Februari 11, 2025

wyr

Meja bulat UTM dan agensi kukuh pembangunan tanah adat Sarawak

SARAWAK, 18 Jan. – Kunjungan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang diketuai oleh Dr. Siti Radiaton Adawiyah Zakaria bersama pelajar Sarjana Pentadbiran dan Pembangunan Tanah, terdiri daripada pegawai-pegawai Jabatan Tanah dan Survei Sarawak (JTS), pada mulanya bertujuan mendedahkan peserta dengan pendekatan pembangunan tanah adat di Sarawak. Namun, kunjungan ini berkembang menjadi sesi perbincangan strategik antara UTM dan dua agensi, iaitu Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA) dan Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah Sarawak (LCDA).

Dalam sesi perbincangan tersebut, pihak agensi berkongsi pendekatan yang digunakan untuk pembangunan tanah adat, manakala pihak UTM telah mengimbangi perbincangan dengan mengutarakan pendapat dan cadangan bagaimana pendekatan tersebut boleh ditambah baik, akhirnya memperkukuh pembangunan tanah adat di Sarawak.

Pihak UTM bersama pegawai-pegawai Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA)

Pemangku Ketua Bahagian Pembangunan Peserta, Jimbu Giman, menerusi taklimatnya menyambut baik lawatan ini dan merasakan ianya merupakan satu peluang untuk berkongsi buah fikiran bersama UTM. Pihak SALCRA seterusnya ingin berkongsi dan mendapatkan kepakaran berkolaborasi bukan sahaja dengan pihak JTS tetapi juga dengan Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU) di bawah bimbingan Dr. Siti Radiaton Adawiyah Zakaria yang merupakan Pensyarah Kanan bagi kursus Undang-Undang Pembangunan Tanah.

SALCRA, sebuah Badan Berkanun Kerajaan Negeri yang ditubuhkan di bawah Ordinan SALCRA 1976, bertujuan meningkatkan produktiviti dan pemanfaatan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) secara optimum melalui pembangunan dan pengurusan tanah yang kurang dimanfaatkan, tidak digunakan atau belum dikembangkan. SALCRA membangunkan tanah menerusi model pengurusan projek yang menggunakan konsep In-situ yang mempunyai tempoh pembangunan selama 25 tahun dan penyertaan secara sukarela. Selain itu, peserta yang terlibat dalam model pembangunan tanah SALCRA ini turut mendapat manfaat, termasuk percepatan proses penyukatan dan pengeluaran hak milik tanah sebagai imbuhan atas penyertaan mereka.

Perbincangan bersama Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah Sarawak (LCDA)

Perbincangan diteruskan dengan taklimat mengenai model pembangunan tanah adat oleh George Lentton Indang, Ketua Pegawai Operasi (COO) LCDA. Model pembangunan tanah yang diadaptasi oleh LCDA adalah berbeza dengan yang digunapakai oleh SALCRA. LCDA lebih cenderung membangunkan tanah adat menerusi pendekatan kaedah usahasama (Joint Venture Model).

Pendekatan ini dimulakan dengan pemberian hak kepentingan kepada pihak LCDA yang akan bertindak sebagai pemegang amanah yang akan membangunkan tanah menerusi usahasama syarikat swasta selama 60 tahun. Pihak LCDA mempunyai misi melaksanakan projek pembangunan tanah di seluruh Sarawak untuk meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi komuniti secara mampan di samping mencapai keuntungan organisasi dan mewujudkan nilai untuk pihak berkepentingan.

Selaras dengan misi tersebut, melalui pendekatan usahasama, syarikat usahasama (JVC) akan membayar pendahuluan kepada pemilik tanah sebanyak RM480 per hektar. Penyertaan adalah secara sukarela, dan dijanjikan pulangan walaupun pelaburan yang dibuat mengalami kerugian.

Setelah mendengar pendekatan yang telah diadaptasi oleh agensi, Emmy Zurina Omar, pelajar Sarjana Pentadbiran dan Pembangunan Tanah merangkap Pegawai Tadbir Tanah Kanan JTS, memulakan sesi soal jawab dengan mencadangkan pembangunan tanah yang tidak dibangunkan dari penanaman sawit kepada penanaman padi misalnya. Perbincangan diteruskan lagi dengan pelbagai soalan dari pelajar lain dengan melihat kepada cabaran yang dilalui oleh pihak agensi seperti kerugian, kelewatan dalam pengeluaran hak milik, kurangnya penyertaan dari peserta dan masalah pengukuran tanah. Sesi perbincangan yang dilakukan selama kira-kira dua setengah jam bagi setiap satu agensi yang dihadiri oleh pegawai-pegawai tertinggi agensi yang terlibat diakhiri dengan penambahan ilmu terhadap pendekatan yang digunapakai serta cadangan penambahbaikan bagi memperkukuh pembangunan tanah adat di Sarawak.

Sepanjang sesi perbincangan, beberapa cadangan penambahbaikan telah diketengahkan. Dr. Siti Radiaton Adawiyah Zakaria menekankan bahawa semakan terhadap pendekatan yang digunapakai adalah perlu kerana sesuatu kaedah bukanlah bersifat selamanya tetapi perlunya penambahbaikan dari masa ke semasa. Beliau turut mencadangkan supaya fokus pendekatan yang digunakan ditambah baik dengan meningkatkan jaminan pemilik tanah melalui penambahbaikan sekuriti pegangan tanah, menambah baik justifikasi penarikan semula pemaju jika pembangunan yang dijalankan mengalami kerugian, meningkatkan penglibatan bersama komuniti untuk mendapatkan kepercayaan pemilik tanah serta yang paling penting berlaku perundingan bersama pihak agensi dan kerajaan yang akan membantu dalam urusan tanah di Sarawak.

Cadangan penambahbaikan oleh Dr. Siti Radiaton Adawiyah Zakaria, Pensyarah Kanan UTM

Dengan cadangan ini, pentadbiran dan pembangunan tanah diharapkan dapat memainkan peranan yang lebih signifikan dalam merealisasikan visi, misi, dan objektif agensi-agensi yang terlibat. Di akhir sesi, pihak UTM mengucapkan terima kasih atas perkongsian ilmu dan pengalaman daripada pihak agensi. Agensi-agensi yang terlibat pula menyatakan harapan agar perbincangan ini membuka jalan kepada kolaborasi yang lebih kukuh dan berpanjangan pada masa hadapan.

Explore More