JOHOR BAHRU, 8 Dis – Jabatan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Termaju (Advanced TVET) di bawah Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi (FEST) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah berjaya menganjurkan program FEST UTM x KV Negeri Johor. Usaha sama program ini melibatkan tujuh buah Kolej Vokasional di negeri Johor yang menawarkan program teknikal dan kejuruteraan. Seramai 48 orang pelajar dari Kolej Vokasional Tanjung Puteri, Kolej Vokasional Tanjung Piai, Kolej Vokasional Kota Tinggi, Kolej Vokasional Muar, Kolej Vokasional Segamat, Kolej Vokasional Kluang dan Kolej Vokasional Batu Pahat telah hadir ke program ini, diiringi oleh 8 orang guru pengiring yang terdiri daripada guru kaunselor.
Bermula dengan sesi pembukaan majlis dan aluan dari Dekan FEST, Prof. Dr. Noraffandy Yahaya, program ini diteruskan dengan pengukuran kedalaman minat pelajar dalam bidang pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET). Memandangkan pelajar yang hadir semuanya mempunyai latar belakang TVET dari pelbagai bidang, sesi ini dapat membantu pelajar lebih mendalami minat diri sendiri sama ada untuk meneruskan pembelajaran dalam bidang TVET atau sebaliknya. Respon positif dari pelajar menunjukkan pelajar bersemangat untuk meneroka kemahiran dalam bidang TVET di masa hadapan.
Pelajar-pelajar yang terlibat ini terdiri dari program Teknologi Elektrik & Elektronik, Binaan Bangunan, Teknologi Kimpalan, Teknologi Automotif, Teknologi Pemesinan dan juga Teknologi Penyaman Udara. Mereka diberi peluang untuk melawat fasiliti pengajaran dan pembelajaran TVET di UTM, terutama di bangunan N30 yang menempatkan bengkel pneumatik, hidraulik dan robotik, bengkel fabrikasi logam, bengkel pemesinan, bengkel penyaman udara, bengkel bata dan kayu, bengkel elektrik, dan bengkel elektronik.
Program ini juga memberi peluang kepada pelajar untuk memahami aplikasi praktikal dalam bidang teknikal dan vokasional melalui demonstrasi, sesi interaktif bersama pakar industri dan akademik. Lawatan ini memberi peluang kepada pelajar untuk meneroka persekitaran kampus UTM, termasuk kemudahan yang disediakan seperti perpustakaan, pusat teknologi, asrama, dan kawasan rekreasi. Ini dapat membantu pelajar mendapatkan gambaran lebih jelas tentang kehidupan sebagai mahasiswa di institusi pengajian tinggi.
Sesi perkongsian seterusnya disampaikan oleh Prof. Madya. Ts. Dr. Dayana Farzeeha Ali berkaitan tips dan cara menjawab Ujian Inventori Pemilihan Pendidik Malaysia atau juga dikenali sebagai Malaysian Educators Selection Inventory (MEdSI) yang merupakan syarat tambahan bagi pemohon Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP). Beliau turut menyampaikan tips untuk menghadiri temu bual ISMP bagi memberi pendedahan awal kepada pelajar yang berminat untuk melanjutkan pelajar dalam bidang pendidikan.
Program FEST UTM x KV ini merupakan program perintis dalam meningkatkan kerjasama erat antara entiti universiti awam seperti UTM dengan institusi pendidikan dan penyedia TVET yang lain. Jabatan Advanced TVET sentiasa komited dalam memperkasakan TVET di UTM dan memperluas jaringan universiti untuk komuniti.