PAGOH, 9 Dis – Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), YBhg. Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang telah mengadakan lawatan rasmi ke Hab Pendidikan Tinggi Pagoh (HPTP) hari ini. Antara agenda utama adalah lawatan ke Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kampus Pagoh bagi meninjau cadangan tapak pembangunan Hab Hidrogen dan potensi untuk dijadikan sebagai Pusat Latihan Teknologi Hidrogen. Pusat ini bertujuan menjadi pemangkin dalam pembangunan kapasiti, penyelidikan, serta latihan tenaga kerja mahir berkaitan teknologi hidrogen di Malaysia.
Pusat latihan ini dijangka melatih lebih 3,000 pelajar dari UTM, Politeknik dan UTHM dalam tempoh tiga tahun akan datang. Latihan ini akan memberi tumpuan kepada teknologi enjin hidrogen (Hydrogen Internal Combustion Engine – H2ICE) dan sistem sel bahan api hidrogen (Hydrogen Fuel Cell). Program ini turut merangkumi pembangunan modul latihan, penyediaan microcredentials, program sarjana dan doktor falsafah (PhD).
Pembangunan ini akan menyediakan fasiliti penyelidikan dan latihan yang dikenali sebagai Capacity Building and Research Facilities: Hydrogen Engines, Fuel Cell and Utilization @Pagoh EduHub. Fasiliti ini juga akan merangkumi kemudahan keselamatan hidrogen, sistem penyimpanan tekanan rendah dan tinggi, serta penyediaan enjin dan sistem sel bahan api untuk tujuan ujian, latihan serta penyelidikan.
Inisiatif ini memanfaatkan lebih 10 tahun kerjasama antara UTM dan Imperial College London (IC) dalam bidang teknologi enjin, sel bahan api dan pengangkutan. Melalui kerjasama ini, pemindahan pengetahuan berkaitan teknologi terkini dalam operasi enjin hidrogen dan sistem sel bahan api dijangka dapat mengukuhkan keupayaan UTM untuk muncul sebagai peneraju penyelidikan tenaga hijau di rantau ini. UTM Kampus Pagoh dipilih sebagai lokasi strategik kerana kemudahan sedia ada seperti H2 Turbocharger Test Rig dan pengalaman luas UTM dalam penyelidikan tenaga hijau.
Lawatan ini turut melibatkan sesi tinjauan ke Innovation Centre in Agritechnology for Advanced Bioprocessing (ICA), UTM Pagoh, sebuah pusat penyelidikan UTM yang memberi tumpuan kepada teknologi makanan dan pertanian mampan. Turut hadir dalam lawatan ini adalah Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim yang kini menjalankan fungsai sebagai Naib Canselor UTM, dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Rosli Md. Illias.