PEKAN NENAS, 29 Dis. – Institut Minyak dan Gas (IFOG) Universiti Teknologi Malaysia-Perbadanan Sumber Petroleum Malaysia (UTM-MPRC) telah melaksanakan satu program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang bermakna di Mahaad Tahfidzul Quran (MataQu) Al Misykat, Pekan Nenas, Johor. Program ini diadakan pada 29 Disember 2024 dan berjaya menarik perhatian serta penyertaan aktif daripada pelbagai pihak.
Tujuan utama program ini adalah untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan pelajar Maahad Tahfidzul Quran (MataQu) Al Misykat tentang keselamatan dan kesihatan di tempat kerja melalui pendekatan pembelajaran berasaskan khidmat masyarakat. Program ini juga bertujuan untuk memberi pendedahan praktikal kepada para pelajar mengenai amalan keselamatan, kepentingan persekitaran kerja yang sihat, serta langkah-langkah pencegahan risiko yang relevan dalam kehidupan harian dan masa depan mereka. Selain itu, program ini diharapkan dapat memupuk nilai tanggungjawab sosial dan mempersiap pelajar dengan kemahiran asas yang bermanfaat untuk diaplikasikan dalam pelbagai konteks pekerjaan dan kehidupan bermasyarakat.
Program dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada Pengarah IFOG, Prof. Madya Dr. Agus Arsad, yang menekankan komitmen institusi terhadap pembangunan masyarakat dan keselamatan. Pengetua Mahaad turut memberikan ucapan penghargaan dan mengalu-alukan program CSR sebegini, yang dianggap sangat bermanfaat untuk institusi itu sendiri dan para pelajar khususnya.
Beberapa aktiviti menarik telah diadakan sepanjang program ini, antaranya ceramah Keselamatan Kebakaran Bangunan oleh Ahmad Ismail, yang memberikan pendedahan penting tentang langkah-langkah keselamatan kebakaran, serta ceramah Kesihatan Mental oleh Prof. Madya Ir. Dr. Mimi Haryani Hassim, yang menekankan kepentingan menjaga kesihatan mental dalam kehidupan seharian, terutamanya dalam kalangan pelajar dan anak muda. Selain itu, demonstrasi Realiti Maya (VR) Keselamatan Proses oleh Dr. Hamidah Kamarden membolehkan pelajar mengalami simulasi keselamatan secara interaktif. Aktiviti ini dilengkapi dengan permainan ‘Hazard Word Search Game’ yang melibatkan pelajar dari pelbagai peringkat umur bagi meningkatkan kesedaran tentang bahaya di persekitaran.
![Gambar](https://news.utm.my/wp-content/uploads/2024/12/Gambar-2-2-1024x768.jpg)
Sebagai tanda sokongan kepada Mahaad, sumbangan wang tunai sebanyak RM5,200.00 serta lima unit alat pemadam api telah disampaikan kepada pihak Mahaad bagi memperkukuh aspek keselamatan di institusi pengajian tersebut. Antara penyumbang utama adalah Unbox Resources Sdn. Bhd., Prima Gas Sdn. Bhd., Biopro Resources Sdn. Bhd., dan Zulkifli Hamzah dari SG Padimas Sdn. Bhd., selain sumbangan peribadi daripada individu lain.
![Gambar](https://news.utm.my/wp-content/uploads/2024/12/Gambar-3-2-1024x768.jpg)
![Gambar](https://news.utm.my/wp-content/uploads/2024/12/Gambar-4-2.jpg)
Program ini turut menerima maklum balas positif daripada tenaga pengajar dan para pelajar Mahaad. Ustaz Juwahir bin Amin, Mudir Mahaad, menyatakan bahawa program sebegini sangat bermakna kerana dapat menjalin kerjasama strategik antara Maahad Tahfiz dengan pihak UTM. Beliau turut mengulas bahawa modul-modul yang disampaikan, khususnya berkaitan kesihatan mental, keselamatan di tempat kerja, dan penggunaan alat keselamatan, adalah amat relevan dan bermanfaat. Tambahan pula, program ini membantu meningkatkan pengetahuan para guru dan pelajar tahfiz tentang dunia pekerjaan yang berkaitan dengan industri petroleum.
Pelajar juga meluahkan rasa teruja dengan aktiviti yang dijalankan, terutamanya pengalaman menggunakan teknologi VR yang memberikan suasana seakan-akan berada di kawasan industri sebenar. Mereka turut menikmati permainan silang kata ‘Hazard Word Search Game’ yang bukan sahaja menyeronokkan tetapi juga menambah pengetahuan mengenai keselamatan.
Program ini berakhir dengan sesi bergambar dan penyampaian penghargaan kepada semua pihak yang terlibat. Para pelajar dan guru-guru Mahaad menyatakan rasa terharu dan gembira atas sumbangan serta ilmu yang diterima sepanjang program ini. Melalui pelaksanaan inisiatif ini, UTM-MPRC IFOG berharap dapat terus memperkukuh hubungan dengan komuniti setempat dan meneruskan program-program CSR pada masa akan datang yang mampu memberi impak positif kepada masyarakat.
Secara keseluruhannya, program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang dijalankan oleh IFOG UTM ini berpotensi memberikan manfaat jangka panjang kepada Mahaad Tahfiz dan komuniti sekitarnya, terutamanya dalam aspek memperkasakan pendidikan dan membuka peluang kerjasama yang lebih luas untuk membantu meningkatkan kemahiran pelajar secara holistik. Dengan inisiatif ini, institusi Mahaad Tahfiz dapat menikmati sokongan berterusan dalam pelbagai bentuk seperti pembangunan kapasiti tenaga pengajar, peningkatan sumber pembelajaran, dan bimbingan pengurusan institusi. Komuniti sekitar juga berpeluang mendapat manfaat melalui penglibatan dalam program pembangunan sosioekonomi, pengukuhan hubungan sosial, dan peluang untuk memperoleh kemahiran baharu yang boleh menyumbang kepada kesejahteraan mereka.
Oleh Prof. Mayda Ir. Dr. Mimi Haryani Hassim, penyelidik di Kumpulan Penyelidikan Keselamatan dan Kesihatan UTM, serta Nor Eman Ismail dari UTM-MPRC IFOG