April 1, 2025

DSC

Wacana Intelektual MADANI kupas cabaran Malaysia hadapi ledakan teknologi tinggi

JOHOR BAHRU, 24 Feb – Siri kedua Wacana Intelektual MADANI 2025, anjuran Majlis Profesor UTM (MPU) dengan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM) sebagai hos kedua, telah berjaya dilaksanakan, meneruskan kesinambungan siri pertama yang berlangsung di Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE). Dengan tema “Negara Pintar: Mampukah Malaysia Menangani Ledakan Teknologi Tinggi?”, wacana ini menyelami potensi dan cabaran yang dihadapi Malaysia dalam menyesuaikan diri dengan arus deras kemajuan teknologi.

Program ini menampilkan tiga panel pakar dalam bidang kejuruteraan mekanikal iaitu Prof. Emeritus Dato’ Ir. Dr. Alias Mohd Noor, Ir. Dr. Sanjayan Velautham (Ketua Pegawai Operasi, Suruhanjaya Tenaga), dan Prof. Ts. Dr. Safian Sharif, serta dipengerusikan oleh Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Nor Hasrul Akhmal Ngadiman.

DSC
Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Nor Hasrul Akhmal Ngadiman mempengerusikan Wacana Intelektual MADANI dengan penuh berwibawa

Cabaran dan peluang negara pintar

Dalam wacana ini, para panelis menekankan mengenai ekosistem pintar yang kukuh bagi menyokong kemajuan teknologi tinggi di Malaysia. Mereka turut membincangkan potensi besar dalam peluang ekonomi sekiranya Malaysia dapat menyesuaikan diri dengan ledakan teknologi yang pesat.

Ir. Dr. Sanjayan Velautham menekankan kepentingan infrastruktur pintar dalam menghadapi permintaan elektrik yang meningkat sebanyak 2-3% setiap tahun.

“Kita perlu bersedia menghadapi kenaikan permintaan tenaga yang mencapai sehingga 7%. Namun, saya yakin Malaysia melalui Jawatankuasa Perancangan dan Pelaksanaan Pembekalan Elektrik dan Tarif (JPPPET) mampu menguruskan kenaikan ini melalui dasar perancangan tarif dan elektrik yang kukuh,” ujar beliau.

Beliau turut menggariskan kepentingan automasi dalam sektor pembuatan serta memberi amaran bahawa Malaysia mungkin kehilangan 30% daya saing global jika gagal menyesuaikan diri dengan gelombang automasi dan teknologi pintar. Di samping itu, beliau menegaskan kepentingan kerjasama strategik antara sektor awam dan swasta serta institusi pendidikan tinggi dalam mengurangkan jurang digital dan meningkatkan keselamatan siber.

DSC
Ir. Dr. Sanjayan Velautham menjelaskan impak kenaikan permintaan tenaga dan kepentingan automasi dalam industri moden

Transformasi pembuatan pintar dan cabaran yang dihadapi

Prof. Ts. Dr. Safian Sharif mengupas tentang transformasi ke arah pembuatan pintar (smart manufacturing) yang melibatkan penggunaan teknologi seperti Internet of Things (IoT) dan sensor untuk meningkatkan produktiviti serta kecekapan operasi. Beliau menjelaskan bahawa walaupun pelaburan awal yang tinggi diperlukan, pembuatan pintar mampu mengurangkan kos operasi dalam jangka panjang.

Namun, beliau juga mengakui pelbagai cabaran kritikal termasuk, kos pelaburan yang tinggi bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS), kekurangan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang diperlukan untuk mengendalikan teknologi pintar, serta kesukaran dalam mengintegrasikan teknologi lama dengan teknologi baru.

Beliau menegaskan, “Perlu ada kecerdasan yang boleh menghubungkan manusia dengan mesin, manusia dengan perisian, serta mesin dengan mesin.”

Selain itu, beliau menekankan kepentingan ‘lokalisasi’ dalam penggunaan bahan tempatan untuk mengurangkan kos operasi.

DSC
Prof. Ts. Dr. Safian Sharif menerangkan peranan IoT dan sensor dalam meningkatkan produktiviti pembuatan pintar

Sumber manusia dan infrastruktur sebagai pemacu utama

Prof. Emeritus Dato’ Ir. Dr. Alias Mohd Noor pula menekankan bahawa sumber manusia yang berkemahiran tinggi dan infrastruktur yang mantap adalah kunci kejayaan Malaysia dalam mencapai status negara pintar. Beliau menyatakan, “Kita perlu menyediakan sumber manusia yang lebih maju daripada apa yang kita bayangkan sekarang.”

Beliau turut menggariskan peranan kerajaan dalam mencorak dasar teknologi yang konsisten tanpa mengira perubahan politik. Selain itu, pendidikan moral dan sosial juga ditekankan sebagai aspek penting dalam membentuk generasi celik teknologi yang bermoral tinggi.

“Penghormatan antara kaum dan kerjasama melalui aktiviti berkumpulan mampu membina masyarakat yang lebih harmoni dalam menghadapi dunia digital yang semakin kompleks,” ujar beliau.

DSC
Prof. Emeritus Dato’ Ir. Dr. Alias Mohd Noor menghuraikan peranan infrastruktur dan modal insan dalam membina negara pintar

Mengatasi kos dan jurang digital

Ir. Dr. Sanjayan mencadangkan penggunaan tenaga solar sebagai alternatif kos rendah bagi mengatasi kenaikan kos operasi akibat tarif elektrik. Beliau menyatakan, “Kos menjana tenaga solar di Malaysia adalah sekitar 19 sen/kWatt, jauh lebih rendah daripada sumber tenaga konvensional.”

Prof. Ts. Dr. Safian pula berkongsi strategi dari Jepun dalam mengurangkan kos operasi kilang dengan pengurangan 4% kos bahan dan pengeluaran setiap tahun. Beliau menegaskan kepentingan automasi kos rendah dan lokalisasi bahan tempatan untuk meningkatkan daya saing industri.

Menuju masa depan negara pintar

Wacana Intelektual Madani Siri 2/2025 telah membuka perspektif baharu tentang potensi dan cabaran yang dihadapi Malaysia dalam menjadi negara pintar. Perbincangan ini menekankan pentingnya dasar yang komprehensif, kerjasama antara sektor, serta pembangunan modal insan yang berterusan. Namun, cabaran seperti peningkatan kos operasi dan keperluan pelaburan dalam infrastruktur serta tenaga kerja berkemahiran tinggi perlu ditangani dengan strategi yang berkesan.

DSC
Warga UTM turut hadir mendengar penyampaian ilmu di Bilik Seminar, C23

Explore More