JOHOR BAHRU, 24 Nov – Program 3K bersama KTF & Si Cilik yang dianjurkan oleh Exco Akademik dan Pembangunan Pelajar, Kolej Tun Fatimah (KTF) telah berjaya memberdayakan seramai 115 orang kanak-kanak yang berumur 7 hingga 12 tahun dalam meningkatkan kualiti hidup mereka. Program ini bertujuan untuk mendidik dan memotivasi generasi muda mengenai pentingnya menjaga kesihatan, keselamatan, dan kelestarian (3K) dalam kehidupan seharian.
Program ini telah mendapat kerjasama sepenuhnya dengan Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) Ilmi di Taman Sri Pulai Perdana 2. Turut mendapat kerjasama dari pelbagai pihak termasuk Pusat Kesihatan Universiti (PKU) dan Akademi Tamadun Islam (ATI) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), serta Ibu Pejabat Polis (IPD) Iskandar Puteri bagi menerapkan amalan 3K yang disesuaikan dengan usia mereka.
Objektif program ini adalah untuk meraikan kanak-kanak sempena sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia, di samping mewujudkan kesedaran mengenai kepentingan kesihatan dan keselamatan kendiri, serta menggalakkan kanak-kanak untuk mempraktikkan amalan hidup lestari dalam kehidupan seharian.
Melalui program ini, kanak-kanak berpeluang menyertai pelbagai aktiviti interaktif termasuk mempelajari secara praktikal kaedah asas bantuan kecemasan seperti menangani situasi pengsan, hidung berdarah dan tercekik yang dibimbing oleh Dr. Mohammad Sya’rani Najmuddin, Pegawai Perubatan dari PKU UTM. Dengan mempelajari kaedah ini, kanak-kanak memperoleh pelbagai manfaat, antaranya meningkatkan keyakinan dalam menghadapi situasi kecemasan, memupuk keupayaan bertindak dengan cepat dan tepat untuk menyelamatkan nyawa, serta menguasai kemahiran penting yang berguna sepanjang hayat.
Seterusnya kanak-kanak telah didedahkan dengan pemakanan yang halal dan bersih. Sesi ini telah disampaikan oleh Dr. Radhiahtul Raehan Mustafa dari ATI UTM. Dalam sesi ini kanak-kanak telah didedahkan dengan logo halal yang betul dari pelbagai negara, kepentingan memilih makanan mengikut syariat Islam dan menggalakkan kanak-kanak untuk memilih makanan yang lebih sihat dan selamat yang menyumbang kepada gaya hidup sihat.
Program ini diteruskan lagi dengan perkongsian oleh Koperal Mohd Azmil Zabidi dari Cawangan Latihan dan Sukan IPD Iskandar Puteri. Sesi ini memberi pendedahan berkaitan kaedah asas perlindungan diri apabila kanak-kanak berada dalam situasi kecemasan seperti penculikan. Antara pesanan yang diberikan kepada kanak-kanak adalah tidak berbicara dengan orang asing, kenali zon selamat, berbuat bising jika terasa terancam atau diekori. Latihan secara praktikal juga diberikan oleh Koperal Mohd Azmil iaitu asas silat untuk melindungi diri dari diculik oleh orang yang tidak dikenali.
Di sesi sebelah petang pula, amalan kelestarian telah diterapkan kepada kanak-kanak. Salah satu inisiatif kelestarian adalah program penanaman pokok dalaman (indoor plant) di sekolah tersebut, yang bertujuan untuk menggalakkan kanak-kanak memahami kepentingan tumbuhan hijau dalam kehidupan seharian serta manfaatnya terhadap kualiti udara dan mewujudkan persekitaran yang lebih menyegarkan dan menarik bagi kanak-kanak. Pokok dalaman menjadi pilihan kerana ia sesuai ditanam di ruang yang tidak mempunyai tanah, seperti dalam bilik darjah dan koridor sekolah.
Antara pokok yang ditanam semasa program ini ialah Philippine Evergreen (Aglaonema commutatum), pokok duit-duit (Epipremnum aureum), pokok daun saraf (Fittonia albivenis), pokok lidah jin (Dracaena trifasciata), pokok keladi cina merah (Aglaonema commutatum schott), keladi cina (Aglaonema sp.), dan pokok keladi gajah (Alocasia sp.).
Tambahan lagi pada sesi ini, sebahagian kanak-kanak telah menyertai aktiviti doodle yang disediakan oleh urusetia. Aktiviti ini bertemakan Palestin dan bertujuan untuk meningkatkan kesedaran kanak-kanak tentang isu-isu global dan menggalakkan mereka untuk mengekspresikan pandangan mereka melalui seni. Manfaat aktiviti ini termasuk membawa aspirasi solidariti dan mengembangkan empati terhadap situasi yang dihadapi oleh rakyat Palestin.
Program ini seterusnya dirasmikan oleh Pengetua KTF, Dr. Noor Mala Ibrahim bersama Pengerusi SRITI Ilmi, Dr. Muhammad Asraf Ismail dan Pemangku Guru Besar, Noor Syuhada Amir Hassan. Menurut Pengerusi SRITI Ilmi, program ini bukan sahaja membantu meningkatkan kesihatan fizikal dan mental kanak-kanak, tetapi juga memperkukuh rasa selamat dan lestari dalam komuniti kita. Beliau menambah bahawa program ini juga memberikan peluang kepada kanak-kanak untuk belajar tentang amalan kesihatan, keselamatan dan kelestarian secara praktikal dengan cara yang menyeronokkan dan menarik.
Tambahan lagi, Penasihat Program, Dr. Aminah Mohsin menzahirkan program ini selari dengan aspirasi Malaysia untuk mencapai pembangunan lestari dan meningkatkan kualiti hidup rakyat melalui pelbagai inisiatif kesihatan, keselamatan, dan kelestarian. Secara tidak langsung berusaha untuk menghasilkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik tetapi juga mempunyai kesedaran sosial dan tanggungjawab terhadap komuniti.