April 25, 2025

WhatsApp Image at AM ()

UTM Prihatin sumbang bantuan banjir dan Ihya’ Ramadan bersama komuniti

JOHOR BAHRU, 26 Mac – Pasukan UTM Prihatin di bawah kelolaan Pusat Islam UTM dan Bahagian Pengurusan Organisasi (BPO), Jabatan Pendaftar telah menggerakkan program Sukarelawan UTM PRIHATIN  bagi menyemarakkan bulan Ramadan dengan melaksanakan tugas pemberian sumbangan kepada golongan asnaf dan anak yatim di Kampung Sepakat Baru. Program tanggungjawab sosial universiti (USR) ini juga dilaksanakan susulan dari bencana banjir kilat yang dihadapi oleh sekitar 130 keluarga penduduk di kampung tersebut.

WhatsApp Image at AM ()
Khairull Azmi Ishak (kanan) mewakili UTM Prihatin menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penduduk Kampung Sepakat Baru yang terkesan akibat banjir

Program ini bertujuan untuk mengukuhkan hubungan antara UTM dan masyarakat setempat, serta mengeratkan silaturahim melalui aktiviti berbuka puasa dan ibadah bersama. Seramai 72 penerima sumbangan asnaf dan 7 orang anak yatim telah menerima sumbangan berupa barang keperluan kering seperti beras, gula, teh, kopi, susu, mee hoon, biskut, minyak masak, dan lain-lain termasuk wang tunai bagi anak-anak yatim di situ.

“Bagi pihak penduduk kampung, saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak UTM yang sangat endah kepada masalah yang dihadapi oleh para penduduk kampung sejak beberapa tahun ini. Ini termasuk bantuan dari pihak Pusat Islam UTM menyemarakan surau kampung sebelum ini. Komitmen menghulurkan bantuan dari UTM Prihatin sangat-sangat dihargai oleh seluruh para penduduk kampung,” ujar Azmi Basiran, Ketua Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Sepakat Baru.

WhatsApp Image at AM ()
Ketua JPKK Kampung Sepakat Baru, Azmi Basiran, menyampaikan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada UTM

Program Ihya’ Ramadan Bersama Komuniti Kampung Sepakat Baru ini merupakan usaha berterusan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dalam melaksanakan tanggungjawab sosial, serta memberi peluang kepada warga UTM dan masyarakat setempat untuk bersama-sama beribadah dan berkongsi rezeki dalam bulan yang penuh keberkatan ini dengan menyumbang makanan berbuka puasa selama empat hari berturut-turut ketika penduduk kampung sedang bergelut dengan banjir kilat baru-baru ini.

Sementara itu, bagi pihak mewakili UTM iaitu Khairull Azmi Ishak, Timbalan Pendaftar, BPO, menyampaikan salam dan rasa empati dari seluruh warga UTM atas bencana yang menimpa penduduk kampung Sepakat baru-baru ini. Menurut beliau, usaha murni USR dari pihak UTM Prihatin dengan menggabungkan pasukan sukarelawan UTM, UTM Marshall dan para pelajar membuktikan UTM terus endah dan prihatin kepada masalah dari kalangan komuniti khususnya di sekitar UTM sendiri. Majlis ini juga diisi dengan tazkirah motivasi khusus kepada penduduk yang terkesan dengan musibah banjir dari perspektif Islam dalam mengharungi kehidupan mendatang.

WhatsApp Image at AM
Seorang anak yatim dari Kampung Sepakat Baru menerima sumbangan wang tunai daripada UTM Prihatin
WhatsApp Image at AM ()
Ustazah Dr. Naemah Hamzah menyampaikan tazkirah bertajuk “Menghadapi Ujian Allah”

Sebelum dari program ini, pasukan UTM Prihatin termasuk para pelajar UTM juga telah turun padang pada 22 dan 23 Mac 2024 yang lalu bagi menjalankan aktiviti pembersihan di rumah-rumah yang terkesan dengan banjir. Menjadi harapan UTM Prihatin semoga segala usaha ini membawa keberkatan dan memberi manfaat kepada semua pihak yang terlibat khususnya masyarakat yang menerima bantuan sokongan moral ini. Program ini juga diharapkan dapat diteruskan dengan kerjasama erat dan bersepadu di antara Pusat Islam UTM bersama BPO, Jabatan Pendaftar serta rakan sinergi iaitu UTM Marshall dan Sukarelawan UTM PRIHATIN pada tahun-tahun yang akan datang untuk memperkukuhkan lagi hubungan antara universiti dan komuniti setempat sekitar UTM.

WhatsApp Image at AM ()
Keceriaan terpancar pada wajah para penerima sumbangan UTM Prihatin

Oleh Haironizam Mohamad dan Khairull Azmi Ishak

Explore More