April 8, 2025

Picture

Program I-Fun Fest pupuk kemahiran insaniah dan sahsiah para pelajar

JOHOR BAHRU, 30 Nov. – Program “I-Fun Fest” merupakan sebuah inisiatif Service-Learning yang dianjurkan oleh pelajar Pengajian Islam bagi kursus SHPP4062-01 Sosiologi Pendidikan, di bawah bimbingan Dr. Roslizam Hassan dengan kelulusan daripada Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Johor Bahru. Program ini turut menerima peruntukan sebanyak RM1,450 daripada Sekolah Pengajian Prasiswazah (UGS), UTM. Penglibatan adalah terdiri daripada 29 orang fasilitator UTM dan 60 orang murid kelas aliran agama (KAA) Tingkatan 1 dan 2.

Dunia pendidikan dalam arus abad ke-21 yang terlihat semakin mencabar telah mencetuskan idea pihak penganjur untuk mengadakan program “I-Fun Fest” di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Universiti, Skudai, Johor pada 30 November 2024. Program ini berfokuskan kepada aktiviti interaktif iaitu lebih kepada aktiviti menarik dan menyeronokkan.

Terdapat tiga objektif utama dalam penghasilan program ini seperti menarik minat murid untuk mempelajari ilmu Sirah, Feqah, Tajwid serta Akhlak di samping program ini bertujuan untuk meningkatkan kemahiran insaniah dan sahsiah mereka agar lebih teguh dengan pegangan agama Islam. Selain itu, program ini juga menjadi platform bagi murid untuk membentuk semangat kerjasama serta mencetuskan pemikiran yang kreatif.

Program ini bermula dengan sesi ramah-mesra bersama para peserta dan wakil dari pihak SMK Taman Universiti, Muhaini Mahmud, Guru Kanan mata pelajaran Sains dan Matematik SMK Taman Universiti sebelum meneruskan agenda sesi pengajaran dan perkongsian oleh para fasilitator. Perkongsian pembelajaran berfokus kepada empat elemen penting iaitu Hukum Tajwid (Nun Sakinah dan Tanwin), Feqah (Bersuci daripada Najis), Sirah (Biodata Ringkas Rasulullah SAW), dan Adab (Adab kepada Ibu Bapa) di mana keempat-empat elemen ini merupakan perkara asas untuk dipelajari sebagai seorang muslim.

Picture
Sesi perkongsian Modul Integrasi Cahaya Iman oleh fasilitator

Aktiviti berikutnya iaitu ‘Explorace’, di mana dalam aktiviti ini mereka perlu melengkapkan empat stesen aktiviti bermula dengan ‘Tajwid Trails’, ‘Fiqh Fun Zone’, ‘Akhlak Awesome’, dan ‘Sirah Playtime’. Setiap stesen ini menawarkan aktiviti yang menyeronokkan dan memerlukan kreativiti serta pemikiran di luar kotak peserta untuk menyelesaikannya. Stesen-stesen ini juga membantu para peserta untuk mengingati kembali topik-topik yang mereka telah pelajari sepanjang sesi pembelajaran Pendidikan Islam.

Picture
Fasilitator menyampaikan taklimat sepanjang program

Pihak sekolah serta murid juga telah memberikan maklum balas yang positif dalam program ini dan jika diberikan peluang untuk penganjuran program, mereka mengalu-alukan kehadiran daripada pihak UTM untuk menganjurkan program di SMK Taman Universiti. Tidak dinafikan bahawa, program ini turut membuka ruang para pelajar dari UTM untuk mengasah kemahiran seperti kepimpinan, komunikasi, dan pengurusan projek, malah mereka juga bersedia menghadapi cabaran sebagai bakal guru dan dapat melatih diri untuk memberi sumbangan yang lebih berkesan dan bermanfaat kepada komuniti.

Picture
Barisan fasilitator yang merupakan pelajar kursus Sosiologi Pendidikan (SHPP4062-01) Sesi 2024/2025/

Explore More