April 1, 2025

WhatsApp Image at PM

Sukarelawan GPS UTM usaha kurangkan pembaziran makanan di Bazar Ramadan

JOHOR BAHRU, 17 Mac – Sukarelawan dari Kelab Gerakan Pengguna Siswa (GPS) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Pertubuhan Pemuda GEMA Malaysia (GEMA) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Johor telah melaksanakan Program MySaveFood 2025 bermula pada 12 hingga 17 Mac 2025 di Bazar Ramadan Taman Dahlia, Johor Bahru. Penganjuran Program MySaveFood 2025 merupakan kesinambungan daripada program yang telah diadakan pada tahun 2024. Selain penglibatan GPS UTM, program tahun ini turut disertai oleh wakil GPS Institut Pendidikan Guru Kampus Temenggong Ibrahim (IPGKTI).

WhatsApp Image at PM
Sukarelawan yang terlibat dalam Program MySaveFood 2025

Program MySaveFood adalah inisiatif untuk mengurangkan pembaziran makanan dengan mengumpul makanan yang tidak terjual dari bazar Ramadan dan mengagihkannya kepada golongan yang memerlukan. Program ini telah menunjukkan impak yang besar dalam menangani pembaziran makanan. Sepanjang Ramadan 2024, program ini berjaya menyelamatkan lebih 60,000 kg makanan yang tidak terjual, sekali gus mengelakkan pelepasan lebih 114,000 kg gas rumah hijau ke atmosfera. Nilai makanan yang berjaya diselamatkan dianggarkan berjumlah RM714,000, membuktikan bahawa inisiatif ini bukan sahaja memberi impak sosial tetapi juga mempunyai nilai ekonomi yang signifikan.

WhatsApp Image at PM
Sukarelawan bergambar bersama Lilis Saslinda Pornomo, Pengarah KPDN Johor

Atas dasar itu, seramai 10 orang sukarelawan dari Kelab GPS UTM telah menyertai program ini yang berlangsung selama hampir seminggu. Mereka berjaya menyelamatkan sebanyak 456.31 kg lebihan makanan dan minuman, yang kemudiannya diagihkan kepada pelajar UTM yang masih berada di kampus.

Beberapa lokasi telah dikenal pasti oleh Kelab GPS UTM sebagai pusat agihan makanan dan minuman tersebut. Selain itu, pelaksanaan Program MySaveFood 2025 telah ditambah baik dengan penggunaan Aplikasi Remeal. Aplikasi ini digunakan untuk merekodkan kuantiti lebihan makanan dan minuman yang berjaya diselamatkan serta kehadiran sukarelawan dan lokasi-lokasi pengagihan lebihan makanan.

WhatsApp Image at PM
Sebahagian Sukarelawan GPS UTM yang bertugas

Pengarah Program, Muhammad Syahmi Ismail, berkata bahawa Program MySaveFood 2025 sedikit sebanyak membantu mengurangkan pembaziran makanan di Bazar Ramadan Taman Dahlia serta menyediakan makanan kepada pelajar UTM yang masih berada di kampus. Pada tahun ini, Masjid Sultan Ismail @ Pusat Islam UTM menjadi salah satu lokasi utama agihan lebihan makanan kepada jemaah yang selesai menunaikan Solat Sunat Tarawih. Selain itu, semua penerima makanan dan minuman diminta untuk menghidu, merasa, dan memastikan makanan yang diterima dimakan dalam tempoh dua jam selepas penerimaan bagi mengelakkan kerosakan makanan dan risiko keracunan. Pelekat khas akan ditampal pada setiap bungkusan makanan dan minuman sebagai peringatan kepada penerima.

WhatsApp Image at PM
Lebihan makanan diedarkan di Masjid Sultan Ismail UTM

Dengan adanya Program MySaveFood 2025, kesedaran mengenai kepentingan mengurangkan pembaziran makanan semakin meningkat dalam kalangan masyarakat, khususnya dalam komuniti universiti. Kerjasama antara GPS UTM, GEMA, dan KPDN Johor membuktikan bahawa usaha kolektif dapat membawa perubahan positif yang berimpak besar, bukan sahaja dari segi sosial tetapi juga dari aspek kelestarian alam sekitar dan ekonomi.

Explore More