Putrajaya, 27 November 2024 – Forum “Masa Depan Generasi AI” berlangsung dengan jayanya di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) sebagai salah satu acara dalam Festival of Ideas yang dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT). Forum ini menarik lebih 200 peserta daripada pelbagai institusi untuk mendalami peranan Kecerdasan Buatan (AI) dalam pendidikan, masyarakat, dan industri. Forum ini menampilkan panelis terkemuka, termasuk Prof. Dato’ Dr. Mohamad Fauzan Noordin (UIAM), Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim (UTM), En. Swee Kiang Fong (Skychip Sdn. Bhd.), dan En. Kalai Selvan Subramaniam (Infinecs System Sdn. Bhd.), yang berkongsi pandangan kritikal mengenai AI sebagai teknologi transformasi utama untuk Malaysia.
Prof. Dato’ Dr. Mohamad Fauzan Noordin, Timbalan Rektor UIAM, menekankan kepentingan memanfaatkan AI dengan nilai kemanusiaan dan etika. Beliau menyatakan bahawa AI perlu dikembangkan dengan ihsan dan amanah, sejajar dengan prinsip agama Islam. Dengan merujuk kepada Surah At-Tin dan Surah Asy-Syams, beliau menekankan kehebatan manusia sebagai makhluk yang memiliki elemen hardware, software, peopleware, dan heartware, yang menjadi asas perbezaan utama antara manusia dan AI. Tambahnya, pendidikan AI perlu dimulakan dari peringkat awal untuk memastikan generasi akan datang memahami teknologi ini dengan asas nilai kemanusiaan yang kukuh.
Dari perspektif pendidikan, Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, Timbalan Naib Canselor UTM, menekankan pentingnya kurikulum multidisiplin yang merangkumi algoritma, pemikiran logik, dan etika AI. Beliau mencadangkan kursus pendek untuk meningkatkan kemahiran pelajar dalam menghasilkan penyelesaian teknologi yang inovatif. Dengan AI yang semakin menjadi sebahagian daripada kehidupan harian, beliau menegaskan bahawa generasi akan datang mesti bersedia untuk menggunakan teknologi ini secara mampan, bertanggungjawab, dan selaras dengan prinsip MADANI.
Dari sudut industri, En. Kalai Selvan Subramaniam, Ketua Pegawai Eksekutif Infinecs System Sdn. Bhd., menyeru perusahaan kecil dan sederhana (SME) untuk memanfaatkan teknologi seperti perkakasan, platform AI, dan edge computing. Beliau turut mencadangkan pendekatan “Lean Startup” untuk membantu SME meneroka usaha kecil tetapi berimpak besar dalam memenuhi keperluan pelanggan dan meningkatkan daya saing. Sementara itu, En. Swee Kiang Fong, Ketua Pegawai Eksekutif Skychip Sdn. Bhd., menekankan peranan jurutera tempatan dalam menghasilkan cip semikonduktor AI, sambil mengekalkan daya saing Malaysia dalam industri global.
Forum ini bukan sahaja membuka perbincangan mengenai cabaran dan peluang dalam pembangunan AI tetapi turut menyeru kerjasama antara kerajaan, institusi pendidikan, dan industri untuk memastikan teknologi ini membawa manfaat kepada semua lapisan masyarakat. Resolusi yang diusulkan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyeru kepada dasar pendidikan yang inklusif dan penyelidikan yang komprehensif, dengan matlamat menjadikan Malaysia sebagai pemain utama dalam teknologi AI di peringkat ASEAN dan global.
Disediakan oleh : Prof. Madya Dr. Nor Zairah binti Ab. Rahim dan Dr. Suharmili binti Mohd Rosle