Pembabitan wanita yang menceburi kerjaya dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik atau STEM di negara ini mencatatkan perkembangan yang ketara pada setiap tahun. Sehingga 2021, wanita di Malaysia yang bekerja dalam sektor teknologi meningkat kepada 35 peratus.
Wanita di negara ini secara amnya perlu disokong agar berani menceburi bidang STEM, bukan sahaja untuk menunjukkan kesaksamaan gender tetapi juga bagi membuka potensi yang mampu memacu inovasi serta pertumbuhan ekonomi.
Sempena Hari Antarabangsa Pembabitan Wanita dan Gadis dalam Sains 2025, Pejabat Pelestarian Kampus Universiti Teknologi Malaysia (UTMCS) telah menjalankan wawancara khas dengan ahli akademik dan penyelidik dalam bidang pendidikan STEM, Prof. Dr. Fatin Aliah Phang Abdullah, bagi mendapatkan pandangan beliau mengenai penglibatan wanita dalam bidang STEM, yang kini menjadi agenda utama Kerajaan Malaysia.
Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik adalah tonggak utama dalam pembangunan negara. Walau bagaimanapun, Malaysia menghadapi cabaran besar dalam menarik golongan muda ke bidang STEM. Data terkini menunjukkan bahawa hanya kira-kira 51 peratus pelajar mendaftar dalam aliran STEM pada tahun 2024. Mengapakah perkara ini berlaku?
Trend penurunan ini bukanlah sesuatu yang baharu. Malah, pada tahun 2010, kami telah diamanahkan oleh Majlis Profesor Negara untuk melaksanakan satu kajian menyeluruh mengenai trend ini. Hasil kajian mendapati bahawa dasar sains:sastera 60:40 yang ditetapkan pada tahun 1967 tidak pernah tercapai, malah semakin merosot sejak tahun 2008. Kami telah melaporkan perkara ini dalam satu artikel jurnal.
Ramai berpendapat bahawa minat pelajar terhadap sains semakin merosot. Namun, kajian antarabangsa seperti Trends in Mathematics and Science Study (TIMSS) saban tahun melaporkan bahawa minat pelajar sekolah terhadap sains adalah agak tinggi, lebih tinggi daripada purata antarabangsa, malah lebih tinggi daripada purata pelajar Singapura. Singapura sentiasa mendahului Malaysia dalam pencapaian sains di peringkat antarabangsa. Hal ini selari dengan hasil kajian kami pada tahun 2010. Namun, apabila dianalisis secara lebih mendalam, didapati bahawa tahap keyakinan pelajar Malaysia terhadap sains adalah amat rendah.
Dalam laporan TIMSS 2019, purata keyakinan pelajar Malaysia terhadap sains adalah kedua paling rendah berbanding negara lain. Trend minat yang tinggi tetapi keyakinan yang rendah ini adalah konsisten dalam laporan TIMSS kebelakangan ini.
Mengapa keyakinan pelajar Malaysia terhadap sains rendah?
Apabila sains diajar dengan kaedah membaca dan menghafal untuk lulus ujian, bukan melalui pengalaman langsung di makmal atau persekitaran sebenar, pelajar tidak dapat melihat aplikasi sains secara nyata. Akibatnya, mereka kurang keyakinan terhadap subjek ini. Pakar pendidikan sains menyarankan pembelajaran sains secara “doing science”, iaitu melalui kaedah seperti inkuiri penemuan, pembelajaran bermakna, pembelajaran berasaskan pengalaman, pembelajaran berasaskan projek, dan pembelajaran berasaskan masalah.
Untuk merealisasikan kaedah ini, latihan guru dan sumber pendidikan yang mencukupi perlu disediakan. Selain itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu menyediakan ekosistem pembelajaran yang menyokong pendekatan ini. Pentaksiran sains juga perlu diubah, daripada sekadar ujian kertas dan pensil kepada penilaian eksperimen, projek, pembentangan, serta jurnal sains pelajar.
Namun, KPM tidak mampu menyediakan latihan kepada guru-guru yang agak ramai ini atas kekangan kewangan dan masa. Format latihan guru dalam perkhidmatan secara Latihan Dalam Perkhidmatan (LADAP) adalah tidak berkesan malahan berlaku pencairan apabila pakar yang sebenar hanya melatih sekelompok kecil jurulatih utama kebangsaan kemudian diharapkan latihan disampaikan ke peringkat negeri, daerah dan sekolah melalui jurulatih utama negeri dan daerah. Apabila telah sampai ke LADAP di sekolah, latihan dengan jurulatih utama kebangsaan telah mencair dari 1 minggu dengan pakar luar kepada 2 jam sahaja dengan guru yang diberi latihan oleh jurulatih utama dearah. Situasi ini boleh diibaratkan seperti “main telefon buruk”, di mana maklumat yang disampaikan di peringkat akhir berbeza daripada yang asal.
Menurut data Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), kurang daripada 30 peratus penyelidik di seluruh dunia adalah wanita, dan hanya 30 peratus pelajar perempuan memilih bidang berkaitan STEM di peringkat pengajian tinggi. Bukankah jumlah ini seharusnya lebih tinggi?
Sememangnya golongan wanita yang menceburi bidang STEM sama ada di pengajian tinggi dan pekerjaan adalah agak rendah di peringkat global. Namun, Malaysia dipandang sebagai negara yang mempunyai penyertaan wanita dalam STEM yang lebih baik berbanding negara Barat.
Pada tahun 2018, pakar kajian pendidikan STEM dari Amerika Syarikat menjalankan kajian menggunakan dana penyelidikan National Science Foundation (NSF) bagi mengenal pasti faktor yang mempengaruhi penglibatan wanita dalam STEM. Pusat Pendidikan Kejuruteraan (CEE) UTM dijemput untuk menyertai kajian ini kerana Malaysia disenaraikan sebagai negara contoh yang mempunyai penglibatan wanita yang lebih baik dalam STEM.
Mereka meminta kami sebagai felow CEE untuk bantu mereka menjalankan kajian ini untuk membandingkan wanita STEM di Malaysia dan Amerika Syarikat supaya dapat membantu Amerika Syarikat meningkatkan penglibatan wanita mereka dalam STEM.
Hasil kajian mendapati bahawa kedudukan wanita dalam STEM di Malaysia adalah lebih baik berbanding Amerika Syarikat kerana tiada diskriminasi gender dalam pengajian STEM di universiti tempatan. Namun, di peringkat kerjaya STEM, lelaki masih mendominasi kerana faktor persekitaran kerja yang kurang mesra wanita berkeluarga. Sesetengah wanita terpaksa melepaskan kerjaya dalam STEM selepas mempunyai anak.
Bagaimana untuk menambah bilangan pelajar dalam aliran STEM, khususnya wanita?
Banyak yang boleh dilakukan untuk meningkatkan pelajar dalam aliran STEM. Daripada kajian kami, kami telah menyarankan pentaksiran dalam mata Pelajaran STEM yang autentik, bukan lagi hanya ujian kertas dan pensil. Ini dapat meningkatkan keyakinan pelajar terhadap sains apabila mereka diuji dan dinilai dengan “doing science”. Selain itu, latihan guru sains yang lebih berkualiti perlu diberikan. Saya ingin memuji usaha oleh Yayasan Petronas yang sanggup mengambil alih tugas KPM bagi melatih guru sains dengan lebih serius melalui program Duta Guru STEM. Yayasan Petronas mengeluarkan sejumlah dana yang agak banyak untuk memberi latihan kepada guru STEM secara langsung daripada pakar. Terdapat empat kohort guru STEM yang dilatih sehingga kini dan saya berharap Yayasan Petronas boleh menjalankan kajian keberkesanan secara menyeluruh program latihan guru STEM ini.
Selain itu, daripada kajian di bawah Yayasan Sains Kebangsaan (NSF) tadi, kami mendapati bahawa sebab utama wanita menyertai STEM adalah kerana peluang biasiswa dan peluang pengajian yang diberikan. Ada jurutera wanita yang kami temu bual dalam kajian ini mendedahkan bahawa mereka pada awalnya tidak tahu skop kerja seorang jurutera semasa mereka memilih untuk melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan. Namun, mereka memilih pengajian kejuruteraan kerana biasiswa dan peluang belajar di luar negara yang ditawarkan. Oleh itu, sekiranya kerajaan ingin meningkatkan penyertaan pelajar dalam sains, biasiswa, insentif dan peluang yang lebih menarik perlu dilaburkan untuk menarik pelajar yang cemerlang ke arah STEM. Usaha lain adalah meningkatkan peluang pekerjaan dalam STEM dan menawarkan gaji yang lebih lumayan kepada pakar STEM.
Bolehkah Prof memberikan cadangan berkenaan dengan bentuk kempen yang boleh dilakukan untuk menarik lebih ramai penyertaan golongan pelajar dalam memilih bidang pengajian STEM ini?
Zaman sekarang adalah zaman hiburan bagi golongan muda. Generasi baharu belajar dengan kaedah yang berbeza dengan zaman dahulu. Kempen untuk menarik mereka juga perlu selari dengan kehendak mereka. Generasi ini lebih suka kepada visual, grafik, sosial, hiburan dan global. Jadi, bahan-bahan kempen untuk menarik mereka ke arah STEM perlu menepati ciri-ciri di atas seperti video kempen pendek, sesi perkongsian dari pempengaruh yang menyeronokkan tentang kerjaya STEM dan pengajian STEM, pengiklanan program akademik STEM perlu disemak dan dijenamakan semula, penawaran biasiswa dan insentif, dan peluang ke peringkat luar negara atau terlibat dengan inisiatif global.
Mampukah kajian semula skim perkhidmatan dalam sektor perkhidmatan awam berkaitan perjawatan teknikal seperti Pensyarah, Jurutera, Juru Ukur, Pegawai Sistem Maklumat dan sebagainya mampu menarik lebih ramai pelajar dalam bidang STEM?
Ya, skim gaji yang lebih menarik, kompetitif dan lumayan perlu ditawarkan dalam bidang STEM khasnya sektor awam untuk menarik bakat STEM kekal berkhidmat kepada negara. Selain itu, insentif khas dan laluan kerjaya yang lebih bagus perlu ditawarkan kepada mereka yang menceburkan diri dalam bidang kerjaya STEM dalam perkhidmatan awam. Biasiswa untuk program pengajian STEM di luar negara perlu diperluas kepada pelajar cemerlang dan penerima biasiswa wajib berkhidmat dengan kontrak yang lebih baik supaya mereka kekal berkhidmat dalam sektor awam tanpa rasa paksaan.
Apakah nasihat yang boleh Prof berikan kepada golongan wanita yang ingin menceburi kerjaya yang berkaitan bidang STEM?
Bidang STEM amat memerlukan golongan wanita untuk memastikan keperluan dan perspektif wanita diambil kira dalam Pembangunan STEM yang mesra semua jantina. Wanita harus mengambil peluang yang ada dalam melanjutkan pengajian dan menceburi bidang kerjaya STEM. Ada banyak peluang dikhaskan untuk wanita kerana banyak organisasi menyedari kekurangan wanita dalam bidang STEM.
Ada wanita yang bekerjaya dalam STEM memilih untuk berhenti kerja kerana hendak memberi fokus kepada keluarga. Sebenarnya, ini tidak hanya berlaku kepada wanita dalam bidang kerjaya STEM. Dalam apa jua bidang kerjaya, wanita perlu bijak menguruskan diri, keluarga, dan keutamaan supaya tetap boleh mencapai kemajuan dalam kerjaya masing-masing. Oleh itu, kepada pelajar wanita sekalian, belajarlah dan binalah kemahiran-kemahiran ini semasa dalam tempoh pengajian dengan melibatkan diri dalam pelbagai program di luar akademik. Malaysia pun ada ramai Wanita STEM yang hebat seperti Profesor Emerita Datuk Dr. Asma Ismail, Datuk Dr. Mazlan Othman, Prof. Datin Paduka Khatijah Yusoff dan ramai lagi.