JOHOR BAHRU, 24 Nov – Mengangkat pandangan ke langit di Balai Cerap adalah langkah pertama memahami luasnya alam semesta, di mana satu lagi penyerahan projek Perwajahan Baharu Balai Cerap & Perasmian Program Stargazing sebagai salah satu acara di Festival Konvokesyen UTM Ke-68 (FESKO68). Majlis Penyerahan Projek Balai Cerap UTM yang dirasmikan oleh Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail menampilkan keunikan tersendiri terhadap penambahbaikan rupa fasad seni bina dengan gabungan warna maroon, magenta, dan emas, serta dihiasi motif songket tekat sebagai simbol warisan budaya yang disepadukan dengan elemen moden.
Gabungan elemen-elemen ini telah menghasilkan kombinasi visual yang unik, kaya dengan simbolisme, dan mencerminkan keanggunan tradisional yang bersifat kontemporari. Konsep ini mencipta reka bentuk yang bukan sahaja menarik tetapi juga kaya dengan nilai tradisional dan inovasi kontemporari UTM.
Elemen elegan dan tradisional diterjemahkan melalui penggunaan warna maroon dan emas yang mengukuhkan unsur tradisi UTM. Maroon atau warna merah pulasan yang kaya dan mendalam, sering dianggap sebagai lambang keanggunan, kuasa, dan kestabilan. Warna emas adalah simbol kekayaan, status tinggi, dan kemewahan yang melambangkan kejayaan, harapan, dan penghormatan. Ini memberikan kontras yang sempurna kepada warna maroon dan magenta.
Elemen moden dan kreatif dapat dilihat melalui penggunaan warna magenta yang menyuntik tenaga dan tarikan moden sekali gus melambangkan kreativiti, semangat, dan jiwa yang bersifat estetik. Warna magenta ini juga memberikan sentuhan kontemporari dalam reka bentuk tradisional, menambahkan unsur keceriaan tanpa mengabaikan kecantikan fasad.
Nilai simbolisme dan kesenian ditonjolkan melalui hiasan motif songket tekat bercorak geometri yang melambangkan kesinambungan warisan, kehalusan seni dan falsafah budaya Melayu. Motif songket ini juga diilhamkan dari motif seni songket sama yang terdapat di luar bangunan Dewan Sultan Iskandar.
Diharapkan, rejuvenasi Balai Cerap UTM yang diberikan nafas baharu ini bukan sahaja memperkukuh identiti Universiti, tetapi ia turut menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) UTM melalui reka bentuk lestari, seperti penggunaan tenaga hijau dan pemuliharaan alam sekitar.
Sebagai tarikan utama sempena FESKO68, Balai Cerap UTM ini menjadi platform pembelajaran yang interaktif dan menghiburkan melalui penganjuran program Stargazing yang mengajak pelawat menikmati keindahan langit malam sambil mendalami ilmu astronomi. Gabungan teknologi, seni bina, dan budaya ini menjadikan Balai Cerap UTM sebagai mercu tanda dan fenomena baharu yang menggambarkan aspirasi Universiti ke arah inovasi berteraskan kelestarian. Setinggi tahniah dan syabas kepada semua yang berusaha menjayakan naik taraf dan program penyerahan serta perasmian stargazing semalam.