Disember 12, 2024

Search
Close this search box.

KTHO perkukuh jalinan global ke Bandung melalui MOVE24

BANDUNG, 6 Dis – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) memperkukuh komitmennya terhadap kerjasama akademik dan pertukaran budaya secara global melalui program Mobility Outreach Visit Exchange 2024 (MOVE2024). Program ini berlangsung selama lima hari di Bandung, Indonesia bermula dari 27 November sehingga 1 Disember 2024. MOVE24 ini melibatkan delegasi dari Kolej Tun Hussein Onn (KTHO), UTM yang diketuai oleh Pengarah Program iaitu Nur Amirah Wajihah Roslan bersama 20 orang pelajar dan diiringi 2 orang felow KTHO.

Delegasi KTHO UTM bersama TNCHEPA di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai - kredit MEDIA MOVE24
Delegasi KTHO UTM bersama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Ts. Dr. Ali Selamat di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Ismail, Senai

Delegasi UTM berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Ismail, Senai dan tiba di Lapangan Terbang Soekarno-Hatta, Jakarta sebelum meneruskan perjalanan ke Bandung. Pada 28 November, majlis pembukaan program diadakan, diikuti dengan aktiviti antara pelajar Universitas Padjadjaran (UNPAD) dan UTM. Aktiviti ini berlangsung dari jam 1.30 petang hingga 4.30 petang dan memberi peluang kepada pelajar dari kedua-dua universiti untuk berinteraksi serta berkongsi pengalaman.

Lawatan ke FMIPA UNPAD: Pemacu Kerjasama Akademik

Salah satu aktiviti yang menjadi tumpuan sepanjang program MOVE24 ini ialah lawatan ke Fakultas Matematika dan Ilmu Pengetahuan Alam (FMIPA), UNPAD pada 29 November 2024. Kedatangan delegasi KTHO, UTM disambut mesra oleh warga FMIPA UNPAD dan sesi lawatan tersebut dimulakan dengan ucapan aluan  dari Dekan FMIPA, Prof. Dr. Iman Rahayu, M.Si. Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan kerjasama antarabangsa dalam memacu inovasi dan pertukaran ilmu serta menyuarakan harapan untuk peluang kolaborasi yang bermanfaat bagi kedua-dua institusi pada masa akan datang. Turut hadir, Timbalan Dekan Pembelajaran, Hal Ehwal Pelajar dan Penyelidikan FMIPA UNPAD, Dr. Lusi Safriani, M.Si., Ph.D., yang memberikan gambaran keseluruhan tentang pencapaian fakulti dan program akademik dengan menekankan dedikasi mereka terhadap kecemerlangan penyelidikan dan inovasi. Pembentangan beliau turut memberikan pandangan yang lebih mendalam mengenai misi dan visi FMIPA.

Dr. Mohd Murthada Mohamad, wakil daripada KTHO UTM turut berkongsi inisiatif masa depan UTM yanag menekankan komitmen universiti terhadap kecemerlangan akademik dan berharap dapat memperkukuh semangat kerjasama antara kedua-dua institusi. Selain itu, majlis tersebut turut dihadiri oleh pengurusan tertinggi FMIPA UNPAD, termasuk Timbalan Dekan Sumber dan Organisasi, Prof. Desi Harneti Huspa, M.Si., serta Ketua Unit Jaminan Kualiti, Pengurus Pembelajaran, Hal Ehwal Pelajar, dan Alumni, Dr. Togar Saragi, M.Si.; Ketua Unit Pengantarabangsaan, Dr. Suryana, M.P.; Budhi Handoko, M.Si., Ph.D.; dan Pengurus Perancangan Sumber dan Maklumat, Hudaedin, SE., MM.

Antara aktiviti yang dijalankan termasuk lawatan ke Makmal Finder UNPAD yang mempamerkan penyelidikan dan teknologi terkini, sekali gus memberikan pendedahan langsung kepada delegasi UTM tentang kemudahan canggih yang dimiliki oleh FMIPA UNPAD. 

Delegasi KTHO UTM ketika lawatan ke Makmal FINDER FMIPA UNPAD - kredit MEDIA MOVE24
Delegasi KTHO UTM ketika lawatan ke Makmal FINDER FMIPA UNPAD

Kemuncak lawatan ini ialah sesi perkongsian bertajuk “Discover AI: From Concepts to Writing Tools”. Perkongsian tersebut dimulakan dengan pengenalan kepada teknologi kecerdasan buatan (AI) oleh Dr. Anindya Apriliyanti P., M.Si. dari UNPAD dan Mohd. Fairus Ahmad dari UTM, dan Gusti Ayu Anisa Eldina sebagai moderator. Sesi ini memberikan pengetahuan yang berharga tentang aplikasi AI dan bagaimana dapat menggunakan teknologi ini secara optimum sebagai pelajar sekali gus mencetuskan perbincangan serta rasa ingin tahu dalam kalangan peserta yang terdiri daripada pelajar UTM dan juga UNPAD.

Sesi perkongsian oleh En Mohd Fairus bin Ahmad - kredit MEDIA MOVE24
Sesi perkongsian oleh Mohd Fairus Ahmad
Sesi perkongsian oleh Dr. Anindya - kredit MEDIA MOVE24
Sesi perkongsian oleh Dr. Anindya

Pertukaran Budaya: Merentasi Sempadan Malaysia-Indonesia

Selain sesi akademik, delegasi UTM turut terlibat dalam pelbagai aktiviti budaya yang bertujuan memperkenal kepelbagaian warisan budaya Malaysia dan Indonesia. Antaranya, pelajar UTM berpeluang untuk mengunjungi Jalan Braga, Bandung bagi mempersembahkan tarian tradisional Malaysia, termasuk Tarian Inang, Tarian Kipas, dan Tarian Sumazau. Persembahan ini bukan sahaja mempamerkan keindahan budaya Malaysia tetapi juga mempererat hubungan antara delegasi UTM dan masyarakat tempatan.

Sesi silang budaya di Jalan Braga
Sesi silang budaya di Jalan Braga,Bandung

Para peserta juga berpeluang melawat Saung Angklung Udjoe yang mendedahkan mereka kepada seni dan budaya Indonesia melalui persembahan angklung dan tarian tradisional. Pengalaman ini memperkaya pemahaman peserta mengenai kepelbagaian budaya serantau dan memperkukuh semangat kerjasama serta pertukaran budaya antara kedua-dua negara.

MOVE24 ditutup dengan peserta yang berlepas pulang ke Malaysia pada 1 Disember 2o24. Lawatan ini mencerminkan komitmen UTM untuk memperluas rangkaian akademik global dan memberikan pengalaman pembelajaran yang lebih mendalam serta berbeza kepada pelajar melalui interaksi silang budaya. Kerjasama antara KTHO UTM dan FMIPA UNPAD merupakan langkah penting dalam memupuk mobiliti akademik dan inovasi. Inisiatif ini semestinya membuka peluang untuk hubungan yang lebih kukuh dalam jangka masa panjang, serta memperkasakan kedua-dua universiti dalam mencapai kecemerlangan akademik dan penglibatan antarabangsa. Diharapkan MOVE24 di bawah inisiatif Kolej Tun Hussein Onn ini dapat membuka lebih banyak peluang kerjasama dalam pelbagai jenis bidang antara Universiti Teknologi Malaysia dan juga Universitas Padjajaran.

Oleh Isma Diyanah Mohammad Faridz (Penulis), Nurul Amelyawati Ali Rofiq (Penyunting)

Explore More