Februari 21, 2025

‘Walk with Me Coaching Program’ perkasa keberhasilan graduan HRD

JOHOR BAHRU, 15 Jan. – Sekolah Pembangunan Sumber Manusia dan Psikologi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSH), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), telah menganjurkan ‘Walk with Me Coaching Program’ dengan pelancaran rasmi secara dalam talian pada 5 November 2024. Program ini telah capai kemuncaknya dengan acara graduasi yang berlangsung pada 15 Januari 2025 bertempat di Dewan Seminar 2, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UTM Johor Bahru.

Program ini bertujuan memperkukuhkan hubungan akademia dan industri, dengan pelajar Tahun 4 HRD diberi peluang menjalani sesi bimbingan bersama coach industri yang dilantik oleh pihak TalentCorp. Melalui program ini, pelajar akan memperoleh pengalaman langsung dalam situasi sebenar industri yang relevan dengan keperluan pasaran kerja.

Kerjasama ini turut melibatkan wakil TalentCorp, coach industri, dan pelbagai rakan industri lain, dengan jumlah peserta dijangka seramai 121 individu, termasuk 76 pelajar Tahun 4 HRD. Di samping itu, program ini akan memperkenalkan pelajar kepada platform Mynext, yang dirangka untuk membina profil kompetensi graduan demi meningkatkan kebolehpasaran mereka di peringkat industri.

‘Walk With Me Coaching Program’ adalah sebahagian daripada inisiatif Roadmap Program HRD yang dirangka untuk menghubungkan pelajar dengan peluang praktikal di lapangan kerja sebenar. Sekolah Pembangunan Sumber Manusia dan Psikologi UTM sangat optimistik program ini akan menjadi satu platform berimpak tinggi bagi memperkasakan graduan HRD UTM ke arah menjadi modal insan unggul yang kompeten dan bersedia memenuhi keperluan pasaran global.

Majlis penutup ini telah disempurnakan oleh YB Aznan Tamin, Exco Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, turut dihadiri oleh YBrs. Profesor Arieff Salleh Rosman, Dekan FSSH dan barisan pengurusan fakulti serta YBrs. Safrina Lasa, Ketua Sektor, Industry Partnership Talentcorp Malaysia.

Tuan Aznan dalam ucapannya yakin penglibatan wakil industri dalam membimbing dan memperkasa bakat mampu menyumbang ke arah Pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ). JS-SEZ dijangka menjadi wilayah ekonomi utama bagi perniagaan dan pelaburan, merangkumi Wilayah Pembangunan Iskandar dan Pengerang. Dalam lima tahun pertama, 50 projek disasarkan untuk dilaksanakan, manakala dalam tempoh 10 tahun, sebanyak 100 projek dijangka bakal direalisasikan.

 

YB Tuan Aznan Tamin, Exco Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor menyempurnakan majlis penutup program

 

 

 

 

 

Disediakan oleh

Jaffrey Samsul Bahrin

Unit Khidmat Korporat, Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan

Explore More