Disember 12, 2024

Search
Close this search box.

Penghayatan bulan dan bintang tingkat ilmu astronomi pelajar SKTMR2

JOHOR BAHRU, 3 Dis – Pelajar Kejuruteraan Geomatik (PEMETA) telah melaksanakan satu program Penghayatan Bulan dan Bintang di Sekolah Kebangsaan Taman Mutiara Rini 2 (SKTMR2) dengan kerjasama Sekolah Pengajian Prasiswazah (UGS) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sebagai satu inisiatif perkongsian ilmu dalam bidang astronomi sekali gus memperkenalkan Kejuruteraan Geomatik kepada warga sekolah. Program yang mendapat sokongan daripada pihak pengurusan sekolah yang diterajui oleh Guru Besar SKTMR2, Rasyidah Abd Rahman, serta guru lain berpotensi meningkatkan ilmu astronomi ini, di samping penglibatan para pelajarnya.

WhatsApp Image at
Fasilitator bersama guru-guru SKTMR2

Seramai 300 orang pelajar sekolah SKTMR2 dan pelajar perkhemahan peringkat negeri terlibat dengan program ini, serta turut dibantu seramai 10 orang fasilitator daripada pelajar Tahun 3 Kejuruteraan Geomatik, UTM. Pihak sekolah telah memberi peluang kepada pelajar UTM untuk menjalankan program ini bersama perkhemahan kurikulum peringkat negeri agar dapat merasai pengalaman yang hebat dalam mengendalikan program bersama para pelajar yang ramai.

Program yang dijalankan pada sesi pagi dan malam ini melibatkan tiga aktiviti utama iaitu perkongsian ilmu astronomi, tayangan video geomatik, permainan dan kuiz serta latihan amal cerapan bulan. Sesi perkongsian ilmu berkaitan astronomi telah disampaikan oleh wakil fasilitator serta diikuti dengan tayangan video pendek berkenaan topik yang telah dibincangkan. Manakala bagi memastikan kefahaman para pelajar serta memeriahkan suasana dan semangat pelajar di dalam kelas, beberapa permainan telah dijalankan seperti kotak beracun dan juga kuiz.

Sesi perkongsian ilmu dan pengenalan bidang geomatik
Sesi perkongsian ilmu dan pengenalan bidang geomatik
Hasil aktiviti ‘Teka Siapa Saya?’ oleh para pelajar
Para pelajar menjawab kuiz berkenaan astronomi

Pihak sekolah sangat menyokong inisiatif program ini kerana mampu memberi pendedahan awal kepada para pelajar untuk lebih mengenali dan mahir dalam bidang astronomi. Program ini sedikit sebanyak telah memberikan ilmu pengetahuan kepada generasi muda akan keunikan bidang astronomi. Ianya bertujuan bagi memupuk rasa minat yang tinggi terhadap bidang astronomi seiring peredaran kemajuan teknologi yang kian pesat. Para pelajar merasai keseronokan apabila dapat melihat planet dan bulan dengan jelas melalui aktiviti cerapan bulan serta ilmu astronomi yang telah dipelajari pada sesi pagi.

Aktiviti amali mencerap bulan

Penganjuran program ini telah mendapat sambutan yang meriah serta maklum balas yang baik daripada para pelajar dan guru-guru SKTMR2. Pelaksanaan program seperti ini mampu mengukuhkan lagi hubungan antara UTM bersama SKTMR2, sekali gus mempromosikan UTM kepada para pelajar SKTMR2 untuk menyambung pelajaran ke UTM kelak. Di samping itu, program ini juga dapat melahirkan para graduan Geoinformasi UTM yang berbakat, berkemahiran, berkebolehan dan berkeupayaan tinggi dalam bidang astronomi, di samping meningkatkan lagi kemahiran komunikasi profesional dan kepimpinan selaras dengan atribut graduan UTM.

Explore More