Cyberparenting merupakan pendekatan dalam pendidikan keibubapaan yang memberi penekanan terhadap cara mendidik dan melindungi anak-anak dalam era digital. Pada zaman ini, kanak-kanak terdedah kepada pelbagai teknologi komunikasi dan maklumat seperti Internet, media sosial, dan permainan dalam talian yang berpotensi membawa manfaat serta ancaman tersendiri. Oleh itu, ibu bapa perlu memahami tanggungjawab dan peranan mereka dalam membimbing anak-anak agar bijak menggunakan teknologi dengan selamat dan bertanggungjawab. Berdasarkan Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611), kanak-kanak didefinisikan sebagai individu berumur di bawah 18 tahun.
Kepentingan pemantauan dan komunikasi dalam dunia digital
Salah satu aspek utama dalam cyberparenting ialah pemantauan penggunaan teknologi oleh anak-anak. Ibu bapa perlu mengambil tahu aktiviti anak-anak dalam talian, termasuk laman web yang dilayari, aplikasi yang digunakan, serta interaksi mereka di platform media sosial. Penggunaan alat kawalan ibu bapa atau parental control seperti aplikasi pengawasan boleh membantu ibu bapa menapis kandungan yang tidak sesuai serta menetapkan had masa penggunaan peranti untuk mengelakkan ketagihan.
Selain pemantauan, komunikasi terbuka antara ibu bapa dan anak-anak juga adalah amat penting. Ibu bapa perlu mewujudkan ruang dialog yang membolehkan anak-anak berasa selesa untuk berbincang mengenai pengalaman mereka dalam dunia digital. Ini membantu anak-anak memahami risiko-risiko seperti buli siber, penyebaran maklumat peribadi, serta ancaman daripada individu yang tidak dikenali. Komunikasi yang berkesan juga dapat memupuk sikap percaya-mempercayai antara ibu bapa dengan anak-anak.
Peranan kemahiran literasi digital dan teladan ibu bapa dalam cyberparenting
Kemahiran literasi digital juga merupakan komponen penting dalam cyberparenting. Ibu bapa perlu memastikan anak-anak mempunyai pengetahuan asas tentang keselamatan siber, termasuk memahami konsep privasi dalam talian, melindungi maklumat peribadi, serta mengenal pasti penipuan atau scam. Penyediaan modul pendidikan digital di sekolah-sekolah juga boleh membantu memperkukuh pengetahuan ini, sekali gus melengkapkan usaha ibu bapa di rumah.
Dalam era digital, ibu bapa juga perlu menjadi teladan dalam penggunaan teknologi. Anak-anak cenderung meniru tingkah laku ibu bapa mereka. Oleh itu, ibu bapa yang mengamalkan penggunaan teknologi secara bertanggungjawab dan beretika akan secara langsung menggalakkan anak-anak melakukan perkara yang sama. Ini termasuk tidak menyalahgunakan media sosial, menjaga kesopanan ketika berkomunikasi secara maya, dan sentiasa mengamalkan sikap kritikal terhadap maklumat yang diperoleh dalam talian.
Kesan negatif penggunaan teknologi tanpa kawalan terhadap kanak-kanak
Sekiranya kanak-kanak tidak dikawal dalam penggunaan teknologi, pelbagai kesan negatif mungkin timbul. Antaranya termasuk ketagihan terhadap peranti digital yang boleh mengganggu perkembangan fizikal, sosial dan emosi mereka. Ketagihan ini juga boleh menyebabkan penurunan prestasi akademik akibat kurang fokus terhadap pelajaran. Selain itu, kanak-kanak yang tidak dikawal juga berisiko tinggi terdedah kepada kandungan yang tidak sesuai seperti keganasan, pornografi, dan maklumat palsu. Kandungan sebegini boleh mempengaruhi tingkah laku dan pemikiran mereka, sekali gus menyebabkan gangguan psikologi seperti kebimbangan dan kemurungan.
Ketiadaan kawalan juga boleh membawa kepada peningkatan risiko buli siber. Kanak-kanak mungkin menjadi mangsa atau bahkan pelaku buli siber tanpa disedari, menyebabkan kesan negatif yang mendalam terhadap keyakinan diri dan kesejahteraan mental mereka. Tanpa sokongan dan bimbingan daripada ibu bapa, kanak-kanak mungkin merasa terasing dan tidak mampu mengatasi masalah tersebut. Lebih membimbangkan lagi, kanak-kanak yang bebas menggunakan teknologi tanpa pengawasan berpotensi menjadi sasaran eksploitasi atau gangguan oleh individu yang berniat jahat. Mereka mungkin terjebak dalam perangkap penjenayah siber atau menjadi mangsa kepada pemerdagangan manusia dan eksploitasi seksual.
Jenayah seksual siber terhadap kanak-kanak
Dalam konteks ancaman siber, salah satu jenayah yang paling membimbangkan ialah jenayah seksual siber terhadap kanak-kanak. Ini merupakan bentuk eksploitasi seksual kanak-kanak yang berlaku dalam talian menggunakan teknologi digital seperti komputer, telefon pintar, tablet serta platform media sosial. Jenayah ini terdiri daripada beberapa kategori seperti: (1) Cyber Grooming (Pengantunan dalam talian): pelaku memujuk atau memanipulasi kanak-kanak melalui media sosial bagi tujuan eksploitasi seksual, (2) Sextortion (Peras ugut siber): Ugutan penyebaran gambar intim kanak-kanak untuk mendapatkan manfaat seksual atau kewangan, (3) Penyebaran pornografi kanak-kanak: Penghasilan, penyimpanan, atau penyebaran bahan eksplisit melibatkan kanak-kanak, (4) Online Child Sexual Exploitation (Eksploitasi seksual komersial dalam talian): Perdagangan gambar, video, atau akses langsung kepada kanak-kanak secara seksual untuk keuntungan, dan (4) Live Streaming of Sexual Exploitation (Penstriman langsung eksploitasi seksual): Eksploitasi seksual kanak-kanak secara langsung menerusi platform penstriman.

Cabaran imej dan suara sintetik dalam era AI
Kanak-kanak mudah percaya dengan gambar dan suara yang dijana melalui platform kecerdasan buatan (AI). Oleh itu, penting untuk mendidik anak mengenai risiko serta implikasi teknologi ini bagi mengelakkan mereka daripada menjadi mangsa manipulasi digital yang semakin berleluasa dalam era digital hari ini. Hakikatnya, kanak-kanak mempunyai tahap kematangan kognitif yang masih berkembang dan keupayaan mereka dalam menilai kesahihan sesuatu maklumat amat terhad, menyebabkan mereka lebih cenderung mempercayai imej dan suara sintetik yang kelihatan realistik tetapi sebenarnya palsu. Keadaan ini menjadi lebih kritikal dengan kewujudan teknologi AI seperti deepfake, yang mampu mencipta imej, video, serta suara palsu yang sangat realistik, bahkan sukar dibezakan daripada kandungan asli.
Salah satu kesan serius akibat kepercayaan mudah kanak-kanak terhadap gambar dan suara sintetik yang dihasilkan melalui deepfake adalah peningkatan risiko buli siber yang lebih teruk serta kompleks. Kanak-kanak yang terdedah kepada kandungan palsu sebegini boleh menjadi sasaran utama manipulasi emosi, psikologi, dan sosial, menyebabkan mereka mengalami tekanan emosi. Sebagai contoh, pembuli boleh menggunakan video atau gambar palsu yang memalukan atau menjatuhkan reputasi mangsa, menyebabkan kanak-kanak mengalami penghinaan dan gangguan berterusan daripada rakan sebaya. Situasi ini mungkin mengakibatkan mangsa mula menarik diri daripada interaksi sosial dan mengalami masalah dalam pencapaian akademik, bahkan berisiko mencetuskan tingkah laku negatif seperti agresif atau kecenderungan membahayakan diri sendiri.
Kebimbangan menerusi buku panduan
Menurut Buku Panduan Keibubapaan Siber (Pautan Buku) yang diterbitkan oleh Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), penglibatan aktif ibu bapa dalam aktiviti dalam talian anak-anak adalah penting untuk memastikan mereka kekal selamat dan bertanggungjawab. Panduan ini menekankan bahawa ibu bapa perlu membimbing dan mengawasi anak-anak mereka dalam dunia siber, membantu mereka memanfaatkan peluang yang ada bagi mengelakkan ancaman yang mungkin timbul. Panduan tersebut juga menyediakan langkah-langkah praktikal untuk ibu bapa meningkatkan kemahiran mereka dalam dunia digital. Dengan memahami teknologi dan platform yang digunakan oleh anak-anak, ibu bapa dapat menetapkan peraturan dan garis panduan yang melindungi mereka. Selain itu, penglibatan aktif dalam aktiviti dalam talian anak-anak dapat mengukuhkan hubungan keluarga dan memastikan komunikasi yang terbuka mengenai pengalaman siber mereka.
Aplikasi kawalan ibu bapa untuk menapis dan memantau kandungan
Salah satu penyelesaian utama dalam memastikan keselamatan kanak-kanak dalam talian adalah penggunaan aplikasi kawalan ibu bapa. Aplikasi seperti Qustodio, Net Nanny, Norton Family, family link, family safety dan Kaspersky Safe Kids membolehkan ibu bapa memantau aktiviti dalam talian anak-anak mereka secara masa nyata. Perisian ini menawarkan ciri-ciri seperti penapisan kandungan, had masa penggunaan peranti, serta pemantauan laman web dan aplikasi yang digunakan oleh kanak-kanak. Melalui teknologi kecerdasan buatan, beberapa aplikasi ini juga mampu mengesan perkataan atau frasa mencurigakan dalam perbualan mesej dan memberikan amaran kepada ibu bapa jika terdapat unsur buli siber atau eksploitasi dalam talian.
Aplikasi kawalan ibu bapa juga boleh membantu dalam mengehadkan akses kepada kandungan berbahaya seperti laman web yang memaparkan keganasan, pornografi, atau perjudian dalam talian. Ibu bapa boleh menetapkan senarai laman web yang dibenarkan dan menyekat akses ke laman web yang tidak sesuai mengikut umur anak-anak mereka. Selain itu, beberapa aplikasi juga menawarkan mod “anak selamat”, yang hanya membenarkan anak-anak melayari internet melalui senarai laman web yang telah ditapis dan diluluskan oleh ibu bapa.
Kesimpulannya, cyberparenting memerlukan pendekatan menyeluruh yang merangkumi pemantauan, komunikasi, pendidikan, serta teladan yang baik daripada ibu bapa. Dalam dunia digital yang semakin kompleks, cabaran mendidik anak-anak agar menjadi pengguna teknologi yang berhemah dan bertanggungjawab adalah tanggungjawab bersama yang mesti diberi perhatian serius demi kesejahteraan generasi masa depan.
Oleh Abdul Ghafar Jaafar dan Fiza Abdul Rahim, Fakulti Kecerdasan Buatan, Universiti Teknologi Malaysia