JOHOR BAHRU, 5 Feb. – Wacana Intelektual MADANI 2025 anjuran Majlis Profesor UTM bersama Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE) menjadi bukti proaktif Universiti ini mempromosikan budaya intelektual berhikmah dalam institusi ini. Mengambil hasrat Naib Canselor ke-8 dalam mewujudkan platform perbincangan dan pertukaran ilmu, wacana ini menjadi wadah bagi para Profesor UTM bertukar idea, merancang strategi, serta menyumbang kepada pembangunan ilmu dalam pelbagai bidang di UTM.
Acara sulung ini menampilkan tiga profesor UTM dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE) yang berbincang secara mendalam mengenai impak sosial serta transformasi teknologi dalam era digital dalam topik “Social Impact of Communication and Autonomous Intelligence in Emerging Technologies”. Wacana ini yang dikendalikan oleh Prof. Ts. Dr. Mohamad Kamal A. Rahim menampilkan dua profesor tersohor fakulti berkenaan, Prof. Ir. Dr. Sharifah Hafizah Syed Ariffin dan Prof. Ir. Dr. Hazlina Selamat.

Dalam bual bicara berkenaan, Prof. Ir. Dr. Hazlina Selamat menerangkan tentang sistem kecerdasan autonomi yang beroperasi tanpa campur tangan manusia secara langsung. Menurutnya, walaupun penggunaan kecerdasan buatan (AI) secara meluas memberi impak positif dalam aspek ekonomi, akses kepada pengetahuan, dan pendidikan, ia turut menimbulkan cabaran penting berkaitan etika serta tanggungjawab dalam pengendalian data. Tambahnya, AI yang kini beroperasi dalam pelbagai platform termasuk media sosial, mampu mencipta kandungan dan membuat keputusan sendiri, namun ia juga berisiko menimbulkan bias algoritma serta isu keselamatan privasi jika tidak diuruskan dengan baik.
Dalam konteks pendidikan tinggi, beliau turut mengetengahkan potensi transformasi digital melalui penggunaan teknologi seperti Augmented Reality (AR), Virtual Reality (VR) dan aplikasi AI. Inovasi ini bukan sahaja memodenkan proses pengajaran, malah membuka peluang kepada pelajar untuk mengakses sumber ilmu yang lebih interaktif dan efisien. Namun, beliau juga memberi amaran tentang perlunya penegasan hak cipta dan pengiktirafan kepada pencipta asal agar peranan manusia sebagai inovator utama tidak dipinggirkan.
Ketika ditebak berkaitan impak penggunaan aplikasi AI kepada alam sekitar, Prof. Hazlina berkata”Setiap kali arahan diberikan kepada ChatGPT, sebanyak 4 gram karbon dioksida dilepaskan. Oleh itu, penggunaan AI harus dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab. Walau bagaimanapun, kecerdasan buatan ini turut berpotensi dalam menyelesaikan isu perubahan iklim, termasuk kawalan pencemaran dan pengurusan sumber air. Maka, adalah kritikal untuk kita merangka strategi yang dapat mengharmonikan perkembangan AI dengan keperluan kelestarian teknologi masa depan.”

Sementara itu, Prof. Ir. Dr. Sharifah Hafizah Syed Ariffin pula menumpukan perhatian kepada kemajuan sistem komunikasi termaju yang menyumbang kepada peningkatan kualiti hidup dan pertumbuhan ekonomi. Beliau menerangkan bahawa infrastruktur seperti 5G, AR, VR serta hologram telah membuka lembaran baharu dalam bidang komunikasi, membolehkan interaksi global yang lebih lancar dan menyokong perkembangan sektor perniagaan, terutama perusahaan kecil dan sederhana. Teknologi komunikasi moden juga telah mengubah paradigma pembelajaran di institusi pengajian tinggi melalui penggunaan bahan pembelajaran digital seperti QR Code dan platform dalam talian yang menggantikan kaedah tradisional.
Beliau turut menyokong penggunaan teknologi AR dan VR dalam pendidikan, sejajar dengan perkembangan pesat dalam teknologi komunikasi. Ketika ini, banyak proses inventori dan pengeluaran telah beralih kepada penggunaan robot, sekali gus mewujudkan konsep ‘human-machine collaboration‘. Di institusi pengajian tinggi, keberkesanan teknologi ini bergantung kepada kreativiti pensyarah dalam mengaplikasikannya di bilik kuliah. Sebagai contoh, Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU) telah menerapkan AR dalam penyampaian reka bentuk seni bina, manakala Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM) menggunakan inovasi terkini untuk memvisualisasikan perisian SolidWorks. Penerapan teknologi ini dilihat mampu meningkatkan minat dan pemahaman pelajar di dalam bilik kuliah.
Beliau yang turut menyokong usaha FKE menambah, “FKE giat membangunkan kesediaan tenaga kerja dalam kalangan pelajar dengan memperkukuh aspek kognitif dan psikomotor melalui kolaborasi dengan industri. Kerjasama erat dalam pembangunan serta penambahbaikan kurikulum amat penting bagi memastikan hasil pembelajaran (PLO) direka secara strategik dan dipenuhi pada setiap tahun pengajian. Penguasaan kemahiran digital dan bakat dalam bidang ini amat diperlukan agar graduan bersedia menghadapi cabaran dunia pekerjaan.”

Acara ini juga menekankan keperluan untuk menyiapkan graduan dengan pengetahuan asas mengenai kecerdasan buatan agar mereka mampu bersaing di peringkat global. Kerjasama strategik antara institusi pengajian tinggi dan industri adalah kunci dalam membangunkan tenaga kerja yang adaptif serta mahir dalam bidang digital. Kajian terkini menunjukkan bahawa pekerja yang menguasai pengetahuan AI memperoleh gaji lebih tinggi, satu bukti nyata tentang kepentingan penguasaan teknologi dalam era masa kini.
Wacana ini turut membincangkan kepentingan pendekatan multidisiplin yang merangkumi pelbagai bidang dan merentas industri bagi memastikan penyelesaian masalah yang lebih berkesan. Ilmu di institusi pengajian tinggi (IPT) juga perlu dikongsi secara meluas dengan menerapkan konsep pemerkasaan budaya ilmu, bukan sahaja untuk memperkukuh proses pembelajaran dan pengajaran di IPT, tetapi juga di peringkat sekolah. Oleh itu, universiti berperanan sebagai pusat pendidikan yang bukan sekadar menyampaikan ilmu, tetapi turut membudayakannya dalam masyarakat.

Sementara itu, Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, Naib Canselor UTM, semasa berucap menyatakan bahawa kejayaan penganjuran acara ini mencerminkan komitmen institusi dalam membina ekosistem akademik yang dinamik, progresif dan lestari. Beliau menambah bahawa inisiatif ini merupakan hasil perbincangan mendalam antara Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) dan Majlis Profesor UTM sejak Disember 2024, selari dengan usaha Kementerian Pendidikan Tinggi dalam memperkukuh budaya ilmu dan jaringan akademik negara. Konsep “MADANI” yang diangkat turut menginspirasikan nilai kesejahteraan, keilmuan dan integriti sebagai asas kepada kemajuan negara.

Wacana Intelektual MADANI 2025 ini telah membuka ruang perbincangan menyeluruh mengenai impak sosial dan transformasi teknologi dalam bidang komunikasi serta tenaga. Dengan kerjasama erat antara akademia, industri dan kerajaan, inisiatif seperti ini dijangka mampu menerajui inovasi serta menyediakan penyelesaian holistik untuk menghadapi cabaran era digital pada masa hadapan.