JOHOR BAHRU, 20 Nov. – Bukan sahaja cemerlang dalam bidang sukan, Helmi Hariri, turut berjaya dalam bidang akademik apabila mencapai kecemerlangan dalam kedua-dua arena. Bekas pelajar Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), yang kini melanjutkan pelajaran dalam bidang Doktor Falsafah Pentadbiran dan Pembangunan Tanah.
Helmi juga bakal bergraduasi dengan kelas pertama juga melebarkan kecemerlangannya dalam sukan berbasikal, hoki dan floorball. Bukan sahaja menjulang nama universiti, malah tanah air yang tercinta di persada antarabangsa ketika penyertaannya dalam ‘Lomba Custom Cycling’ di Indonesia sehingga berjaya dikalungkan pingat perak di Thailand Asia Sports School Games pada tahun 2019.
Kejayaannya tidak terhenti di situ, beliau terus meraih pelbagai pingat seperti pingat perak dalam Kejohanan Lumba Basikal Kebangsanaan Melaka (2020) dan pingat gangsa dalam Track Series 1 di Velodrome Nasional Nilai (2021). Beliau turut melakar sejarah apabila bergelar juara dalam Quayside Criterium (2022) dan Varsity Cycling Challenge (2022).
Tidak cukup di trek, semangat dan dedikasinya turut dibuktikan dengan kejayaan dalam bidang hoki dengan meraih pingat gangsa dalam Liga Hoki Johor. Prestasinya terus menyerlah dalam Liga Hoki JBDHA pada tahun 2024 dan Kejohanan Terbuka Hoki USM yang membuktikan keupayaannya untuk bersaing dengan para atlet terbaik di peringkat kebangsaan.
Di samping berbasikal dan hoki, individu ini turut cemerlang dalam floorball. Penyertaannya dalam pelbagai kejohanan floorball termasuk Unikl 3v3 Floorball Championship (2023) dan Merdeka Cup (2023) memperlihatkan bakatnya dalam pelbagai disiplin sukan. Kejayaan meraih anugerah Pemain Terbaik dan Pemain All-Star dalam Unikl Mitec X Johor Floorball League (2023) jelas mencerminkan ketangkasan dan semangatnya untuk menjadi yang terbaik dalam apa sahaja bidang yang diceburinya.
Bercerita tentang rahsia kejayaan, beliau mengatakan rahsia kejayaan terletak kepada pengurusan masa. Bermula dari bangun pagi sehingga tidur semula. Beliau memulakan hari dengan bersukan setelah suai beribadah bagi mengekalkan momentum dan tenaga di pagi hari.
“Semua orang boleh lakukan apa sahaja, namun pengurusan masa adalah kayu ukur kejayaan mereka. Setiap minit dan saat adalah berharga buat saya, jadi saya akan aturkan masa dengan cermat.” mengimbas kembali kenangan, ada masa beliau terpaksa berjaga malam untuk persediaan ujian sehingga 2 jam sebelum ujian bermula.
“Rasa malas itu normal, tapi cara kita mengatasinya yang membezakan kejayaan. Bagi saya, saya menetapkan 21 hari untuk mengubah rutin harian kita. Jadi dalam 21 hari ini, kita kena konsisten. Apabila saya penat belajar, saya akan ambil angin atau beriadah untuk mengatasi rasa letih dan melepaskan stres.”
Inspirasi beliau untuk berjaya dalam kedua-dua bidang ini datang dari ibu bapa, keluarga, dan juga rakan rakan seperjuangannya. Jurulatih beliau yang tetap menggalakkan beliau untuk kekal mampan dalam bidang sukan.
“Dalam semua yang kita lakukan, kita seharusnya rendah diri kerana kita di sini atas rezeki dan peluang untuk berada di sini. Ramai lagi di luar sana yang lebih berkaliber dan cerdik namun tidak diberikan rezeki dan peluang.” kata beliau sebagai salah satu nasihat kepada semua mahasiswa.
Harapan beliau adalah untuk menghasilkan satu produk penyelidikan berasaskan Pentadbiran dan Pembangunan Tanah yang mampu memberi manfaat kepada manusia sejagat. Beliau juga ingin membuktikan bahawa aktif dalam sukan bukan satu penghalang untuk kejayaan dalam akademik.