KOTA TINGGI, 25 Okt – Kesedaran terhadap pendidikan dan perkembangan teknologi merupakan aspek penting dalam pembangunan masyarakat yang seimbang dan berkembang. Cabaran akses kepada pendidikan dan penggunaan teknologi pada era digital untuk masyarakat Orang Asli sering diketengahkan dan dibincangkan di peringkat yang berbeza, terutamanya dalam kalangan penyelidik.
Oleh itu, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui Jawatankuasa Kolej Mahasiswa (JKM) Kolej 9&10 telah mengambil langkah proaktif dengan memainkan peranan sokongan dan melaksanakan program Jelajah Komuniti : Ekspedisi Warisan Orang Asli sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk meningkatkan kualiti hidup masyarakat Orang Asli. Program ini merupakan kesinambungan Jelajah Komuniti lalu yang telah diadakan di Pulau Tioman.
Program ini telah disertai oleh kira-kira 100 warga Orang Asli dan 35 orang pelajar yang merupakan Ahli Jawatankuasa (AJK) penganjur dan telah berjaya diketuai oleh Melvin Low Rui Yi selaku Pengarah Program, serta Mohd Nadzri Wahidon selaku Penasihat Program. Aktiviti dimulakan dengan Juniors Editing Challenges, di mana sejumlah kanak-kanak dibahagikan mengikut beberapa kumpulan dan diberi pendedahan tentang bagaimana teknik asas dalam menghasil dan menyunting video yang menarik. Ini selari dengan tuntutan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) iaitu SDG keempat dalam menjamin pendidikan menyeluruh dan sama rata serta menggalakkan peluang pembelajaran sepanjang hayat kepada masyarakat.
Setelah aktiviti Juniors Editing Challenges tamat, program diteruskan dengan Modul Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM). Mereka diberi peluang untuk belajar dan menghasilkan DIY Volcano dan Balloon Car secara praktikal menggunakan peralatan yang disediakan. Melalui aktiviti interaktif seperti ini, mereka dapat mempelajari sesuatu dalam keadaan yang menarik dan menghiburkan. Sejajar dengan seruan kerajaan untuk meningkatkan kesedaran dan minat terhadap STEM, pendedahan sebegini merupakan salah satu inisiatif yang diperkenal bagi memupuk generasi yang celik sains dan berdaya saing tinggi. Kerajaan menekankan bahawa penguasaan dalam bidang STEM bukan sahaja membantu membangunkan ekonomi negara tetapi juga melengkapkan generasi muda dengan kemahiran kritikal, analisis yang mendalam, serta kreativiti yang diperlukan dalam menghadapi cabaran masa depan.
Selain itu, bagi mengeratkan lagi hubungan dengan penduduk kampung, pertandingan Cooking4U serta sesi perkongsian berkaitan penyediaan makanan barat dan manisan telah diadakan bersama penduduk-penduduk wanita di kampung Sungai Layau. Berpegang kepada aspirasi “Kerana Tuhan Untuk Manusia,” seluruh ahli jawatankuasa terlibat turut mengadakan aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan perkampungan untuk mewujudkan persekitaran yang bersih dan sihat.
Seterusnya, program ini turut dihadiri dan dirasmikan oleh Ketua Pentadbiran (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Hanifah Ahmad. Turut hadir semasa Majlis Perasmian ini ialah Tok Batin, Ramli Nemat. Semasa majlis perasmian ini berlangsung, sesi penyampaian hadiah kepada pemenang sukaneka dan pertandingan futsal serta Cooking4U juga diadakan.
Dengan adanya program bersama masyarakat Orang Asli seperti ini, pihak Kolej 9&10 berharap agar ia dapat membuka mata dan memberi kesedaran kepada semua pihak mengenai keperluan dan pembangunan yang diperlukan oleh masyarakat Orang Asli.