JOHOR BAHRU, 26 Nov − Majlis Penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Acson Malaysia Sales & Service Sdn. Bhd. telah berlangsung dengan jayanya hari ini. Perjanjian ini bertujuan memperkukuh kerjasama strategik dalam pelbagai bidang, termasuk pelaksanaan projek penyelidikan bersama, penyediaan peluang latihan industri kepada pelajar UTM, inisiatif perkongsian ilmu, serta usaha kolaboratif dalam menangani cabaran perubahan iklim melalui teknologi inovatif.
Majlis ini menyaksikan perjanjian ditandatangani oleh Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) UTM, Prof. Ts. Dr. Edy Tonnizam Mohamad, dan Pengarah Urusan Acson Malaysia Sales & Service, Yeap Kin Oun, dan disaksikan oleh Pengerusi Bahagian Pengurusan Aset (BPA), Jabatan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) (JTNCP), Prof. Madya Sr. Dr. Tajul Ariffin Musa serta Pengurus Kanan Pembangunan Perniagaan Acson Malaysia Sales & Service, Rosli Ibrahim.
Dalam ucapannya, Prof. Ts. Dr. Edy Tonnizam menyatakan keyakinan bahawa kerjasama ini akan memenuhi keperluan dalam melahirkan graduan holistik yang berkualiti tinggi. Menurutnya, inisiatif ini melibatkan usaha meningkatkan kemahiran berterusan dan pemerkasaan semula kakitangan universiti untuk mencapai kecemerlangan dalam pendidikan dan penyelidikan, memperkukuh keupayaan penyelidikan, pembangunan, komersialisasi, dan inovasi di UTM. Kerjasama ini turut memacu hubungan strategik dalam ekosistem universiti-industri-kerajaan-komuniti (AIMS4STARS) dalam mengekalkan pertumbuhan mampan universiti.
Tambah beliau, “Kerjasama ini mampu memperkukuh usaha bersama dalam memacu inovasi serta memberikan impak positif terhadap kelestarian, terutamanya dalam pengurangan penggunaan tenaga dan kos yang lebih rendah.”
Kolaborasi ini bukan sahaja dijangka dapat meningkatkan sinergi antara kepakaran akademik UTM dan pengalaman industri Acson Malaysia, malah turut membuka ruang dan peluang kepada pelajar serta penyelidik muda untuk menguasai kemahiran baharu. Ianya sekali gus mampu menyumbang kepada pembangunan bakat tempatan.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Ketua Unit Akademik, BPA, JTNCP, Ts. Dr. Imanurezeki Mohamad; Ketua Pentadbiran JTNCP, Mohd Herme Yusman Mohd Tahir, serta wakil-wakil Acson Malaysia termasuk Penolong Pengurus Pembangunan Perniagaan, Ts. Mohammad Faiz Baharum; Pengurus Cawangan Johor, Joseph Ong Chee Boon; Penolong Pengurus Projek Wilayah Selatan, Ts. Mohammad Fakhri Abdul Ghani; dan Jurutera Kanan Projek Cawangan Johor, Ts. Ivan Lim Chen Ann.