Disember 12, 2024

Search
Close this search box.
n

UTM dan TNB tingkat literasi tenaga melalui Malaysia Energy Literacy Program (MELP)

JOHOR BAHRU, 8 Dis. – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mencipta sejarah sebagai institusi pengajian tinggi pertama di Johor yang bekerjasama dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi melaksanakan Malaysia Energy Literacy Program (MELP). Program ini direka khusus untuk meningkatkan kesedaran dan pemahaman tentang sektor tenaga elektrik serta kepentingannya dalam kehidupan harian, melibatkan semua pelajar Ijazah Sarjana Muda di UTM.

MELP bertujuan memperkukuh kesedaran, kefahaman, dan kecekapan pelajar mengenai isu-isu tenaga. Modul ini menumpukan kepada kepentingan peralihan kepada tenaga bersih dan lestari, sejajar dengan matlamat global untuk mencapai keterjaminan tenaga. Ia juga mempersiapkan generasi muda agar mampu menyumbang kepada kehidupan yang mampan dan kesejahteraan masyarakat pada masa depan.

Fakulti Kejuruteraan Elektrik, UTM, memainkan peranan aktif dalam memastikan keberkesanan program ini. Bersama beberapa universiti tempatan lain, FKE UTM terlibat dalam menambah baik kandungan modul pembelajaran MELP, menjadikannya lebih relevan dan berdaya saing. Kerjasama strategik ini diyakini dapat mencetuskan impak positif, bukan sahaja kepada pelajar, malah kepada masyarakat dan sektor tenaga negara.

Pengerusi Sekolah Pendidikan Prasiswazah (UGS) UTM, Prof. Ts. Dr. Intan Zaurah Mat Darus menyatakan, “Sebagai sebuah universiti yang komited terhadap pembangunan lestari, UTM amat berbangga dapat bekerjasama dengan TNB untuk merealisasikan MELP ini. Program ini bukan sahaja meningkatkan literasi tenaga pelajar tetapi juga mendukung agenda rendah karbon melalui pemahaman isu seperti kecekapan tenaga dan teknologi lestari.”

Sebagai sebahagian daripada pelaksanaan MELP, kursus elektif bertajuk Literasi Tenaga Elektrik telah diluluskan oleh Jawatankuasa Tetap Senat Kurikulum dan Kualiti Akademik UTM. Kursus ini akan memperkasakan pelajar dengan pengetahuan tentang kecekapan tenaga, sumber tenaga lestari, dan peranan teknologi dalam menyokong agenda tenaga mampan.

“Kursus ini juga terbuka kepada pelajar daripada fakulti lain, mencerminkan komitmen UTM untuk melahirkan graduan yang holistik, inklusif, dan bersedia menghadapi cabaran masa depan,” tambah Prof. Intan.

n
Prof. Intan Zaurah merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan MELP

Sementara itu, Ketua Pegawai Kawal Selia dan Pengurusan Stakeholder Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Ir. Ts. Shamsul Ahmad, menyifatkan kerjasama ini sebagai tonggak penting dalam transformasi tenaga. “Peralihan tenaga adalah tanggungjawab bersama. Dengan sokongan institusi pengajian tinggi seperti UTM, kita mampu mendidik generasi muda untuk memahami dan mengaplikasikan konsep tenaga lestari,” katanya.

Menurut beliau juga, melalui kolaborasi dengan universiti awam serta agensi lain, usaha dalam memastikan pembangunan literasi tenaga dapat direalisasikan secara menyeluruh pada masa akan datang. Panduan dan saranan daripada pelbagai pihak amat diperlukan untuk memberikan hala tuju yang lebih baik.

n
Datuk Shamsul turut berbesar hati dengan usaha dari pelbagai agensi dalam meningkatkan literasi tenaga lebih-lebih lagi dalam kalangan mahasiswa

Pertukaran dokumen kerjasama antara UTM dan TNB ini turut disaksikan oleh Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), YB Tuan Haji Akmal Nasrullah, bersama wakil institusi lain seperti Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Institut Latihan Perindustrian (ILP) Pasir Gudang, Institut Latihan Perindustrian (ILP) Mersing, Politeknik Ibrahim Sultan, Kolej Komuniti Segamat, Politeknik Port Dickson dan Institut Kemahiran Belia Negara.

n
Antara sebilangan mahasiswa dari berbagai-bagai institusi yang hadir memeriahkan program

Kehadiran institusi-institusi ini menunjukkan usaha untuk memperluas impak MELP ke seluruh negara. Semangat kerjasama ini diharap dapat membawa impak positif kepada pelajar, masyarakat, dan sektor tenaga negara, menjadikan literasi tenaga sebagai asas pembangunan lestari negara.

Explore More