguan mental seperti kemurungan dan keresahan, membolehkan saringan dan intervensi lebih cepat. Aplikasi seperti Wysa dan Woebot menawarkan sokongan emosi melalui Chatbot AI, manakala Calm dan Headspace menyediakan pengalaman terapi yang disesuaikan. AI juga mencadangkan rawatan yang lebih efektif, memudahkan penjadualan temu janji serta mengurangkan masa menunggu dan kos rawatan.

Cabaran dan etika penggunaan AI

Salah satu kebimbangan utama dalam penggunaan AI dalam kesihatan mental ialah bias algoritma yang boleh mempengaruhi ketepatan diagnosis dan rawatan. Jika data yang digunakan mengandungi bias berhubung kaum, jantina, atau latar belakang sosioekonomi, algoritma mungkin menghasilkan keputusan yang tidak adil, menyebabkan ketidaksamarataan dalam perkhidmatan kesihatan, terutama bagi kumpulan terpinggir.

Selain itu, privasi data juga menjadi cabaran etika penting. Data peribadi dan emosi yang dikumpulkan adalah sensitif dan berisiko tinggi untuk diceroboh. Ancaman seperti kebocoran maklumat atau penyalahgunaan data untuk tujuan komersial menimbulkan persoalan tentang keselamatan dan etika pengendalian data. Langkah keselamatan dan perlindungan data yang ketat perlu dilaksanakan untuk melindungi data pesakit dan menjaga kepercayaan pengguna terhadap sistem kesihatan digital.

Ketelusan dalam cara algoritma membuat keputusan penting, kerana sifat ‘black box‘ dalam sesetengah sistem AI menyukarkan pemahaman proses keputusan. Kekurangan ketelusan ini boleh mengurangkan kepercayaan pesakit dan menjadikan mereka sukar menerima rawatan. Selain itu, isu kebertanggungjawaban timbul jika berlaku kesilapan. Penggunaan AI juga mengubah hubungan tradisional antara doktor dan pesakit, berpotensi mengurangkan empati dan komunikasi manusia dalam rawatan kesihatan mental. Menemui keseimbangan antara AI dan interaksi manusia merupakan cabaran etika yang perlu diatasi.

Teknologi AI menawarkan peluang besar dalam membantu manusia mengurus kesihatan mental mereka, tetapi ia perlu diintegrasikan dengan pendekatan tradisional seperti kaunseling dan sokongan sosial. Dengan pembangunan teknologi yang berterusan, AI boleh menjadi alat yang berkesan untuk mengesan, mencegah dan merawat masalah kesihatan mental. Namun, kita juga perlu memastikan penggunaan teknologi ini berlandaskan etika dan memberi keutamaan kepada kesejahteraan manusia.

Oleh Dr. Wan Noor Hamiza Wan Ali, Dr. Noor Jannah Zakaria dan Ts. Dr. Normaisharah Mamat. Ketiga-tiga penulis ini merupakan pensyarah di Fakulti Kecerdasan Buatan, Universiti Teknologi Malaysia.

Explore More