Putrajaya, 27 November 2024 – Forum “Masa Depan Generasi AI” berlangsung dengan jayanya di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) sebagai salah satu acara dalam Festival of Ideas yang dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT). Forum ini menarik lebih 200 peserta daripada pelbagai institusi untuk mendalami peranan Kecerdasan Buatan (AI) dalam pendidikan, masyarakat, dan industri. Forum ini didahului dengan ucapan dua tokoh penting iaitu YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi dan Datuk Wira Dr. Haji Rais Hussin Hj. Mohamed Ariff, Ketua Pegawai Eksekutif MRANTI Corporation. Kedja-dua figura ini memberikan pandangan strategik mengenai peranan Kecerdasan Buatan (AI) dalam pembangunan masa depan negara. Ucapan memfokuskan kepada potensi besar AI, cabaran yang perlu diatasi dan keperluan untuk pendekatan bersepadu dalam pendidikan, dasar dan industri sebagai asas kepada perbincangan yang mendalam dalam forum tersebut.
YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud menegaskan bahawa Malaysia berada di ambang revolusi teknologi dengan AI sebagai pemacu utama. Inisiatif seperti pelancaran MyAI Nexus, penubuhan Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI) di UTM, dan pembentukan Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO) menunjukkan komitmen kerajaan untuk memastikan Malaysia menjadi peneraju AI di ASEAN. Beliau turut memetik laporan McKinsey dan TalentCorp yang menggariskan potensi AI dalam mencipta peluang pekerjaan baharu walaupun terdapat risiko kehilangan pekerjaan akibat automasi. YB Mustapha menyeru kepada semua pihak termasuk institusi pendidikan dan industri untuk mengambil langkah proaktif dalam memastikan AI dimanfaatkan secara bertanggungjawab dan inklusif berlandaskan nilai kemanusiaan dan semangat Malaysia Madani.
Sementara itu, Datuk Wira Dr. Haji Rais Hussin Hj. Mohamed Ariff memberikan pandangan tentang perkembangan AI global dan peranannya dalam pelbagai sektor. Beliau menegaskan bahawa AI kini menjadi realiti yang memacu inovasi dan kecekapan dengan mengambil contoh seperti keupayaan China meningkatkan kecekapan pelabuhan sebanyak 48% menggunakan AI. Walaupun automasi membawa risiko kehilangan pekerjaan, beliau menekankan pentingnya masyarakat memberi tumpuan kepada peluang baharu yang dicipta oleh AI. Dr. Rais menggariskan lapan trend utama dalam AI, termasuk teknologi pintar, budaya pembelajaran yang lebih bijaksana, peranan fintech sebagai bahasa perniagaan dan keperluan untuk pendekatan bersepadu dalam pendidikan antara sains dan kemanusiaan.
Ucapan Dr. Rais turut menyentuh aspek yang lebih kompleks seperti peralihan daripada sistem tradisional kepada rangkaian digital, peranan algoritma dalam membuat keputusan bebas prasangka dan potensi teknologi kuantum dalam membentuk peta dasar angkasa global. Beliau menekankan bahawa AI perlu memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat dengan manusia sebagai pencorak masa depan yang inklusif dan seimbang. Cabaran besar seperti ini memerlukan integriti dalam setiap keputusan teknologi yang diambil.
Forum ini bukan sahaja memberi pandangan strategik kepada lebih 200 peserta tetapi juga menyeru kepada kerjasama antara kerajaan, akademik dan industri untuk membentuk dasar dan sistem pendidikan yang bersedia menghadapi cabaran teknologi masa hadapan. Dengan penekanan kepada nilai kemanusiaan dan keberlanjutan, AI diharapkan dapat menjadi alat transformasi yang tidak hanya memacu kemajuan tetapi juga membina masyarakat yang sejahtera dan beretika.
Melalui perbincangan ini, forum berjaya menggariskan keperluan untuk memperkukuh dasar, meningkatkan kerjasama penyelidikan dan melatih bakat tempatan agar Malaysia terus kekal sebagai pemain utama dalam teknologi AI di peringkat global. Kedua-dua ucapan ini menyuntik inspirasi kepada peserta untuk memanfaatkan AI dengan tanggungjawab dan mencorakkan masa depan yang mampan bagi negara dan rantau ASEAN.
Disediakan oleh : Prof. Madya Ts. Dr. Nor Zairah Binti Ab. Rahim dan Dr. Suharmili binti Mohd Rosle