JOHOR BAHRU, 6 Feb – Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim menerima kunjungan hormat daripada delegasi Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) UTM yang diketuai oleh Timbalan Komandan, Lt. Kol. Prof. Madya Dr. Mohd Noor Azli Hj. Ali Khan di Pejabat Naib Canselor UTM.

Kunjungan hormat ini bertujuan menjalin hubungan erat antara PALAPES UTM dengan Naib Canselor yang baharu, yang secara rasmi juga memegang jawatan sebagai Komandan PALAPES UTM. Selain itu, kunjungan ini turut menjadi platform bagi membincangkan peranan PALAPES dalam membentuk bakal pemimpin berdisiplin tinggi serta berkepimpinan dalam kalangan mahasiswa UTM.
Turut hadir dalam pertemuan ini ialah Ketua Cawangan Latih, Kapt Mohd Syawal Mohamed Abdul Fatah; Pegawai Tadbir, Kapt Mohd Hafis Shanon; dan Sarjan Mejar Rejimen, PW 1 Mohd Zaki Othman. Delegasi ini berkesempatan berkongsi aktiviti serta perancangan program PALAPES UTM bagi tahun 2025 yang merangkumi latihan ketenteraan, pengukuhan nilai kepimpinan, serta keterlibatan dalam program kesukarelawanan dan kebajikan masyarakat.
Dalam sesi perbincangan, Prof. Dr. Mohd Shafry menekankan kepentingan pegawai kadet PALAPES UTM sebagai teladan kepada pelajar universiti dalam aspek disiplin, ketahanan mental, dan kepimpinan. Beliau mencadangkan agar pegawai kadet lebih aktif dalam program pembangunan sahsiah, termasuk pemakaian seragam PALAPES semasa Hari Ko-Kurikulum UTM pada setiap hari Selasa sebagai simbol komitmen dan identiti pasukan.

Sebagai sebahagian daripada kunjungan ini, Prof. Dr. Mohd Shafry turut menjalani proses dokumentasi rasmi untuk pelantikan beliau sebagai Komandan PALAPES UTM. Selepas mendapat kelulusan Majlis Angkatan Tentera (MAT) dan perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, beliau akan dianugerahkan Tauliah Kehormat sebagai Kolonel (Kehormat) dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).


Kunjungan ini turut memperkukuh peranan PALAPES UTM dalam aktiviti kemasyarakatan. Prof. Dr. Mohd Shafry menyarankan pegawai kadet memperluas penglibatan mereka dalam program kesukarelawanan bersama masyarakat setempat, termasuk aktiviti gotong-royong, bantuan bencana, dan program berbentuk kemasyarakatan. Inisiatif ini bukan sahaja mengukuhkan hubungan antara UTM dan komuniti tetapi juga mencerminkan nilai kepimpinan dan kebersamaan dalam kalangan pegawai kadet PALAPES UTM.
PALAPES UTM merupakan salah satu unit penting dalam membentuk mahasiswa berdisiplin tinggi dan bersedia menyumbang kepada pertahanan negara. Dengan sokongan penuh daripada pihak universiti, PALAPES UTM dijangka terus berkembang sebagai platform pembangunan kepimpinan dan patriotisme dalam kalangan mahasiswa.