Disember 19, 2024

Delegasi STAMAS ke FEST bersama-sama Dekan FEST

FEST bimbing STAMAS ke arah kecemerlangan akademik dan sukan di UTM

JOHOR BAHRU, 12 Dis – Satu program lawatan berimpak Bintang Murid Atlet Cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan Kota Masai 2 (STAMAS) ke Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi (FEST), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah dilaksanakan dengan jayanya pada 12 Disember 2024. Seramai 80 orang murid STAMAS yang merupakan atlet cemerlang yang telah mengharumkan nama sekolah di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa diiringi oleh lapan orang guru program kecemerlangan atlet telah memeriahkan program tersebut. Majlis turut dirasmikan oleh Dekan FEST, Prof. Dr. Noraffandy Yahaya dan disaksikan oleh barisan pensyarah daripada panel Sains Sukan dan hadirin yang hadir di Bilik Seminar FEST.

Ucapan kata alu-aluan oleh Prof. Dr Noraffandy bin Yahaya, Dekan FEST
Ucapan kata alu-aluan oleh Prof. Dr Noraffandy Yahaya, Dekan FEST

Program lawatan tersebut terbahagi kepada beberapa slot yang memfokuskan kepada pendedahan awal ilmu berkaitan sains sukan dan hala tuju murid atlet STAMAS selepas tamat persekolahan kelak. Inisiatif lain program juga bertujuan untuk memberi pengalaman kepada murid atlet STAMAS tentang kehidupan di universiti dan peluang-peluang yang ada di UTM jika mereka ingin menyambung pengajian mereka kelak.

FEST menjadi destinasi pilihan STAMAS kerana UTM menawarkan program-program akademik berkaitan sukan dari peringkat diploma iaitu Diploma Kecergasan dan Sukan di bawah Sekolah Pendidikan Profesional dan Pendidikan Berterusan UTM (UTMSPACE) yang menggunakan kepakaran staf akademik FEST; peringkat ijazah sarjana muda melalui program Ijazah Sarjana Muda Sains dengan Pendidikan (Sains Sukan) dengan kepujian sehingga ke peringkat yang lebih tinggi iaitu ijazah sarjana – Ijazah Sarjana Pendidikan Jasmani dan Sains Sukan – melalui mod campuran serta doktor falsafah.

Taklimat promosi program FEST dan hala tuju murid atlet oleh Prof. Madya Dr. Zainal Abidin Zainuddin di Slot 1 menekankan aspek peluang-peluang yang ada bagi murid atlet STAMAS untuk melanjutkan pelajaran mereka dalam bidang yang diminati tanpa mengabaikan prestasi serta bakat sukan mereka.

Slot 1 oleh Prof Madya Dr Zainal Abidin bin Zainuddin mengenai taklimat promosi program di FEST
Slot 1 oleh Prof. Madya Dr. Zainal Abidin Zainuddin mengenai taklimat promosi program di FEST

Slot 2 pula adalah ceramah berkaitan ilmu Sains Sukan iaitu Pemakanan Sukan bagi atlet. Slot ini disampaikan oleh Dr. Syahrul Ridhwan Morazuki dan beliau memfokuskan kepada asas tentang pemakanan sukan yang betul dan tepat sebelum, semasa dan selepas pertandingan sesuai bagi murid atlet STAMAS yang sering menyertai pertandingan mewakili sekolah di peringkat tertinggi mereka. Ceramah ini memberikan gambaran untuk mereka merancang strategi yang efektif untuk memastikan prestasi mereka kekal dalam keadaan terbaik.

Slot 2 oleh Dr Syahrul Ridhwan bin Morazuki mengenai pemakanan sukan bagi atlet
Slot 2 oleh Dr. Syahrul Ridhwan Morazuki mengenai pemakanan sukan bagi atlet

Manakala Slot 3 merupakan sesi lawatan di sekitar UTM bagi menunjukkan persekitaran UTM yang mempunyai beberapa tarikan utama seperti Tasik Ilmu, Rumah Tropika, Bamboo Avenue, Dewan Sultan Iskandar, Masjid Sultan Ismail, Perpustakaan Sultanah Zanariah dan lain-lain tempat yang menarik. Slot ini telah dikendalikan oleh fasilitator yang terdiri daripada pelajar pendidikan sains sukan.

Barisan fasilitator yang terlibat mengendalikan Slot 3 lawatan dan aktiviti di sekitar UTM
Barisan fasilitator yang terlibat mengendalikan Slot 3 lawatan dan aktiviti di sekitar UTM

Di akhir program, wakil delegasi STAMAS iaitu Guru Penolong Kanan (GPK) Kokurikulum, Zaifarizah Md Sukor merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak FEST kerana sudi menerima kunjungan mereka dan memastikan bahawa program lawatan ini memberi impak kepada kemenjadian murid atlet STAMAS pada masa akan datang dan dapat menyumbang kepada kerjasama serta kolaborasi jangka masa panjang yang dapat memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak.

Sesi pertukaran cenderamata di antara Guru Penolong kanan Kokurikulum STAMAS, Puan Zaifarizah binti Md Sukor dan Dekan FEST, Prof. Dr. Noraffandy bin Yahaya
Zaifarizah Md Sukor (dua kiri) bertukar cenderamata dengan Prof. Dr. Noraffandy Yahaya (dua kanan)

Explore More