JOHOR BAHRU, 26 Nov. – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melakar sejarah tersendiri apabila menjadi universiti pertama di negara ini menubuhkan Makmal Satelit Anti-Jenayah Kewangan (AFC Lab) dengan kerjasama Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) di sini hari ini.
Majlis perasmian makmal satelit berkenaan yang berlangsung di Fakulti Komputeran, UTM Johor Bahru telah disempurnakan oleh Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Ts. Dr Ahmad Fauzi Ismail bersama Timbalan Ketua Pengarah NFCC, Ahmad Sazilee Abdul Khairi.
Menurut Datuk Ahmad Fauzi, AFC Lab merupakan bukti komitmen UTM sebagai institusi pendidikan tinggi yang memainkan peranan strategik dalam pembangunan negara, khususnya melalui penyelidikan menyeluruh dalam menangani jenayah kewangan.
“Projek ini melibatkan kerjasama penyelidikan strategik yang memfokuskan kepada tiga bidang utama dalam menangani jenayah kewangan. Antara tumpuannya nanti melibatkan kajian jenayah berasaskan data untuk memahami corak dan tren secara mendalam, penggunaan teknologi analitik bagi meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan undang-undang, serta pembangunan alat khusus dengan integrasi teknologi canggih bagi mempertingkat keupayaan penyelidikan serta penguatkuasaan,” ujar Datuk Ahmad Fauzi.
Sementara itu, Ahmad Sazilee menyifatkan makmal ini sebagai pencapaian penting dalam memodenkan dan memperkukuh strategi pencegahan jenayah kewangan negara dalam era digital yang semakin mencabar.
“Melalui kerjasama strategik bersama UTM serta integrasi teknologi canggih, kita sedang mencipta masa depan yang lebih kukuh dan berdaya tahan dalam memerangi jenayah kewangan.
“Dengan penubuhan Makmal Satelit ini kita mengharapkan ia akan menjadi satu sistem sokongan kepada para pegawai penyiasat dan bahagian pendakwaaan dalam membanteras jenayah ini. Jenayah kewangan pada masa kini banyak disokong oleh kecanggihan teknologi maklumat dan AI.
“Kami memerlukan sistem sokongan dalam membantu memudahkan tugas penyiasatan dan penyelidikan dalam mengenal pasti elemen kesalahan jenayah yang berlaku.
“Kerjasama strategik ini bukan sahaja melibatkan pembangunan teknologi berasaskan AI dalam membantu penyiasatan, penghasilan laporan trend jenayah kewangan yang boleh digunakan untuk memperbaiki strategi pencegahan bahkan turut menawarkan latihan dan peningkatan kompetensi bagi pegawai penyiasat.
“Satu pembangunan modul Program Penyiasat Kewangan Bertauliah (Certified Financial Investigator Programme, CFIP) secara dalam talian telah dibangunkan bagi membolehkan pegawai penyiasat dan Timbalan Pendakwa Raya mengikuti program ini secara maya dalam mempertingkat kompetensi mereka,” ujar Ahmad Sazilee
Untuk rekod, program pensijilan ini yang mula dilaksanakan oleh Bank Negara Malaysia sejak 2007 dan kini berkolaborasi bersama UTM dalam pembangunan modul maya untuk memudahkan para pegawai penyiasat mengikuti program ini.
Turut hadir pada majlis berkenaan, Ketua Polis Johor, YDH CP Datuk M Kumar A/L S Muthuvelu; Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor, Dato’ TPj Haji Azmi Haji Alias; Pengarah Pendakwaan Negeri Johor, Abdul Ghafar Ab Latif; dan Pengurus Pejabat Bank Negara Malaysia Johor, Norzehan Abd Karim termasuklah delegasi dari NFCC, pelbagai agensi penguatkuasa negeri dan UTM.