JOHOR BAHRU, 28 Feb – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui Dana Knowledge Transfer Program (KTP) terus memperkukuh pendidikan inklusif dengan menyerahkan sebuah bilik multisensori kepada Sekolah Kebangsaan Taman Universiti 1. Projek ini merupakan hasil kerjasama antara UTM, Yayasan Penyayang Iskandar Puteri, dan Pusat Terapi MindCare dalam usaha memperluas akses kemudahan khas kepada murid-murid berkeperluan khas, khususnya mereka yang mengikuti Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).
Penyerahan bilik tersebut telah disempurnakan oleh ketua projek, Prof. Madya Ts. Dr. Dayana Farzeeha Ali dari Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi, UTM, kepada Guru Besar SK Taman Universiti 1, Tn. Hj. Zulkarnain Masrin, dalam satu majlis yang turut dihadiri oleh pihak pengurusan sekolah, wakil Pusat Jaringan Komuniti dan Industri UTM, serta wakil Yayasan Penyayang Iskandar Puteri dan Pusat Terapi MindCare.

Mewakili pihak sekolah, Tn. Hj. Zulkarnain menzahirkan penghargaan kepada UTM dan semua pihak yang terlibat dalam menjayakan projek ini. “Kami amat bersyukur dan berterima kasih atas sumbangan ini yang pastinya memberi manfaat besar kepada murid-murid berkeperluan khas di sekolah kami. Bilik multisensori ini bukan sahaja menyediakan ruang terapi yang lebih selesa dan efektif, malah ia membantu kami dalam usaha meningkatkan pengalaman pembelajaran mereka. Kami berharap lebih banyak pihak akan turut serta dalam inisiatif seperti ini untuk manfaat lebih ramai murid di masa hadapan,” katanya.
Bilik multisensori ini direka khusus untuk memberi manfaat kepada murid-murid dengan keperluan khas seperti autisme, ADHD, dan gangguan pemprosesan deria. Persekitarannya dipenuhi dengan elemen cahaya, bunyi, tekstur, serta pelbagai peralatan interaktif yang membantu dalam stimulasi deria, pengurusan emosi, peningkatan tumpuan, dan perkembangan kemahiran komunikasi.

Murid-murid dengan cabaran pemprosesan deria sering menghadapi kesukaran dalam pembelajaran dan interaksi sosial. Justeru, bilik ini berfungsi sebagai ruang terapi selamat yang membolehkan mereka bereksplorasi, menenangkan diri, dan mengasah kemahiran sosial serta kognitif. Selain itu, ia turut membantu dalam pengurusan tingkah laku dan emosi, yang merupakan aspek penting dalam pendidikan khas.
Selain sebagai ruang terapi, bilik ini juga menjadi alat bantu dalam terapi deria, membantu murid meningkatkan daya tumpuan, mengurangkan tekanan, serta merangsang tindak balas kognitif melalui elemen cahaya interaktif dan permainan sensori. Dengan adanya kemudahan ini, diharapkan murid-murid berkeperluan khas dapat menghadapi persekitaran pembelajaran dengan lebih yakin dan selesa.

Pewujudan bilik multisensori ini membuktikan bahawa kolaborasi antara institusi pendidikan tinggi, industri, dan badan bukan kerajaan (NGO) mampu membawa perubahan besar kepada pembangunan pendidikan khas di Malaysia. UTM berharap agar lebih banyak pihak, termasuk industri dan badan korporat, dapat menyokong usaha ini dengan menyumbang kepada penyediaan fasiliti khas di sekolah-sekolah yang memerlukan.
Dengan sokongan berterusan, lebih banyak sekolah dapat dilengkapi dengan kemudahan terapi multisensori, sekali gus meningkatkan keberkesanan proses pembelajaran bagi murid berkeperluan khas. Usaha ini juga sejajar dengan aspirasi untuk menjadikan pendidikan inklusif satu realiti di Malaysia.
Majlis penyerahan ini menandakan satu lagi langkah ke hadapan dalam memastikan pendidikan lebih inklusif dan mesra murid berkeperluan khas. UTM bersama rakan strategik komited untuk meneruskan inisiatif ini agar manfaatnya dapat diperluas ke lebih banyak sekolah di seluruh negara.
