Februari 12, 2025

stethoscope and colored paper with the word mental utc

Pemimpin pendidikan berperanan sokong kesihatan mental kakitangan semasa krisis

Pemimpin pendidikan perlu mengambil berat terhadap kesihatan mental kakitangan dalam menghadapi krisis agar organisasi terus cemerlang. Krisis merujuk kepada situasi yang penuh dengan kesukaran, bahaya, atau ketidakpastian yang serius sehingga mengganggu rutin harian seseorang. Krisis sering menyebabkan tekanan, ketakutan, dan gangguan, namun jika ditangani dengan baik, ia juga boleh membawa perubahan positif. Mengurus krisis memerlukan tindakan pantas, komunikasi jelas, dan rancangan pemulihan yang berkesan bagi mengurangkan kesan buruk serta menyokong kestabilan organisasi.

Dalam sesebuah organisasi, krisis boleh mengganggu rutin, meningkatkan tekanan, dan mewujudkan ketidakpastian, menyebabkan kakitangan berasa tidak selesa, kecewa, atau kurang dihargai. Selain mengurus aspek logistik institusi, pemimpin pendidikan memainkan peranan penting dalam membentuk persekitaran kerja yang memupuk kesejahteraan emosi kakitangan. Dengan menangani kesihatan mental secara proaktif, pemimpin dapat membantu kakitangan mengharungi cabaran krisis sambil memupuk persekitaran organisasi yang menyokong, berdaya tahan, dan saling membantu. Untuk mencapai matlamat ini, pemimpin perlu melaksanakan strategi yang bijak dalam mengutamakan kesihatan mental kakitangan serta memastikan pendapat dan suara mereka didengari serta dihargai.

Keutamaan Kesihatan Mental

Salah satu tanggungjawab utama pemimpin pendidikan semasa krisis adalah dengan mengiktiraf dan mengutamakan kesihatan mental kakitangan. Pemimpin perlu menyedari bahawa krisis mempengaruhi orang secara berbeza-beza. Kesan emosi dan psikologi staf boleh berbeza secara meluas berdasarkan keadaan peribadi mereka. Oleh itu, pemimpin harus memupuk persekitaran dimana setiap kakitangan berasa selesa membincangkan cabaran kesihatan mental mereka tanpa rasa takut terhadap stigma orang lain. Mewujudkan inisiatif untuk melaksanakan tinjauan kesihatan atau perjumpaan ‘face to face’, membolehkan pemimpin menilai keperluan kesihatan mental kakitangan mereka dengan berkesan. Dasar ‘open door’ juga boleh dilaksanakan, di mana pemimpin membuka peluang atau memperuntukkan masa kepada kakitangan untuk sebarang perbincangan, menyatakan kebimbangan, membina kepercayaan dan mendapatkan sokongan serta motivasi daripada pemimpin.

Komunikasi yang Jelas dan Berempati

Komunikasi berkesan adalah elemen penting dalam menyokong kakitangan semasa krisis. Krisis sering disertai dengan ketidakpastian, yang boleh meningkatkan tekanan dan kebimbangan. Oleh itu, pemimpin harus berkomunikasi dengan jelas, konsisten, dan penuh empati bagi mengurangkan kekeliruan serta memupuk kestabilan. Pemimpin juga perlu mengemas kini kakitangan tentang perubahan organisasi, langkah keselamatan, serta jangkaan dan matlamat melalui saluran komunikasi yang efektif. Budaya kerjasama dan ketelusan dalam proses membuat keputusan turut membantu membina kepercayaan serta mengurangkan rasa kurang motivasi dalam kalangan kakitangan. Apabila pemimpin berkomunikasi dengan efektif, berkeyakinan dan penuh empati, mereka menunjukkan keprihatinan dan pemahaman, dan seterusnya berupaya untuk memberi kesan yang menenangkan dan meyakinkan dalam kalangan kakitangan.

Fleksibiliti dan Penyesuaian Beban Kerja

Fleksibiliti dalam menjalankan tugas adalah antara strategi penting yang boleh digunakan oleh pemimpin pendidikan untuk menyokong kesihatan mental staf semasa krisis. Situasi krisis sering menyebabkan kakitangan perlu menangani tanggungjawab tambahan di luar kerja, seperti menjaga ahli keluarga yang sakit, mengurus kesihatan peribadi, atau menyesuaikan diri dengan rutin baharu. Untuk membantu staf menghadapi cabaran ini, pemimpin boleh menawarkan jadual kerja yang fleksibel, pilihan untuk bekerja secara dalam talian (jika sesuai) dan polisi cuti untuk kesihatan mental. Langkah-langkah ini membolehkan kakitangan mengimbangi tugas peribadi dan kerja dengan lebih baik, seterusnya mengurangkan tekanan dan ‘burnout’. Apabila pemimpin menunjukkan kepercayaan kepada kakitangan untuk mengurus masa dan tanggungjawab mereka sendiri, ia bukan sahaja menyokong kesejahteraan mental mereka tetapi juga meningkatkan semangat kerja dan rasa kesetiaan terhadap organisasi.

Pemimpin pendidikan mestilah bijak dalam mengagihkan beban kerja kepada kakitangan dengan adil dan saksama. Kakitangan mungkin berasa tertekan dengan beban kerja yang terlalu banyak, terutamanya jika mereka juga berhadapan dengan cabaran peribadi. Pemimpin harus mengutamakan tugas yang penting dan menyelaraskan aliran kerja untuk mengurangkan tekanan yang tidak perlu dalam kalangan kakitangan. Usaha untuk menggalakkan delegasi dan kerja berpasukan juga boleh membantu mengagihkan beban kerja dengan lebih sekata, memastikan tiada individu yang merasa terbeban. Dengan menetapkan jangkaan yang realistik dan menawarkan fleksibiliti dalam pelbagai aspek, pemimpin boleh membantu kakitangan menumpukan pada tanggungjawab mereka tanpa rasa tertekan atau ‘burnout’.

Pengiktirafan dan Penghargaan

Pengiktirafan dan penghargaan memainkan peranan penting dalam meningkatkan semangat kakitangan, terutamanya semasa menghadapi krisis. Apabila kakitangan merasa usaha mereka diakui dan dihargai, ia bukan sahaja meningkatkan kesihatan mental mereka tetapi juga memberi motivasi untuk mereka terus bekerja dengan lebih baik. Pemimpin pendidikan perlu mengambil inisiatif untuk meraikan pencapaian individu dan pasukan secara konsisten. Pengiktirafan ini boleh dilakukan melalui pelbagai cara, seperti memberi pujian dan penghargaan secara terbuka semasa mesyuarat, menganjurkan majlis anugerah, majlis kesyukuran dan lain-lain. Selain itu, memberikan penghargaan dalam bentuk sijil-sijil atau penghormatan khas untuk usaha yang cemerlang juga mampu membuatkan kakitangan merasa dihargai. Langkah-langkah ini bukan sahaja membantu memupuk rasa kepunyaan dalam organisasi tetapi juga meningkatkan moral, memperkukuh hubungan dan memastikan kakitangan kekal bersemangat walaupun mereka sebenarnya sedang menghadapi cabaran besar.

Menanamkan Harapan dan Visi Pemulihan

Pemimpin pendidikan juga perlu berperanan dalam mewujudkan visi harapan dan pemulihan. Krisis boleh membingungkan dan menyebabkan kakitangan berasa tidak pasti tentang tentang masa depan. Pemimpin yang memberi inspirasi kepada harapan dengan menekankan daya tahan, pembangunan dan matlamat jangka panjang organisasi boleh membantu kakitangan mendapatkan semula rasa kestabilan dan hala tuju. Penetapan matlamat secara kolaboratif, dimana kakitangan terlibat dalam membentuk laluan organisasi ke hadapan, boleh menanamkan rasa ‘sense of belonging’ dan penuh keyakinan.

Secara keseluruhannya, kepimpinan pendidikan dalam menghadapi krisis bukan sekadar mengurus operasi organisasinya, tetapi juga mengenai memimpin dengan empati, belas kasihan dan komitmen terhadap kesihatan mental kakitangan. Dengan mengutamakan komunikasi terbuka, fleksibiliti dan pengiktirafan, pemimpin boleh mewujudkan iklim organisasi yang positif dan kakitangan berasa dihargai. Kepimpinan dalam menyokong kesihatan mental kakitangan dalam menghadapi krisis adalah tentang menunjukkan sifat kemanusiaan dan keprihatinan pemimpin, memastikan tiada siapa yang berasa keseorangan dalam menghadapi ribut dan badai.

Oleh Prof. Madya Dr. Jamilah Ahmad, Prof. Madya Dr. Sharifah Osman dan Prof. Madya Dr. Hanifah Jambari.

Explore More